09 Januari, 2013

Pandangan Mobius Tentang Pasaran Malaysia

Masih ada potensi walaupun telah mencapai paras tertinggi

Ada pembaca yang meminta saya memberi pandangan tentang hala tuju pasaran saham pada 2013.  Saya tidak berani membuat ramalan dan ramai pelabur terkenal juga mengakui bahawa tiada siapa yang boleh meramalkan pergerakan pasaran secara konsisten. 

Walau bagaimanapun, ada beberapa tokoh pelaburan terkenal yang mempunyai pandangan umum tentang pasaran dan salah seorang daripadanya ialah Mark Mobius.

Mark Mobius ialah seorang pelabur tersohor yang memberi tumpuan dan melabur dalam saham negara-negara yang sedang membangun.  Beliau adalah pengerusi eksekutif Templeton Emerging Markets Fund.  Mobius ada menulis buku terkenal bertajuk Pasport to Profits.


Menurut Mobius, bagi Malaysia, beliau kini memberi tumpuan kepada syarikat kelapa sawit, perbankan, hartanah, penjagaan kesihatan dan pengguna. Indeks Malaysia telah mencapai paras tertinggi tetapi masih ada peluang menarik di sini kerana negara mengamalkan dasar yang mesra perniagaan dan disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang mantap.

Mobius berkata pada 2012, Malaysia mewakili 15% daripada pelaburan dalam dananya dan peratusan ini dijangka bertambah pada 2013. Sektor yang paling diminatinya bagi pasaran sedang membangun ialah komoditi dan pengguna.

Satu pemerhatian menarik yang dibuat oleh Mobius ialah mengenai fasa kenaikan dan penurunan pasaran.  Menurutnya pasaran yang naik (bull market) kekal lebih lama daripada pasaran menurun (bear market) di mana secara purata bull market berlanjutan selama 69 bulan dengan kadar kenaikan 423% manakala bear market lazimnya berlaku untuk tempoh 14 bulan dengan kadar penurunan 57%.

Buat masa ini, beliau mengakui bahawa ada saham yang agak mahal, jadi pelabur perlu bersedia keluar daripada saham yang mempunyai penilaian tinggi kepada yang lebih rendah.

Pandangan tersebut bersifat positif tetapi tidak harus diambil bulat-bulat kerana terdapat pandangan pakar lain yang tidak begitu positif tentang pasaran.  Perkara yang paling dikhuatiri ialah ketidakpastian yang wujud kerana pilihan raya pasti diadakan tahun ini.

Walau apa pun, kita tidak boleh meramalkan pasaran dengan tepat tetapi kita boleh memilih saham yang dijual pada nilai yang berpatutan.  Pendek kata beri tumpuan kepada prestasi syarikat dan bukannya tinjauan pasaran.

Tiada ulasan: