Apabila anda memiliki perniagaan, ladang atau apartmen yang memberikan anda untung atau pulangan yang baik, adakah anda akan menjual belinya berasaskan berita semasa?
Jawapannya sudah tentu tidak. Pertama sekali, menjual perniagaan, ladang atau apartment tidak semudah menjual beli saham di pasaran saham.
Kedua, jika perniagaan atau pelaburan tersebut tersebut membawa untung kepada anda, sudah tentu anda akan memegangnya untuk meraih untung dan tidak menjual beli hanya kerana berlaku krisis di Eropah, atau Kongres Amerika berbalah tentang had hutang atau sebarang peristiwa lain yang mungkin menimbulkan kebimbangan pelabur.
Kita dengar apa kata Buffett mengenai perkara ini:
Menurutnya saham mewakili pemilikan dalam perniagaan. Hanya kerana ia boleh dijual beli dengan mudah di pasaran saham tidak semestinya anda perlu melakukannya.
Anggap saham yang dibeli sebagai perniagaan sendiri. Jika syarikat tersebut hebat, maka ia harus dipegang untuk terus menikmati untung yang dicapai, selagi perniagaan tersebut terus kukuh.
Beliau telah mengamalkan pendekatan beli dan pegang sejak dari usia muda dan memegang banyak sahamnya untuk jangka masa yang amat panjang.
Adalah sukar bagi kita untuk menganggap saham yang kita pegang seperti perniagaan sendiri, kerana kita tidak mengawal perniagaan tersebut.
Saya sendiri pun tidak mampu mengikut kaedah "buy and hold forever" yang disyorkan oleh Buffett, tetapi nasihatnya untuk tidak menjual beli berasaskan berita semasa adalah amat tepat sekali.
Pelaburan saham adalah mudah bagi Buffett. Beliau membeli perniagaan hebat pada harga munasabah dan memegangnya untuk jangka panjang.
Mungkin jika pelabur tersohor di dunia melakukannya, kita pun patut sekurang-kurangnya mempertimbangkan kaedah yang mudah tetapi sangat bijak ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan