21 Februari, 2012

Sara1Malaysia Sahih, Bukan Skim Cepat Kaya

Pengiraan yang saya buat sahkan dakwaan pulangan 12 peratus

Sara 1 Malaysia ialah sebuah skim simpanan untuk golongan berpendapatan rendah.  Mungkin terdapat terlalu banyak maklumat yang mengelirukan dan bercampur-aduk di Internet tentang skim ini yang menyebabkan ramai orang hairan bagaimana boleh terima pulangan setinggi 12% seperti yang didakwa PNB.

Kita akan lihat langkah demi langkah bagaimana pulangan sedemikian dapat dicapai. Tetapi terlebih dahulu anda boleh membaca brosur di bawah untuk melihat ciri dan kelayakan skim. Sila klik dan besarkan dalam browser.




Ciri-Ciri Asas
  1. Pelabur mohon pinjaman RM5,000 daripada Bank yang turut serta (MBB, RHB, CIMB dan BSN).
  2. Pinjaman RM5,000 akan dilaburkan dalam AS1Malaysia 
  3. Kadar pinjaman disubsidi , pelabur hanya perlu bayar balik jumlah pokok.
  4. Bayaran balik ialah RM84 sebulan dari bulan 1 - 59 dan RM44 pada bulan terakhir
  5. Pelaburan RM5,000 akan  menerima dividen sehingga akhir tempoh pelaburan (dan boleh diteruskan selepas itu).
  6. Jika pelabur tidak keluarkan wang sepanjang tempoh, pulangan akhir yang diterima adalah 12%.

Bagaimana pulangan ini diperolehi:
  •  Pulangan yang dijangka bagi AS1M ialah 6.5% (Lihat laman web ASNB, klik pada AS1M).
  • Pulangan akhir pelaburan RM5,000 selepas lima tahun ialah RM6,850 (perhatian ini pulangan terkompaun, bukan pengiraan simple returns)
  • Jika guna mesin pengira kewangan, tetapkan kepada 12 pymt per year. Kemudian tekan 0 PV; -84 PMT; 6850 FV; 60 n; dan tekan I/YR.  Jawapan = 11.94%*
  • Kalau guna laman web, pergi ke laman web http://www.suncorpbank.com.au/personal/investing/calculators/return. Masukkan angka yang berkenaan seperti di bawah*:


* Pulangan akan lebih hampir kepada 12% apabila kita mengambil kira bahawa bayaran terakhir adalah RM44 dan bukan RM84. Kedua-dua pengiraan di atas mengandaikan semua bayaran ialah RM84.

Bagi mereka yang layak, skim ini adalah skim tabungan bermanfaat yang menggunakan faktor leverage atau kesan pengganda hutang.  Ini bermakna dividen dibayar atas RM5,000 sejak dari mula lagi sedangkan bayaran balik dibuat secara ansuran (deferred).  Jika pelabur menyimpan terus RM84 dalam AS1M secara bulanan, pulangan yang diterima hanya 6.5%.

Skim ini boleh dilaksanakan kerana Kerajaan memberi subsidi untuk kadar pinjaman yang dikenakan oleh bank.  Sebab itulah pulangan yang diterima ialah 12%.  Jika pelabur terpaksa menanggung kadar pinjaman, maka pulangan yang diterima adalah lebih rendah, bergantung antara perbezaan antara kadar dividen dan kadar pinjaman.

Apa yang menjadikan skim ini menarik bagi golongan berpendapatan rendah ialah pinjaman skim ini tanpa kos faedah bagi mereka, membolehkan mereka meraih manfaat daripada dividen dan juga kadar pinjaman yang disubsidi.

Jadi kita sudah pasti bahawa skim ini memang berbaloi.  Cuma persoalannya ialah sama ada skim patuh Syariah. Bagi pelabur individu, rasanya tiada masalah kerana pinjaman mereka tidak dikenakan faedah.

Cuma subsidi kadar pinjaman menjadi urusan antara bank dan kerajaan (iaitu cara bayaran ini distruktur). Ini adalah isu antara kedua-dua pihak dan sama ada ia patuh Syariah hanya boleh ditentukan oleh Majlis Fatwa dan pakar perbankan Islam.

1 ulasan:

Dee berkata...

Satu lagi subsidi untuk rakyat Malaysia