23 September, 2013

Membeli Saham dengan Margin of Safety

Margin yang menjadi penampan jika unjuran pelabur tidak begitu tepat

Konsep margin of safety atau margin keselamatan ialah satu konsep pelaburan yang diketengahkan oleh Benjamin Graham, pelopor pelaburan berasaskan nilai.  Graham ialah penulis buku Intelligent Investor dan Security Analysis dan guru dan mentor kepada pelabur paling terkenal di dunia, Warren Buffett.



Berasaskan konsep ini, seorang pelabur hendaklah membeli saham pada harga di bawah nilai asasnya atau intrinsic value berasaskan pengiraan sendiri. Margin of safety memberikan pelabur sedikit perlindungan daripada risiko kerugian.

Sebagai contoh, andaikan kita akan mengadakan satu majlis jamuan. Kita mengundang 100 orang dan meramalkan bahawa 80 orang akan hadir di majlis, adakah kita akan menyediakan makanan untuk 80 orang sahaja?

Sudah tentu tidak. Secara logiknya kita akan menyediakan makanan untuk 100 orang untuk memastikan makanan cukup jika semua orang hadir. Malah sesetengah orang pula akan menyediakan makanan untuk 110 orang. Manalah tahu kalau ada tetamu membawa kawan bersama.

Andaikan anda ingin membeli satu saham dan selepas membuat analisis, sama ada dari segi aset atau keuntungan, anda meramalkan bahawa nilai asas syarikat ialah antara RM1.00 hingga RM1.20. Anda boleh menunggu sehingga harga turun sehingga 80 sen sebelum membeli untuk memberikan margin of safety sebanyak 20 - 40 sen.

Sekiranya anda tersilap percaturan, dan keuntungan yang diramalkan lebih rendah daripada dijangka atau berlaku masalah kepada syarikat, pelaburan anda masih terlindung kerana anda telah meletakkan ruang untuk membuat kesilapan apabila membeli pada harga tersebut.

Persoalannya ialah apakah yang dianggap nilai asas syarikat? Graham lebih suka menilai syarikat berasaskan asetnya. Ini bermakna beliau membeli syarikat yang harganya berada lebih rendah daripada aset semasa bersih syarikat atau aset ketara bersih syarikat.

Sementara itu Buffett pula lebih suka menilai syarikat berasaskan prestasi untung masa lepas dan potensi untung pada masa depan, dengan pendapatan sesaham dan pulangan atas ekuiti sebagai ukuran kuantitatif penting dan kekuatan jenama, kuasa pasaran dan kewibawaan pengurusan sebagai ukuran kualiti.

Sekiranya kita mendapati sukar untuk mengira nilai asas syarikat berasaskan keuntungan, cuba dapatkan laporan penganalisis mengenai syarikat (jika ada) oleh firma broker dan membuat perbandingan. Nilai aset bersih syarikat pula boleh didapati dalam laporan tahunan atau suku tahunan syarikat.

Penggunaan konsep margin of safety tidak semestinya menjamin keuntungan, tetapi langkah ini akan mengurangkan kebarangkalian pelabur mengalami kerugian.

Tiada ulasan: