08 Oktober, 2013

Holyfield dan Tyson: Kekayaan Yang Hilang

Segala yang dikumpul sepanjang kerjaya hampir lenyap kesemuanya

Evander Holyfield dan Mike Tyson terkenal bukan sahaja kerana masing-masing pernah menjadi juara tinju dunia, tetapi kerana dua pertarungan sengit antara mereka. Dalam perlawanan kedua pada tahun 1997, Tyson telah menggigit telinga Holyfield, menyebabkan pengadil mengisytiharkan Holyfield sebagai pemenang.



Masing-masing dianggarkan meraih US$30 juta daripada perlawanan tersebut dan jumlah hasil yang diterima daripada kedua-dua pertarungan mencecah US$60 juta.

Sepanjang kerjayanya yang begitu cemerlang, Holyfield pernah memenangi kejuaraan tinju dunia sebanyak lima kali dan Tyson juga pernah memegang semua gelaran tinju heavyweight dunia pada masa yang sama.

Apabila dikumpulkan wang kemenangan keseluruhan sepanjang kerjaya tinju, masing-masing telah berjaya meraih pendapatan sebanyak lebih daripada US$300 juta. Ini bukan jumlah yang kecil dan sepatutnya mereka boleh hidup mewah sepanjang hayat.

Malangnya kealpaan kewangan, sikap boros berbelanja, pelaburan kurang bijak, kegagalan membayar cukai, terlalu mempercayai rakan perniagaan yang tidak amanah dan kos tinggi yang ditanggung untuk perceraian dan menyara hidup anak-anak menyebabkan Tyson diisytiharkan muflis pada tahun 2003 manakala Holyfield pula memfailkan kemuflisan pada tahun 2008.

Segala harta yang dikumpulkan semasa masing-masing gagah di puncak dunia tinju dan menjadi bahan perbualan ramai sudah hampir lenyap. 

Walaupun begitu, Holyfield sedang berusaha membina kembali kehidupan dengan pelbagai program ceramah dan menjadi duta sebuah organisasi untuk membantu golongan miskin. Tyson juga masih mencuba memulihkan kewangan dan kehidupannya.

Masalah kewangan yang dihadapi kedua-dua jaguh ini sukar untuk difahami oleh orang biasa. Tetapi masalah ini bukan kes yang terpencil. Beberapa bintang besar lain dalam bidang sukan juga menghadapi masalah yang sama, seperti Paul Gascoigne. 

Di Malaysia juga ada segelintir orang yang mempunyai pendapatan tinggi tetapi menanggung beban hutang atau perbelanjaan yang besar, menyebabkan mereka lebih miskin daripada orang yang mempunyai pendapatan jauh lebih rendah daripada mereka.

Masalah Holyfield dan Tyson boleh dielakkan dengan mudah tetapi mungkin perasaan on top of the world menyebabkan mereka lupa diri. Inilah masalah sama yang dihadapi oleh orang berpendapatan tinggi yang menanggung kos yang tinggi.

Mereka rasa pendapatan mereka boleh diraih sampai bila-bila untuk menampung perbelanjaan. mereka terikat kepada pekerjaan mereka untuk terus mendapatkan pendapatan tinggi bagi menampung kos sara hidup yang tinggi.

Pada pendapat saya langkah mudah berikut sepatutnya boleh membantu mereka mengelakkan masalah dihadapi:
  1. Simpan sebahagian duit yang diterima.
  2. Bayar cukai tepat pada masanya
  3. Jangan berhutang. Adalah sukar untuk percaya mengapa mereka perlu berhutang sedangkan pendapatan mereka begitu tinggi.
  4. Jangan tamak cuba mengejar peluang perniagaan dan pelaburan. Apa lagi peluang perniagaan lain yang mereka mahu? Pendapatan yang diterima boleh menampung bukan satu tetapi banyak keluarga sepanjang hayat.
  5. Perkahwinan bukan sesuatu yang patut dipandang ringan kerana perceraian menelan belanja besar, termasuk bagi orang biasa seperti kita.
  6. Jangan mudah melepaskan wang anda kepada orang lain. Ada banyak skim yang mahukan anda melabur. Lebih-lebih lagi jika orang tahu anda banyak wang. Biarlah terlepas satu dua peluang pelaburan sahih kerana anda terlampau berhati-hati. Wang boleh diraih daripada pekerjaan anda.
  7. Berhati-hati dengan penasihat dan nasihat yang diperolehi tentang kewangan. Nilai sendiri baik buruknya terlebih dahulu.

Tiada ulasan: