05 September, 2011

Perkembangan Ekonomi Diramalkan Lebih Rendah

Pertumbuhan hanya 4% pada S2 2011, tetapi tiada kemelesetan dijangka

Baru-baru ini, Bank Negara Malaysia telah mengumumkan pertumbuhan ekonomi pada kadar 4% untuk suku tahun kedua 2011.

Kadar tersebut adalah lebih rendah daripada 9.5% berbanding suku tahun yang sama pada 2010, dan juga lebih rendah daripada 4.9% yang dicatatkan pada suku pertama tahun ini.

Angka 9.5% tahun lepas boleh diabaikan kerana merupakan kes luar biasa disebabkan kesan daripada pemulihan selepas gawat pada 2009, tetapi statistik yang lebih membimbangkan ialah penurunan berbanding suku pertama tahun ini.

Berikut adalah carta pertumbuhan ekonomi suku tahunan Malaysia:


Dipetik daripada rencana The Star

Walaupun kita dapat lihat bahawa graf sedang menurun, kemelesetan dijangka tidak berlaku.  Kemelesetan ekonomi ditakrifkan sebagai pertumbuhan ekonomi negatif buat dua suku tahun berturut-turut.

Faktor utama yang menyebabkan kelemahan ini ialah kedudukan ekonomi luar yang kurang baik, terutamanya kerana  masalah hutang kerajaan di Amerika dan Eropah.

Satu kesan, yang mungkin positif bagi orang ramai, ialah kelemahan ekonomi yang dialami ini mendorong Bank Negara untuk menangguhkan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR).

Ini bermakna kadar pinjaman/pembiayaan asas (BLR/BFR) juga tidak berubah, membolehkan semua orang yang mempunyai pinjaman berasaskan BLR dan BFR untuk menarik nafas lega.

Satu lagi masalah yang dihadapi ialah inflasi, tetapi ini dijangka akan dikekang buat sementara kerana kesan kelemahan ekonomi. 

Buat masa ini, walaupun Indeks Harga Pengguna (CPI) menunjukkan paras hanya antara 3 - 3.5%, pengguna merasai kesan kerana harga bahan makanan naik lebih daripada paras itu.

Bagi saham, sudah tentulah keadaan ekonomi akan menjejaskan untung, dan ini dipaparkan menerusi penurunan pasaran dalam tempoh sebulan dua ini.

Bagaimanapun, melainkan kejutan besar berlaku, kelemahan semasa dijangka hanya sederhana sahaja dan langsung tidak boleh dibandingkan dengan kegawatan pada 2008/2009.

Bagi mereka yang ingin 'bargain hunting' saham, rasanya sekarang ini pun sudah ada peluang, cuma keputusan yang perlu dibuat ialah menunggu sehingga situasi lebih jelas atau bersedia untuk masuk ke pasaran dengan serta-merta.

2 ulasan:

rahisam berkata...

salam saudara Razali..mohon izin share maklumat ini.tq

Unknown berkata...

Wasalam,

Silakan...semua artikel dalam blog ini boleh dikongsi selagi ada link kepada blog ini.

Terima kasih