20 Oktober, 2013

Antara Value dan Growth Investing

Meraih untung dan mencari nilai dengan cara berbeza

Ramai pelabur mungkin pernah mendengar tentang value investing (pelaburan berasaskan nilai) dan growth investing (pelaburan berasaskan pertumbuhan). Apakah perbezaan antara kedua-duanya?

Value investing ialah kaedah pelaburan di mana pelabur membeli sesuatu saham pada harga lebih rendah daripada apa yang dianggarkan sebagai nilai sebenar saham. 

Nilai mungkin diukur dari segi aset atau dari segi untung yang diraih. Tetapi persoalannya ialah bagaimana harga boleh jatuh lebih rendah daripada nilai?

Dalam keadaan tertentu mungkin saham sesuatu syarikat kurang mendapat perhatian, sama ada kerana pelabur umum terlepas pandang tentang potensinya, atau mungkin kerana prestasi lemah untuk satu atau dua tahun kewangan.

Kadang kala harga jatuh kerana pasaran secara keseluruhan jatuh. Selain itu, ada juga situasi di mana berlaku penjualan institusi terhadap saham menyebabkan harganya menyusut buat sementara waktu sehingga jualan tersebut selesai.

Seorang value investor mahu mengambil kesempatan daripada penurunan ini. Perbezaan antara harga dan nilai intrinsic atau nilai yang dianggarkan bagi saham tersebut dianggap sebagai margin of safety bagi pelabur.

Ini bermakna bagi seorang value investor, harga adalah amat penting dalam strateginya untuk mencapai keuntungan daripada saham tersebut.

Seorang growth investor pula tidak semestinya membayar harga yang lebih rendah daripada nilai semasa. Malah growth investor sanggup membayar harga fair value atau lebih sedikit daripada itu untuk sesuatu saham yang dianggap berkualiti hebat.

Saham ini ialah saham yang mempunyai potensi pertumbuhan yang lebih tinggi daripada purata dan perkembangan masa depan tersebut dijangka menaikkan harga saham dan memberikan keuntungan kepada pelabur.

Perbezaan antara keduanya boleh diumpamakan seperti membeli rumah di Bukit Beruntung dan Bukit Damansara. 

Jika anda beli rumah di Bukit Beruntung, anda mahu memastikan harganya rendah. Anda mengharapkan bahawa pembeli lain akhirnya sedar bahawa kawasan ini tidak begitu jauh daripada Kuala Lumpur dan pembangunan mula dilaksanakan di sana, lantas menaikkan harganya.
Apabila anda beli rumah di Bukit Damansara, amat sukar untuk membeli pada harga yang berpatutan. 

Tetapi anda tetap membeli, walaupun mahal, dengan harapan bahawa kawasan tersebut terletak  hampir dengan Pusat Bandar dan pembangunan komersial pesat yang sedang dilaksanakan serta namanya yang berprestij akan terus menarik pelabur hartanah mewah, menyebabkan kenaikan harga dalam jangka panjang.

Value investor yang dianggap sebagai pelopor bidang ini ialah Benjamin Graham. Manakala pelabur tersohor yang mempopularkan growth investing ialah Philip Fisher. Kedua-duanya merupakan mentor kepada Warren Buffett. Buffett boleh dianggap sebagai value dan juga growth investor.

Kita juga tidak perlu memilih satu kategori sahaja.  Kita boleh beli ikut keadaan dan boleh memiliki saham value atau growth dalam portfolio kita.  Malah, lebih baik lagi jika kita dapat membeli saham growth pada harga yang memberikan kita value.

Menurut Ken Fisher, seorang lagi pelabur tersohor yang merupakan anak Philip Fisher, pada masa tertentu kaedah value memberikan pulangan lebih tinggi dan dalam keadaan lain growth pula lebih baik.

Tetapi dalam jangka  panjang, kajian akademik mendapati kedua-dua gaya pelaburan ini memberikan pulangan yang sama.

Nota: Untuk mempelajari tentang pelaburan saham berasaskan nilai dan kekuatan perniagaan, dapatkan buku saya bertajuk Panduan Bijak Melabur.

Tiada ulasan: