28 Oktober, 2013

Bajet 2014 - Insentif dan Kesan Terhadap Individu

Sepintas lalu mengenai kesan dan insentif belanjawan terhadap individu

Bajet 2014  menunjukkan bahawa usaha menangani defisit telah bermula dan selepas menabur banyak gula-gula sejak dua tiga tahun lepas, Kerajaan telah membuat keputusan untuk mengambil beberapa tindakan yang boleh dilihat sebagai kurang popular.

Seperti tahun lepas, saya akan menyenaraikan langkah untuk menambah hasil Kerajaan yang akan meningkatkan kos pengguna dan juga insentif yang diberikan kepada individu yang diumumkan dalam Bajet 2014.

Langkah Meningkatkan Hasil Kerajaan
  1. Pemansuhan subsidi gula sebanyak 34 sen.
  2. Cukai Barangan dan Perkhidmatan 6% (GST) dilaksanakan mulai April 2015.
  3. Program subsidi akan disusun semula secara beransur-ansur.  

Langkah Menyekat Kenaikan Harga Hartanah
  1. Bagi hartanah yang dijual dalam tempoh tiga tahun, RPGT ialah 30%.
  2. Bagi hartanah yang dijual pada tahun ke-4 & ke-5, RPGT ialah 20% & 15%.
  3. Selepas tahun ke-6, tiada RPGT dikenakan bagi individu & 5% bagi syarikat.

Insentif Untuk Golongan Berpendapatan Rendah 
  1. BR1M kepada isi rumah dengan pendapatan di bawah RM3,000 akan ditambah daripada RM500 kepada RM650.
  2. BR1M sebanyak RM450 kepada isi rumah berpendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000.
  3. Bagi individu bujang berusia 21 dan ke atas dengan pendapatan bulanan tidak melebihi RM2,000, BR1M akan ditambah daripada RM250 kepada RM300.
  4. BR1M RM300 akan diberikan apabila GST dilaksanakan pada 2015.
  5. Insurans diberikan kepada penerima BR1M bernilai RM50 untuk perlindungan kematian dan kehilangan upaya kekal sehingga RM30,000.

Insentif Untuk Pelajar
  1. Baucar buku 1Malaysia bernilai RM250 setiap seorang untuk pelajar pengajian tinggi.
  2. Bantuan persekolahan RM100 untuk pelajar sekolah rendah dan menengah.

Insentif Cukai
  1. Kadar cukai pendapatan akan dikurangkan 1 hingga 3 peratus untuk semua kategori pembayar cukai.
  2. Pelepasan cukai RM2,000 diberikan untuk pembayar cukai dengan pendapatan bulanan sehingga RM8,000 pada 2013. 
  3. Kadar cukai individu maksimum dikurangkan daripada 26% kepada 25%.
  4. Mulai tahun taksiran 2014, kakitangan dengan pendapatan penggajian tidak perlu failkan pengiraan cukai jika berpendapat bayaran PCB adalah nilai akhir.

Insentif Penjawat Awam
  1. Penerima pencen akan mendapat bantuan kewangan khas RM250 untuk membantu mereka memenuhi kos sara hidup yang bertambah.
  2. Bagi penjawat awam, bonus setengah bulan dengan bayaran minimum RM500 akan dibayar pada awal Januari 2014.

Sejajar dengan usaha mengurangkan defisit, bajet kali ini menyaksikan defisit belanjawan dikurangkan daripada 4% pada bajet lepas kepada 3.5% kali ini, dengan komitmen untuk mencapai belanjawan seimbang menjelang 2020.

Namun begitu tahap hutang kerajaan nampaknya meningkat untuk Bajet 2014 kepada 54.8% daripada KDNK, dan sudah amat hampir had 55%. Kerajaan telah memberikan komitmen untuk tidak melepasi had ini. 

Mungkin GST yang bakal dilaksanakan pada 2015 boleh meningkatkan hasil dan mula mengurangkan kadar hutang. Paras 55% adalah tidak begitu bahaya, lebih-lebih lagi kerana sebahagian besar terdiri daripada hutang domestik, tetapi kesungguhan diperlukan untuk tidak menaikkan had ini.

Pada pendapat saya, pelaksanaan GST dan pengurangan subsidi adalah sesuatu yang perlu. Malah kemungkinan besar subsidi minyak akan dikurangkan lagi tahun depan.

Cuma Kerajaan perlu menunjukkan keikhlasan dengan berusaha sedaya-upaya mengurangkan pembaziran dan ketirisan dalam perbelanjaan supaya rakyat boleh menerima pelaksanaan GST dan pengurangan subsidi dengan hati yang lebih terbuka.

Nota: Jika ada insentif atau item relevan yang tertinggal atau ada sebarang kesilapan, sila maklumkan saya.

1 ulasan:

Rezduan Bakar berkata...

Setuju dengan ulasan tuan. Bajet kali ini bertujuan meningkatkan pendapatan negara untuk mengurangkan defisit.

Namun tidak nampak dimana langkah pengurangan perbelanjaan di pihak kerajaan.

Ulasan saya berkenaan bajet 2014 hampir sama dengan tuan. http://rezduanbakar.com/ulasan-ringkas-bajet-2014/