28 Mei, 2013

Penjelasan Tentang Pendapatan Sesaham, Dividen dan Nisbah P/E

Adakah P/E bersangkut paut dengan dividen? Jika saya melabur dalam saham yang mempunyai nilai P/E 10 adakah saya akan membuat keuntungan sekali ganda dalam masa 10 tahun?

Mengenai Nisbah P/E

Nisbah P/E bermakna nisbah antara harga dan pendapatan dan diperolehi dengan membahagikan harga saham dengan pendapatan sesaham. Pendapatan sesaham dikenali sebagai Earnings Per Share (EPS) dalam bahasa Inggeris.

Nisbah P/E  = Harga / Pendapatan Sesaham.

P?E ini tidak mempunyai maksud apa-apa berkaitan dengan pulangan yang anda terima sebagai pemegang saham.  Sebaliknya ia merupakan ukuran untuk membandingkan nilai sesebuah syarikat berbanding dengan syarikat lain. 

Kita semua tahu bahawa semua syarikat mempunyai harga berbeza dan tahap pendapatan sesaham yang berbeza. Justeru, adalah sukar untuk membandingkan satu syarikat dengan syarikat yang lain. Dengan adanya nisbah P/E, kita boleh membandingkan segala jenis syarikat, tidak kira saiznya.

Jika nilai P/E adalah 10, ini bermakna pada harga semasa dan pendapatan sesaham semasa, pelabur diandaikan akan pulang modal dalam masa 10 tahun.  Jika P/E adalah 5, pelabur akan pulang modal dalam 5 tahun.  Ini andaian sahaja dan merupakan kayu pengukur untuk membuat penilaian.  Pulangan sebenar yang anda terima akan bergantung kepada nilai saham pada masa depan dan juga dividen yang dibayar kepada syarikat.

Mengenai Dividen

Dividen pula ialah pulangan sebenar yang diterima oleh pelabur, yang dibayar daripada pendapatan sesebuah syarikat.  Kebanyakan syarikat membayar dividen manakala ada syarikat yang tiada dividen. Pulangan yang diterima pelabur ialah  kenaikan harga saham serta dividen yang diterima (jika ada).. 

Pulangan dividen yang anda terima bukan peratus dividen yang diumumkan oleh syarikat, kerana nilai ini adalah berasaskan nilai par saham, tetapi dividen, dalam sen, dibahagikan dengan harga belian saham anda. Inilah yang dinamakan dividen yield atau pulangan dividen anda.

Merujuk kembali kepada soalan di atas, untung yang anda terima dalam masa sepuluh tahun ialah jumlah keseluruhan dividen yang anda terima dalam tempoh tersebut, ditambah kenaikan harga saham (jika harga naik).  Kita tidak akan tahu nilainya sehinggalah masa tersebut tiba dan hanya boleh membuat anggaran.

Kaitan Antara Pendapatan Sesaham dan Dividen

Pendapatan sesaham ialah untung yang diperolehi syarikat dibahagikan dengan jumlah saham syarikat. Syarikat boleh melakukan dua perkara dengan pendapatan ini.  Pertama ialah menyimpannya untung mengembangkan syarikat dan kedua ialah dengan membayar dividen.

Sebagai contoh, jika EPS ialah 20 sen dan dividen ialah 10 sen, maka pendapatan yang dikekalkan oleh syarikat di dalam operasinya ialah 10 sen.  Lazimnya, 10 sen ini akan dapat dilihat daripada kenaikan Nilai Aset Bersih sesaham atau Net Tangible Assets (NTA).

Sebuah syarikat yang membayar dividen dan juga meningkatkan NTA tahun demi tahun ialah syarikat yang amat kukuh.

Kesimpulannya ialah kita menggunakan P/E untuk membuat perbandingan antara syarikat. Ia merupakan salah satu daripada kaedah penilaian saham dan bukannya ukuran untuk menentukan pulangan. Manakala pulangan yang kita perolehi pula meliputi dividen yang diterima dan juga kenaikan harga saham.

20 Mei, 2013

Kaedah Pelaburan Bulanan Ringkas Bawa Manfaat

Pelaburan sebenarnya mudah, orang yang membuatkannya susah

Walaupun saya seorang yang sangat suka menganalisis saham dan melabur terus dalam pasaran saham, saya turut melabur dalam unit amanah kerana para pengurus dana lazimnya melabur dalam saham-saham besar yang bukan menjadi fokus saya. 

Pendek kata unit amanah membolehkan saya mempelbagaikan pelaburan kepada saham yang berbeza daripada saham kurang terkenal yang saya pilih. 

Saya juga mendapati ia merupakan cara yang mudah dan tidak memeningkan kepala untuk melabur, terutamanya dengan kaedah pelaburan bulanan automatik yang dikenali sebagai dollar cost averaging atau purata kos ringgit.

Apabila anda sudah membuat keputusan untuk melabur secara bulanan, pilih sebuah dana unit amanah ekuiti daripada syarikat yang mantap dan teruskan dengan program tersebut dan jangan terpengaruh untuk menjual beli dana atau menukar dana ke dana lain, seperti dana pasaran wang, kerana meramalkan berlaku kemelesetan dan atau penurunan pasaran.

Kenaikan indeks pasaran saham serta prestasi dana-dana unit amanah dalam jangka panjang juga menunjukkan bahawa program seperti ini boleh memberikan pulangan yang memuaskan.  Anda tidak akan menerima pulangan tertinggi tetapi anda boleh menerima pulangan purata yang boleh memenuhi matlamat anda..

Masalahnya ialah sesetengah pelabur dan ejen unit amanah sukar menerima hakikat bahawa mereka tidak dapat meramalkan kenaikan atau penurunan pasaran dan juga kemelesetan dan perkembangan ekonomi dengan tepat.Keyakinan terhadap keupayaan diri sendiri untuk meramalkan pergerakan pasaran ini boleh membawa padah jika tersilap percaturan.
Program dollar cost averaging ialah mudah dan tidak memeningkan kepala. Tetapkan satu jumlah untuk dilaburkan secara bulanan dan kemudian buat pelaburan tersebut setiap bulan secara automatik. Satu-satunya perkara yang perlu anda pantau ialah prestasi dana yang anda pilih. 

Pastikan dana tersebut di kalangan dana yang sekurang-kurangnya mampu menandingi pergerakan indeks. Jangan terpengaruh untuk menjual beli atau menukar kepada dana kategori lain. Teruskan program pelaburan dan raih manfaatnya dalam jangka panjang.

Kita lihat prestasi BSKL dalam tempoh 20 tahun lepas:

Bursastation

Dalam tempoh 20 tahun tersebut, sebanyak 2 kemelesetan besar telah berlaku tetapi jika anda terus melabur dan membeli secara bulanan pada harga purata, anda akan menikmati pulangan yang agak memuaskan sepanjang tempoh tersebut.

Lihat prestasi beberapa dana patuh syariah menerusi laman web Morningstar dalam tempoh 10 tahun lepas:

Morningstar Malaysia

Oleh kerana banyak Dana Patuh Syariah masih baru, hanya dana-dana di atas sahaja yang mempunyai rekod 10 tahun.  Pada tahun-tahun akan datang, jumlahnya akan semakin meningkat.  Kita dapat lihat bahawa selagi anda memilih dana yang mencatatkan prestasi purata atau lebih tinggi, pulangan anda cukup memuaskan.

(Nota: Pulangan sebenar anda sudah tentulah berbeza daripada di atas, bergantung kepada bila anda memulakan program dan sebagainya, tetapi saya memberikan jadual ini sebagai gambaran)

Program dollar cost averaging ini boleh diamalkan tanpa meluangkan banyak masa menilai saham. Jika anda mengutamakan kos, anda boleh pilih saluran kos rendah dengan membeli dana menerusi Internet.

Pelabur boleh tersilap jika cuba keluar masuk atau membuat market timing kerana ingin meramalkan kemelesetan atau meraih untung yang lebih.  Bagaimana jika anda salah?  Program anda akan terjejas teruk akibatnya. 

Pada masa depan, kemelesetan akan berlaku lagi tetapi teruskan dengan program anda untuk memastikan anda mendapatkan manfaat dalam dunia perniagaan Malsyaia menerusi dana unit amanah. 

Program pelaburan yang ringkas dan konsisten dan tidak menganggu kerjaya sebenar anda adalah amat sesuai bagi kebanyakan orang yang tiada masa untuk belajar secara terperinci dan membuat kajian  tentang saham.

13 Mei, 2013

100 Mata Bezakan Kepastian dan Ketidakpastian

Pasaran Saham Terus Melonjak Selepas Keputusan Pilihanraya

Pilihan raya umum telah berlalu dan kemenangan berpihak kepada BN dengan majoriti yang kurang sedikit, tetapi masih cukup selesa untuk mendorong kenaikan pasaran.  Suka atau tidak, hakikatnya ialah kemenangan BN memberikan kesinambungan dan kepastian bagi para pengurus dana dan reaksi mereka ialah untuk membeli dengan segera.

Tidak kira sama ada kita sebagai rakyat biasa setuju atau tidak , dasar yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri adalah mesra perniagaan dan disukai oleh pasaran, terutamanya dengan adanya Idris Jala yang menerajui program transformasi.  Pendek kata kemenangan DS Najib boleh dianggap sebagai kemenangan untuk big business.

Dalam satu posting sebelum sebelum pilihan raya pada 19 Februari bertajuk Peluang Dalam Ketidakpastian Semasa, saya menyatakan bahawa:

"Saya  membahagikan bargain hunting kepada tiga fasa utama ketidakpastian. Pertama sekali ialah fasa kejatuhan awal, iaitu dalam keadaan semasa (sekitar bulan Februari). Kedua ialah apabila pengumuman pilihan raya dibuat dan sehinggalah kepada pilihan raya sendiri. Fasa ketiga ialah jika keputusan tertentu berlaku selepas pilihan raya."

Nampaknya hanya dua fasa ketidakpastian berlaku, dan mereka yang berani mungkin telah mengambil kesempatan daripada dua fasa pertama. Berikut adalah kesan sebelum dan selepas:

Bursastation

Sekiranya keputusan memihak di sebelah lain, mungkin fasa ketiga ketidakpastian akan dialami tetapi apabila pelabur mula selesa, saham akan naik kembali, cuma mungkin ada lebih banyak masa untuk bargain-hunting.

Kesilapan paling besar ialah jika anda menjual semua saham sebelum pilihan raya untuk mengambil kesempatan daripada keputusan tertentu, tanpa mengambil kira kemungkinan bahawa keputusan sebaliknya boleh berlaku.

Keadaan semasa juga menekankan lagi manfaat pelaburan jangka panjang, kerana saya yakin bahawa tidak kira siapa yang menang, pasaran akan akhirnya tetap bergerak ke paras yang sesuai dengan tahap pendapatan syarikat-syarikat di dalam Bursa Saham. Jika anda keluar masuk berasaskan ramalan, anda mungkin silap percaturan.

Market timing adalah sesuatu yang amat sukar dilakukan. Justeru, lebih baik beli apabila terdapat peluang untuk membeli pada harga berpatutan.  Akhirnya jika analisis kita tentang syarikat betul, kita akan tetap meraih untung dalam jangka panjang tanpa mengira turun naik pasaran dalam jangka pendek.

Bagi saya sendiri, memang ada 'peluru' ditinggalkan untuk mengambil kesempatan jika keputusan sebaliknya berlaku.  Dengan kenaikan semasa, proses pembelian akan diteruskan tetapi dengan amat teliti dan hanya apabila ada peluang.

Jangan terburu-buru untuk mengejar kenaikan, lebih-lebih lagi jika anda langsung tidak memegang apa-apa sebelum ini. Sekarang ini walaupun harga naik, masih ada saham yang bernilai berpatutan. Perlu diingat bahawa pasaran tidak akan terus-menerus naik. Peluang akan tiba lagi, cuma perlu bersabar. Tetapi apabila anda melihat nilai kembali muncul, ambil kesempatan daripadanya.

04 Mei, 2013

Pasaran Jelas Mencerminkan Ketidakpastian

Pelabur Perlu Bersiap Sedia Untuk Ambil Kesempatan

Pasaran akhirnya menunjukkan sentimen sebenarnya apabila turun sebelum pilihan raya walaupun saya percaya terdapat usaha untuk menyokong kedudukan pasaran sejak seminggu lepas.

Lazimnya keadaan ini mencerminkan ketidakpastian. Buat pertama kali dalam sejarah, kita tidak tahu siapa yang akan menang dalam pilihan raya ini, atau kemungkinan pakatan pembangkang mengambil alih kuasa.

Jika ini berlaku sudah tentulah ketidakpastian akan memuncak buat sementara waktu sehingga Kerajaan baru dibentuk dan hala tujunya telah diketahui.

Bursastation 

Walau apa pun, ketidakpastian mungkin tidak berkekalkan dan window of opportunity terbuka hanya sementara sahaja.  Apabila situasi telah jelas dan perubahan berlaku dengan lancar, maka saya percaya saham akan naik semula. 

Cuma masalah mungkin berlarutan jika majoriti sangat tipis dan mana-mana kerajaan yang dibentuk boleh tumbang pada bila-bila masa.

Saya jangka ramai juga yang sedang menunggu di tepi padang sambil menantikan masa yang sesuai untuk membeli. Dalam jangka panjang, saya berpendapat ekonomi Malaysia akan tetap kukuh tidak kira siapa yang menang, kerana yang memacu ekonomi ialah perniagaan dan bukannya kerajaan.

Reaksi pasaran akan bergantung kepada keputusan pilihan raya, tetapi ini mungkin satu-satunya peluang untuk membeli beberapa syarikat besar dan berkualiti pada harga yang lebih berpatutan.

Jika tiada perubahan berlaku, boleh kembali mencari saham berasaskan kekuatan syarikat tetapi jika perubahan berlaku, cuba ambil kesempatan kerana window of opportunity mungkin amat singkat. Apabila pelabur secara umumnya mula selesa, mereka akan mula membeli dan menaikkan kembali harga.

Bagaimanapun, perkara paling penting ialah untuk mengundi. Ini lebih penting daripada sama ada saham kita naik atau turun. Masa depan negara di tangan kita.