01 Januari, 2013

Pasaran Saham Naik Pada 2012?

Walaupun 30 saham utama naik, indeks yang lebih luas turun 

Headline dan ulasan mengenai pasaran saham pada tahun baru ini akan melaporkan bahawa pasaran saham telah naik sebanyak 10% dan mencatatkan prestasi yang memberangsangkan.  Ini kerana ukuran dibuat berasaskan kedudukan indeks FBM KLCI, yang hanya diwakili 30 saham dengan modal terbesar di BSKL

Tetapi jika kita meninjau pasaran secara keseluruhan, gambaran berbeza diperolehi.  Kita lihat prestasi FBM KLCI pada tahun 2012.


Bursastation

Kita dapati indeks ini meningkat lebih 10%. Mungkin ini disebabkan oleh minat terhadap saham-saham bermodal besar oleh pelabur institusi dan juga prestasi memuaskan syarikat tersebut.  Tetapi saya syak ada aktiviti window dressing di mana saham ini ditolak naik setelah jatuh pada bulan November. 

Pergerakan hari dagangan terakhir 2012  memberikan sedikit intaian tentang perkara yang berlaku.  Pada saat-saat terakhir, daripada nilai negatif, indeks telah naik secara mendadak sebanyak 7 mata membolehkan FBM KLCI ditutup pada paras tertinggi dalam sejarah.

Sebaliknya jika kita lihat FBM Mid 70, iaitu indeks saham yang mewakili 70 saham bermodal terbesar yang seterusnya selepas FBM KLCI, kita dapati gambaran yang sedikit berbeza.


Bursastation

Jelas bahawa saham dalam indeks ini juga mendapat perhatian pelabur institusi tetapi kenaikannya tidak sebesar FBM KLCI.  Mungkin indeks ini memberikan gambaran lebih adil tentang paras saham di BSKL.

Akhir sekali kita tinjau FBM Small Cap, yang meliputi hampir semua saham lain selain dariada 100 saham bermodal terbesar.


Bursastation

Anda mungkin terkejut bahawa nilai indeks sebenarnya turun sebanyak lebih 2%.  Perlu diingat indeks ini mewakili jauh lebih banyak saham berbanding FBM KLCI dan FBM 70.

Akhir sekali kita lihat gambaran pergerakan dua indeks, iaitu FBM KLCI dan FBM Small Cap dalam satu carta.  Perbezaannya sungguh ketara sekali.


 
Bursastation

Menurut Ken Fisher, tidak kira saham bermodal besar atau bermodal kecil, akhirnya dalam jangka panjang pulangan yang diberikan adalah sama. Ada masanya saham bermodal besar naik dengan ketara dan ada kalanya saham bermodal kecil yang naik.

Justeru pelabur harus mengambil kira hakikat ini dalam keputusan pelaburan mereka pada 2013.  Selain itu, pilihanraya yang pasti diadakan pada tahun ini juga menimbulkan ketidakpastian yang menyebabkan sukar meramalkan pasaran dalam jangka pendek.


2 ulasan:

Adika berkata...

Salam Tuan Razman,

Satu artikel yang cukup menarik..Adakah ini menunjukkan situasi kenaikan FBM KLCI ini tidak akan bertahan lama jika aktiviti kenaikan ini adalah disebabkan oleh window dressing, dan kenaikan pasaran ini boleh dikatakan tidak genuine? Jika window dressing ini berterusan (dan ianya juga mungkin dipengaruhi oleh desakan politik untuk menunjukkan pasaran saham Malaysia mantap dibawah kepimpinan sekarang,)..adakah FBM KLCI akan boleh merudum pada bila2 masa? Ada yang meramalkan sekitar Tahun Baru Cina?

Apakah persediaan yang perlu dilakukan oleh pelabur yang memegang unit untuk saham indeks seperti TM, Axiata, Astro..adakah dinasihatkan menjual terlebih pegangan unit tersebut (keuntungan telah dicatat walaupun rendah) sebelum Tahun Baru Cina ini? Profil Pelabur ini tidak mempunyai holding power yang tinggi..

Diharap Tuan Razman boleh memberi sedikit pandangan dan ramalan pasaran KLCI sebelum menjelang Tahun Baru Cina dan selepas itu yang banyak dikatakan akan dipengaruhi oleh sentimen Pilihanraya Umum yang akan memberi kesan besar pada Saham Indeks terumtamanya.

Pandangan Tuan didahuli dengan ucapan terima kasih

Unknown berkata...

Wasalam,

Sebenarnya saya pelabur jangka panjang. Amat sukar untuk meramalkan pergerakan pasaran dalam jangka pendek. Walaupun semua kebimbangan yang Tuan suarakan adalah sesuatu yang dikhuatiri ramai pelabur, termasuk saya sendiri, tetapi terdapat juga kebarangkalian pasaran terus naik jika keputusan tertentu dicatatkan dalam pilihan raya ini.

Jika pelabur melabur dalam saham indeks yang besar dan tiada holding power dan tidak suka uncertainty...boleh ambil untung dan tunggu sehingga selepas keputusan pilihan raya untuk menilai semula kedudukan.

Tetapi bagi saham undervalued kurang popular lain yang bermodal lebih kecil dan mencatatkan prestasi yang mantap, pilihan raya tidak akan mempunyai pengaruh besar terhadap naik turun harga saham. Prestasi saham lebih tertumpu kepada prestasi syarikat.

Terpulang kepada Tuan untuk membuat keputusan, kerana kaedah pelaburan Tuan mungkin berbeza sedikit daripada kaedah pelaburan saya.

Mengenai ramalan indeks, saya tidak berani membuat ramalan kerana tiada siapa yang boleh meramalkan pasaran dengan tepat, sama ada dalam jangka pendek atau jangka panjang. Baca buku mengenai pelabur tersohor dan anda akan mendapati mereka juga tidak boleh meramalkan pergerakan harga pasaran dan amat was-was dengan sesiapa yang mengaku mampu melakukannya.