18 September, 2011

Sedia Untuk Masuk? Mungkin Tunggu Dulu

Masih ada ketakpastian ketara, lebih selamat untuk tunggu & lihat

Pasaran saham telah jatuh sejak tiga bulan lepas dan mereka yang mempunyai wang untuk melabur mungkin sudah mula melihat nilai dalam beberapa syarikat.

Memang benar, beberapa syarikat yang mencatat untung memberangsangkan dalam tempoh setahun lepas nampak murah selepas kejatuhan pasaran tetapi rasanya kita perlu berhati-hati.


Dipetik daripada Bursastation

Pertama sekali, berasaskan data sejarah yang dipetik oleh beberapa buah buku mengenai saham, pasaran 'bear' atau menurun biasanya kekal sekurang-kurangnya 9 bulan dan mungkin lebih daripada itu dan kita baru memasuki bulan ketiga sahaja.

Kedua, mungkin ada baiknya kita tinjau keputusan suku ketiga tahun 2011 terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa kesimpulan kerana daripada keputusan itulah kita akan dapat melihat prestasi syarikat dalam keadaan ekonomi yang lemah.

Ketiga, kita juga harus meninjau prestasi ekonomi AS, Eropah dan juga Malaysia untuk suku ketiga 2011 untuk menentukan hala tuju ekonomi dan pasaran.

Keempat, masalah utama yang dihadapi negara barat, iaitu masalah hutang Greece dan beberapa negara Eropah lain masih belum diselesaikan.

Persoalannya ialah kenapa terlalu khuatir dengan Greece sedangkan ia negara kecil dan tidak penting? Masalahnya ialah banyak bank kukuh memegang hutang Greece dan jika negara tersebut muflis, bank yang memegang bon kerajaan juga akan menghadapi masalah besar.

Walaupun kita jauh daripada semua masalah ini, tetapi kita tidak terlepas daripada tempiasnya kerana negara kita amat bergantung kepada eksport.

Pada pendapat saya, kelemahan ekonomi akan membuka satu lagi peluang untuk mencatatkan keuntungan lumayan, tetapi kita perlu bijak menentukan syarikat mana yang naik dengan pantas apabila ekonomi kembali pulih.

Perlu diingat bahawa syarikat yang dapat mengekalkan harga saham dalam keadaan gawat kemungkinan besar bukan syarikat yang 'naik' paling pantas apabila ekonomi dan sentimen kembali pulih.

1 ulasan:

Mohd Khalil berkata...

Terima kasih. Tulisan yang berfaedah.
www.kadikluang.blogspot.com