28 Januari, 2013

Sukuk DanaInfra: Pertama Untuk Pelabur Kecil

Instrumen bernama Exchange Traded Bonds & Sukuks Diperkenalkan

Setelah sekian lama, pelabur kecil di Malaysia kini boleh melabur dalam bon dan sukuk. Pelaburan ini boleh dibuat di Bursa Malaysia menerusi Exchange Traded Bonds & Sukuks atau Bon & Sukuk Dagangan Bursa, sama seperti membeli saham menerusi broker mereka.

Sukuk pertama yang diperkenalkan ialah DanaInfra Retail Sukuk. Sukuk DanaInfra bertujuan membiayai projek infrastruktur kebangsaan, terutamanya MRT. Pulangan Dana ini dijamin oleh kerajaan. Berikut adalah data penting tentang Sukuk Dana Infra:

Nilai muka: RM100 seunit.
Tarikh matang: Ulangtahun ke sepuluh selepas tarikh terbitan
Bayaran untung: 2 x setahun
Kadar untung: 4% (dinaikkan daripada cadangan asal 3.7%)
Status cukai: Bebas cukai
Langganan/Dagangan Minimum: RM1,000

Apabila disenaraikan di Bursa, dagangan minimum ialah satu lot, yang bersamaan 10 unit. Jika harga sukuk ialah RM100, maka nilai dagangan minimum ialah RM1,000. Perlu diingat bahawa, apabila disenaraikan, harga sukuk akan turun naik berasaskan bekalan dan permintaan semasa.
 
Baca Risalah Ini

Pelabur yang membeli sukuk boleh menyimpannya sehingga matang, atau menjualnya kepada pelabur lain melalui Bursa Malaysia.

Jika kita membeli pada harga lebih murah daripada nilai muka RM100, pulangan yang kita terima adalah lebih tinggi. Contohnya jika kita membeli pada harga RM90, bayaran kupon seunit yang kita terima ialah RM2 setiap enam bulan. Ini bermakna RM4 setahun. Pulangan sebenar yang kita terima ialah 4/90 = 4.44%

Sebaliknya jika kita membeli pada harga RM110, pulangan yang kita terima adalah lebih rendah.  Hasil pulangan yang kita perolehi pada harga RM110 ialah 4/110 =  3.6%.

Walaupun kadar yang ditetapkan ialah 4%, tetapi pulangan sebenar yang diterima bergantung kepada harga sukuk tersebut dibeli di pasaran. Menurut istilah bon dan sukuk, kadar 4% dinamakan kadar kupon (coupon rate) manakala manakala nilai sebenar yang diterima dinamakan hasil pulangan (yield).

Tidak dinafikan bahawa pilihan pelaburan ini sudah lama dinanti-nantikan, tetapi bagi pelabur Islam ia masih kurang menarik kerana lebih rendah daripada pulangan tahunan kira-kira 5% yang diberikan oleh Tabung Haji. Kadar pulangan Tabung Haji tidak dijamin tetapi ia kelihatan sangat stabil.

Antara manfaat yang dinyatakan dalam Pek Maklumat DanaInfra termasuk:
  • Peluang bagi pelabur mempelbagaikan pelaburan
  • Bayaran untung dijamin kerajaan
  • Bayaran wang pokok atau nilai muka dijamin kerajaan
  • Bayaran keuntungan dua kali setahun
  • Disenaraikan dan dijual beli di Bursa Malaysia
  • Keuntungan dikecualikan cukai
  • Pelaburan patuh Syariah

Buat masa ini, pelaburan ETBS ini masih kurang berbaloi bagi pelabur kecil Islam tetapi mungkin terdapat situasi di mana harganya turun lantas meningkatkan hasil pulangan atau mungkin terdapat produk lain yang menawarkan pulangan lebih tinggi pada masa depan.

Justeru, pelabur konservatif patut memerhatikan perkembangan terkini berkenaan produk ETBS. DanaInfra ialah satu permulaan yang baik dan kita tunggu dan lihat produk lain sepertinya pada masa depan.

Nota:  Patuh Syariah ialah berasaskan kriteria di Malaysia. Saya akan cuba selidik kontrak yang digunakan dan sama ada ia diterima pakai di negara-negara Timur Tengah.

1 ulasan:

Insan Biasa berkata...

nice info... thanks!