23 Januari, 2014

Bagaimana Hutang Boleh Menggandakan Untung atau Melenyapkan Modal Anda

Baik buruk penggunaan leverage atau margin (hutang) yang dinilai semata-mata dari sudut untung rugi pelaburan

Penggunaan leverage atau margin dalam pelaburan memang biasa berlaku. Penggunaannya lebih ketara dalam pelaburan derivatif berbanding pelaburan saham tetapi turut diamalkan secara meluas dalam dunia saham menerusi kemudahan margin.

Sama ada penggunaan margin ini patuh syariah atau tidak bergantung kepada banyak perkara dan memandangkan saya bukan pakar dan saya sendiri tidak mengamalkannya, saya tidak akan menyentuh dari sudut agama.

Sebaliknya apa yang ingin ditekankan, terutamanya kepada pelabur baru, ialah penggunaan hutang boleh menggandakan untung atau menggandakan kerugian pelaburan, sehingga berpotensi melenyapkan sama sekali modal.

Sebab utama ramai pelabur berminat menggunakan margin untuk melabur ialah:
  1. Pelaburan besar boleh dibuat dengan modal yang lebih kecil.
  2. Keuntungan berganda diraih daripada jumlah modal yang sama
Berikut ialah contoh bagaimana seseorang boleh menggandakan untung dengan menggunakan hutang.

Katakan Ali mempunyai modal RM1,000. Beliau membuat keputusan untuk membeli 2,000 saham XYZ pada harga RM1.00. Beliau menggunakan modal sendiri sebanyak RM1,000 dan mendapatkan kemudahan margin RM1,000, yang dikenakan kadar 8%.

Andaikan dalam tempoh tiga bulan, harga XYZ meningkat kepada RM1.50, dan Ali membuat keputusan untuk menjual. Hasil yang diterima ialah 1.50 x 2,000 = RM3,000.

Daripada jumlah tersebut, untung yang diperolehi ialah:

3000 - (2000 + (1000 x 0.08/4)) =  RM980

Untung 98% dicatatkan dengan modal RM1,000.

Jika Ali langsung tidak menggunakan margin, beliau hanya dapat membeli 1,000 saham. Maka untung yang beliau perolehi ialah:

1,500 - 1000 = RM500

Untung 50% diperolehi berasaskan modal RM1,000.

Inilah sebabnya pelaburan berasaskan margin popular di kalangan pelabur. Dengan modal yang sama, untung telah berjaya digandakan. Konsep sama digunakan dalam pelaburan hartanah, cuma tempoh masanya sahaja lebih lama.

Bagaimanapun, cuba kita lihat apa yang terjadi jika harga XYZ merosot kepada RM0.50. Sekiranya Ali menggunakan margin, hasil yang diterima ialah RM0.50 x 2000 = RM1,000.

Daripada hasil tersebut, kerugian yang dialami ialah:

1,000 - (2000 + (1000 x 0.08/4) = RM1,020

Kerugian 102% telah dicatatkan berasaskan modal RM1,000. Ini menghapuskan modal awal Ali. Malah beliau perlu menambah RM20 untuk menampung kos pinjaman.

Jika tidak menggunakan hutang, Ali hanya mampu membeli 1,000 saham. Kerugian yang dialami ialah:

500 - 1,000 = RM500

Kerugian 50% dialami dengan modal RM1,000.

Di sini kita dapat lihat bagaimana pembelian dengan margin boleh menggandakan untung atau rugi dan pelabur yang menggunakan margin atau leverage perlu amat berhati-hati dalam operasi pelaburan mereka selain menguruskan modal dengan teliti.

Saya sendiri tidak menggunakan kemudahan margin dalam pelaburan saham.

Tiada ulasan: