28 Februari, 2012

Century Logistics Catat Prestasi Memuaskan

Tetap raih untung tinggi walaupun prestasi terjejas buat seketika

Century Logistics, sebuah syarikat penyelesaian rantaian bekalan, telah mencatatkan keputusan agak memuaskan untuk suku keempat tahun 2011 dan juga seluruh tahun tersebut walaupun operasi unit simpanan terapungnya (FSU) tergendala untuk tempoh dua bulan. Operasi tersebut kini telah disambung semula.

Pendapatan sesaham (EPS) Century ialah 37.8 sen untuk seluruh tahun 2011 berbanding 38.7 sen pada tahun 2010.  Prestasi ini agak memuaskan walaupun menyusut sedikit.

Tetapi kemerosotan ini berlaku kerana syarikat terpaksa menghentikan operasi 5 FSU di luar pesisir Pasir Gudang dan memindahkannya atas arahan Jabatan Marin.

Walau apa pun, perkara yang menarik tentang Century Logistics ialah harga sahamnya yang berada di paras RM1.65 - RM1.90 sejak beberapa bulan lepas, dan pada harga ini ia diperdagangkan pada nisbah harga pendapatan (P/E) di bawah 5.



Dipetik daripada Bursa Malaysia


Dividen keseluruhan pada tahun ini dijangka 12 sen, di mana 5 sen telah dibayar dan dividen 7 sen dijangka dibayar, memberikan dividend yield atau pulangan dividen 6 - 7%.  Berikut adalah carta 5 tahun Century Logistics.



Dipetik daripada Bursastation


Perlu diingat bahawa separuh kedua tahun lepas agak kurang baik bagi ekonomi dunia dan mungkin juga separuh pertama tahun ini.  Ini menjadikan prestasi Century agak memberangsangkan.

Dari segi aset, nilai aset ketara bersih Century ialah RM2.49.  Ini bermakna syarikat ini boleh dianggap undervalued dari segi keuntungan dan aset selain mempunyai tahap hutang yang agak rendah.

Secara keseluruhan, mungkin dalam jangka pendek keadaan ekonomi dan prestasi syarikat akan mendatar tetapi apabila dagangan global kembali pesat, Century berpotensi berkembang lagi dan menarik perhatian daripada masyarakat pelabur.

Harga saham Century berbanding tahap keuntungan dan aset menunjukkan bahawa saham undevalued tetap wujud walaupun indeks pasaran berada di paras yang agak tinggi.

21 Februari, 2012

Sara1Malaysia Sahih, Bukan Skim Cepat Kaya

Pengiraan yang saya buat sahkan dakwaan pulangan 12 peratus

Sara 1 Malaysia ialah sebuah skim simpanan untuk golongan berpendapatan rendah.  Mungkin terdapat terlalu banyak maklumat yang mengelirukan dan bercampur-aduk di Internet tentang skim ini yang menyebabkan ramai orang hairan bagaimana boleh terima pulangan setinggi 12% seperti yang didakwa PNB.

Kita akan lihat langkah demi langkah bagaimana pulangan sedemikian dapat dicapai. Tetapi terlebih dahulu anda boleh membaca brosur di bawah untuk melihat ciri dan kelayakan skim. Sila klik dan besarkan dalam browser.




Ciri-Ciri Asas
  1. Pelabur mohon pinjaman RM5,000 daripada Bank yang turut serta (MBB, RHB, CIMB dan BSN).
  2. Pinjaman RM5,000 akan dilaburkan dalam AS1Malaysia 
  3. Kadar pinjaman disubsidi , pelabur hanya perlu bayar balik jumlah pokok.
  4. Bayaran balik ialah RM84 sebulan dari bulan 1 - 59 dan RM44 pada bulan terakhir
  5. Pelaburan RM5,000 akan  menerima dividen sehingga akhir tempoh pelaburan (dan boleh diteruskan selepas itu).
  6. Jika pelabur tidak keluarkan wang sepanjang tempoh, pulangan akhir yang diterima adalah 12%.

Bagaimana pulangan ini diperolehi:
  •  Pulangan yang dijangka bagi AS1M ialah 6.5% (Lihat laman web ASNB, klik pada AS1M).
  • Pulangan akhir pelaburan RM5,000 selepas lima tahun ialah RM6,850 (perhatian ini pulangan terkompaun, bukan pengiraan simple returns)
  • Jika guna mesin pengira kewangan, tetapkan kepada 12 pymt per year. Kemudian tekan 0 PV; -84 PMT; 6850 FV; 60 n; dan tekan I/YR.  Jawapan = 11.94%*
  • Kalau guna laman web, pergi ke laman web http://www.suncorpbank.com.au/personal/investing/calculators/return. Masukkan angka yang berkenaan seperti di bawah*:


* Pulangan akan lebih hampir kepada 12% apabila kita mengambil kira bahawa bayaran terakhir adalah RM44 dan bukan RM84. Kedua-dua pengiraan di atas mengandaikan semua bayaran ialah RM84.

Bagi mereka yang layak, skim ini adalah skim tabungan bermanfaat yang menggunakan faktor leverage atau kesan pengganda hutang.  Ini bermakna dividen dibayar atas RM5,000 sejak dari mula lagi sedangkan bayaran balik dibuat secara ansuran (deferred).  Jika pelabur menyimpan terus RM84 dalam AS1M secara bulanan, pulangan yang diterima hanya 6.5%.

Skim ini boleh dilaksanakan kerana Kerajaan memberi subsidi untuk kadar pinjaman yang dikenakan oleh bank.  Sebab itulah pulangan yang diterima ialah 12%.  Jika pelabur terpaksa menanggung kadar pinjaman, maka pulangan yang diterima adalah lebih rendah, bergantung antara perbezaan antara kadar dividen dan kadar pinjaman.

Apa yang menjadikan skim ini menarik bagi golongan berpendapatan rendah ialah pinjaman skim ini tanpa kos faedah bagi mereka, membolehkan mereka meraih manfaat daripada dividen dan juga kadar pinjaman yang disubsidi.

Jadi kita sudah pasti bahawa skim ini memang berbaloi.  Cuma persoalannya ialah sama ada skim patuh Syariah. Bagi pelabur individu, rasanya tiada masalah kerana pinjaman mereka tidak dikenakan faedah.

Cuma subsidi kadar pinjaman menjadi urusan antara bank dan kerajaan (iaitu cara bayaran ini distruktur). Ini adalah isu antara kedua-dua pihak dan sama ada ia patuh Syariah hanya boleh ditentukan oleh Majlis Fatwa dan pakar perbankan Islam.

15 Februari, 2012

Saham Sudah Naik Tetapi Pelabur Harus Berwaspada

Saham modal kecil & sederhana melonjak tetapi jangan terlalu ghairah

Beberapa bulan lepas saya ada menulis tentang keadaan ekonomi global yang tidak seburuk yang disangka dalam posting berikut: Kesan Global Tidak Seburuk Disangka

Di samping itu, saya juga ada menulis pada awal tahun tentang saham bermodal kecil dan sederhana yang agak kelihatan undervalued berbanding saham bermodal besar  seperti yang dilihat daripada pergerakan FBM Small Cap berbanding FBM KLCI dalam posting berikut: Imbasan Pasaran Saham 2011

Dalam masa sebulan lebih, indeks FBM Small Cap telah naik dengan ketara berbanding kenaikan FBM KLCI seperti yang dilihat daripada carta berikut:


FBM Small Cap (Biru) vs FBM KLCI (Merah) - 3 Bulan

Dipetik daripada Bursastation
 
Kita dapat lihat bahawa FBM Small Cap telah melonjak sejak bulan Januari, dengan harga sesetengah saham modal sederhana dan kecil mendapat perhatian pelabur dengan kenaikan volum dagangan dan juga harga yang ketara.

Ada beberapa saham dalam radar saya yang pernah disebutkan dalam blog ini seperti CBIP, FFM, Petronas Chemicals, Padini, Freight Management dan BIMB telah naik.  Ada yang naik kerana proses pecahan saham atau proses korporat dan bukan kerana kenaikan untung.

Walaupun suasana luar nampak seperti sudah stabil, masih ada kemungkinan kecil berlaku sesuatu yang tidak diduga di Eropah.  Lagipun kenaikan berlaku sedangkan pada suku tahun ini keuntungan korporat dijangka mendatar sahaja.

Keadaan nampak positif tetapi pelabur perlu berhati-hati dan tidak terlalu mengejar saham hangat sehingga melupakan nilai sebenar saham tersebut berasaskan keuntungan.

07 Februari, 2012

Mengira Pelaburan Bulanan dan Sasaran

Menggunakan mesin pengira di Internet untuk merancang pelaburan

Sekarang ini amat mudah bagi pelabur untuk mengira keperluan pelaburan masing-masing.  Tidak perlu lagi menggunakan mesin pengira kewangan atau menggunakan speadsheet untuk merangka model pengiraan.

Kita lihat dua situasi berikut di mana pelabur boleh memanfaatkan mesin pengira khusus di Internet untuk merancang pelaburan bulanan atau menentukan nilai pelaburan akhir.

Menentukan Pelaburan Bulanan

Andaikan anda mahu memulakan porgram pelaburan bulanan.  Anda memulakan pelaburan dengan RM1,000 dan ingin mengumpulkan 100,000 dalam tempoh 10 tahun.  Pelaburan dijangka menghasilkan pulangan terkompaun tahunan 8 peratus. Berapakah tabungan bulanan yang perlu anda buat?

Kunjungi laman web berikut: http://www.bankrate.com/calculators/savings/saving-goals-calculator.aspx
Masukkan data yang berkenaan ke dalam medan yang disediakan:


Pelaburan bulanan yang diperlukan untuk mencapai sasaran RM100,000 ialah RM533.35.


Menentukan Nilai Pelaburan Akhir

Anda mahu memulakan program pelaburan bulanan. Anda memulakan pelaburan dengan RM1,000 dan anda rasa anda mampu melabur RM300 sebulan. Pulangan yang dijangkakan ialah 8 peratus terkompaun tahunan. Berapakah nilai pelaburan akhir anda selepas 20 tahun?

Kunjungi laman web berikut: http://www.bankrate.com/calculators/savings/compound-savings-calculator-tool.aspx.  Masukkan data yang berkenaan di medan yang disediakan:


Pada akhir tempoh 20 tahun anda akan mengumpulkan RM182,811.

Nota: Kedua-dua mesin pengira ini boleh digunakan untuk mengira simpanan, pelaburan ASB, ASW dan unit amanah dan juga pelaburan saham.