22 September, 2011

Perkembangan Terkini Saham IPO

Semakin banyak IPO jatuh di bawah harga penyenaraian

Dua bulan lepas saya meninjau prestasi 30 IPO terbaru dan mendapati walaupun pada keadaan indeks yang tinggi, hampir separuh diperdagangkan di bawah harga penyenaraian.

Pada hari ini indeks FBKL jatuh 31 mata, dan kita lihat kedudukan saham IPO terbaru dalam keadaan di mana pasaran berada pada paras sederhana.

Dipetik daripada Bursastation

Kita dapat lihat bahawa hanya 10 IPO yang berada di atas harga penyenaraian, dan ada beberapa syarikat ini yang boleh dianggap sebagai sangat kukuh.

Sebaliknya, ada satu dua IPO yang jatuh teruk dan penyenaraiannya boleh dikatakan hampir bersifat scam kerana  pemilik asal seolah-olah menyenaraikan saham untuk raih untung  dan bukannya untuk mengumpulkan modal bagi syarikat.

Selain itu, anda perlu melihat keadaan dari pandangan penjual saham IPO ini. Jika anda memiliki syarikat dan mahu menjual atau menyenaraikannya, sudah tentu anda akan menjual sekurang-kurangnya pada fair value atau lebih.

Justeru pada pendapat saya saham IPO lazimnya bukan undervalued dan kenaikan saham yang berlaku pada peringkat awal hanya atas sebab permintaan dan bekalan saham syarikat, bukan kerana prestasinya.

Walaupun pasaran kelihatan malap, faktor positif bagi mereka yang bersabar dan tidak mengejar-ngejar saham baru ini apabila baru tersenarai ialah peluang untuk membeli saham IPO mantap pada harga berpatutan.

Daripada senarai 30 syarikat di atas, yang menarik perhatian saya ialah Bumi Armada, Benalec, Eversendai dan Petronas Chemicals yang sudah turun hampir ke harga penyenaraiannya.

Pada waktu inilah kita boleh mula berfikir (tetapi tidak semestinya bertindak) untuk mengambil kesempatan daripada harga yang semakin rendah.

Seperti yang saya nyatakan dalam posting lepas, mungkin ada baiknya kita tunggu dulu kerana 'bear market' baru masuk ke peringkat pertama.

Namun inilah masanya untuk mula mengumpulkan senarai beli kita untuk mendapatkan nilai terbaik apabila keadaan kembali reda.

Tiada ulasan: