Faktor risiko penting yang perlu dipertimbangkan oleh pelabur
Selepas hampir lima tahun mencatatkan kenaikan, pasaran saham kini mula menarik minat ramai orang, terutamanya pelabur yang baru menceburi dunia saham. Fenomena ini memang biasa dilihat kerana apabila sesuatu aset naik, ramai yang mula menunjukkan minat terhadapnya.
Bursastation
Minat terhadap emas sehingga tahun 2012 ternyata didorong oleh kenaikan harga emas. Malangnya, ramai orang masuk pada peringkat akhir kenaikan, dan mungkin ramai juga yang tersangkut membeli pada harga tertinggi.
Pasaran saham juga tidak boleh naik secara terus-menerus. Akan wujud tempoh di mana penurunan berlaku. Dalam situasi semasa, pasaran saham menghadapi beberapa risiko daripada faktor luaran yang berpotensi menjejaskan prestasinya.
Tiada siapa yang tahu sama ada risiko ini akan menjejaskan nilai pasaran dengan ketara atau menyebabkan kesan yang kecil sahaja. Walau apa pun, kita perlu sedar tentang risiko ini memandangkan pasaran berada pada tahap yang tinggi sekarang.
Potensi pasaran terjejas akibat sesuatu peristiwa adalah lebih tinggi apabila penilaian pasaran berada di paras yang tinggi berbanding apabila berada pada kedudukan yang rendah. Berikut adalah beberapa risiko yang dihadapi dalam tempoh 6 - 9 bulan akan datang.
1. Rizab Persekutuan AS menamatkan dasar pengembangan kuantitatif
Program pengembangan kuantitatif yang dilaksanakan oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS sejak 5 tahun lepas telah mengekalkan kadar faedah di AS pada tahap rendah dan menyaksikan dana membanjiri negara-negara sedang membangun untuk mencari pulangan lebih tinggi.
Tetapi dasar tersebut akan dikurangkan secara beransur-ansur dan langkah ini mungkin menyaksikan dana kembali ke AS. Aliran keluar dana pula akan menjejaskan nilai mata wang negara. Perkembangan ini baik untuk pengeksport tetapi kurang baik bagi pengimport dan juga banyak syarikat lain.
Selain itu pengerusi Fed, Ben Bernanke, juga akan bersara dan siapa penggantinya akan mempengaruhi dasar Fed. Pemimpin baru Fed serta dasar yang diamalkannya merupakan faktor paling penting yang akan menentukan hala tuju pasaran.
2. Konflik di Timur Tengah
Situasi di Timur Tengah masih tidak stabil, dengan titik hangat yang wujud di Syria dan Mesir. Keadaan tidak kelihatan akan reda dalam tempoh terdekat. Malah situasi mungkin menjadi lebih buruk jika Amerika Syarikat campur tangan. Kesannya mungkin bersifat sementara dan tidak begitu besar berbanding tindakan yang diambil oleh Fed.
3. Langkah penghematan untuk mengukuhkan kedudukan fiskal Malaysia
Kita sedia maklum bahawa kedudukan fiskal Malaysia tidak begitu kukuh sehingga ada agensi penarafan memberi amaran akan menurunkan penarafan Malaysia jika langkah tidak diambil untuk mengukuhkan kedudukan kewangan negara dengan segara.
Langkah penghematan fiskal lazimnya kurang baik bagi pasaran dalam jangka pendek kerana akan melibatkan tindakan mengekang perbelanjaan kerajaan. Walaupun begitu, jika dilakukan dengan betul, ia berpotensi mengukuhkan kedudukan fiskal negara dalam jangka panjang.
4. Keadaan pasaran hartanah negara
Pasaran hartanah negara telah mencatatkan peningkatan yang ketara dalam tempoh 5 tahun lepas, sehingga harga hartanah mencapai tahap di luar kemampuan rakyat biasa. Sekiranya Bank Negara mengekalkan kadar pada tahap rendah, risiko penurunan pasaran tidak begitu tinggi. Tetapi apabila kadar mula meningkat, maka harga hartanah mungkin terjejas.
Kemelesetan pasaran hartanah berpotensi menggugat sektor hartanah dan perbankan, dan seterusnya pasaran saham. Tetapi penurunan harga hartanah dilihat positif bagi golongan yang belum mempunyai kediaman sendiri.
5. Kenaikan harga barang meningkatkan kos operasi
Penghematan fiskal turut membabitkan rasionalisasi subsidi. Kerajaan sudah mula mengambil langkah mengurangkan subsidi sekarang dengan menaikkan harga minyak. Di samping itu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang bakal dilaksanakan pula akan menambah kos barangan dan mengurangkan kuasa beli pengguna.
Lazimnya peningkatan kos perniagaan dan kemerosotan kuasa beli pengguna boleh menjejaskan keuntungan syarikat dan mempengaruhi harga saham dalam jangka pendek. Tetapi dalam jangka panjang ia akan mengukuhkan kedudukan fiskal negara.
Kesimpulan
Risiko di atas tidak semestinya menjadi kenyataan, tetapi harus diambil kira dan dipertimbangkan oleh seorang pelabur yang bijak. Walaupun keadaan ekonomi AS, China dan Eropah beransur-ansur pulih, ini juga bermakna dana akan kembali ke sana, terutamanya ke AS, dan menjejaskan pasaran sedang membangun.
Tetapi perkembangan ini bukan negatif bagi semua syarikat, terutamanya syarikat yang menjual ke pasaran tersebut dan meraih hasil dalam USD. Setiap syarikat akan dipengaruhi dengan cara berbeza dengan perkembangan makro. Rahsianya ialah mencari syarikat yang mampu mengharungi risiko atau mengukuhkan operasi dalam situasi semasa.
Dalam keadaan semasa, pemilihan (dan juga penjualan) saham perlu dibuat dengan amat teliti.