Bergantung kepada sama ada anda berdisiplin untuk menabung sendiri
Kita tinggalkan kemelut pasaran saham buat sementara waktu untuk membincangkan tentang Takaful Kesihatan, sesuatu yang amat perlu pada masa kini, terutamanya untuk menampung kos rawatan di hospital swasta.
Kita semua tahu bahawa kos perubatan dan pembedahan sekarang amat mahal. Kos pembedahan di hospital swasta, walaupun untuk prosedur ringkas, kemungkinan besar mencecah RM10,000 walaupun untuk prosedur pembedahan ringkas.
Maka Takaful Kesihatan menjadi satu keperluan, terutamanya bagi mereka yang tidak dilindungi oleh majikan, atau jika perlindungan majikan mempunyai had yang rendah.
Malah bagi saya, ada baiknya anda mendapatkan perlindungan kesihatan sendiri, walaupun dilindungi oleh program kesihatan majikan, kerana anda tetap terlindung jika anda bertukar kerja atau tidak bekerja buat sementara waktu.
Tambahan lagi, jika anda mengalami sesuatu penyakit kritikal, anda mungkin tidak diterima lagi untuk perlindungan kesihatan jika anda belum mendapatkannya terlebih dahulu.
Cuma persoalannya ialah adakah anda mengambil polisi kesihatan sahaja atau mengambil polisi kesihatan bersama komponen simpanan, yang memberikan anda pulangan pada akhir tempoh perlindungan?
Ramai orang keliru tentang polisi seperti ini. Mereka menganggap bahawa jika mereka ambil polisi kesihatan sahaja, wang mereka akan hangus dan tiada pulangan diperolehi.
Sebenarnya jika mereka mengambil polisi kesihatan dengan komponen simpanan (yang sudah tentulah lebih mahal) premium yang diperuntukkan untuk komponen takaful kesihatan masih tetap hangus juga. Hanya premium yang dibayar untuk simpanan sahaja yang akan digunakan untuk memberikan anda pulangan.
Pada peringkat awal dulu, ibu bapa saya pernah membelikan insurans kesihatan dengan komponen simpanan. Tetapi apabila saya ingin menukar kepada takaful, barulah saya tahu betapa polisi ini memberikan pulangan sederhana sahaja.
Malah, jika anda menyerahkan polisi awal, anda sebenarnya akan rugi. Ini bermakna anda mendapat pulangan sederhana jika disimpan sehingga matang, tetapi rugi jika menebus awal.
Wang anda kemungkinan besar boleh dimanfaatkan dengan lebih baik dengan pelbagai pilihan simpanan atau pelaburan patuh syariah yang wujud di pasaran sekarang.
Tetapi faktor paling penting tentang kaedah tabungan/pelaburan sendiri ialah jika anda memerlukan wang tersebut untuk digunakan terlebih dahulu untuk tempoh dua atau tiga bulan umpamanya, anda boleh mengeluarkan wang tersebut dan kemudian melaburkan atau menabungnya kembali.
Anda hanya tidak mendapat sebarang pulangan untuk tempoh apabila pulangan tersebut dikeluarkan sahaja. Pilihan ini tidak wujud bagi komponen simpanan dalam takaful kesihatan. Jika anda menebus polisi, anda akan rugi.
Satu lagi perkara ialah premium yang dibayar untuk komponen simpanan pada peringkat awal juga akan dipotong yuran ejen insurans, justeru mengurangkan lagi pulangan anda.
Pada pendapat saya, kalau mahukan takaful kesihatan, ambil takaful kesihatan sahaja (dan juga rider hayat jika anda memerlukannya), tanpa sebarang komponen simpanan.
Kalau tak silap saya, hanya segelintir syarikat takaful yang menawarkan insurans kesihatan tanpa sebarang komponen simpanan. Syarikat lain mewajibkan takaful kesihatan diambil bersama komponen simpanan.
2 ulasan:
boleh tak tuan razali boleh bagi contoh syarikat takaful yang keluarkan produk takaful yang ada takaful perubatan tanpa simpanan.. susahla saya nak cari produk kompeni ni..kebanyakan syarikat takaful yang saya jumpa mewajibkan pelan simpanan utk perubatan...terima kasih
Salam....sekarang memang susah. Saya guna MAA Takaful. Call ejen saya En Azman di 016-603 6348. Beritahu Razali suruh call dan minta details plan medical sama yang saya guna. Atau sebaliknya PM no. tel Tuan kepada saya menerusi Facebook dan saya akan suruh dia call Tuan.
Catat Ulasan