tertentu yang mungkin tidak dapat dikutip
Ada pembaca yang bertanya tentang provision for doubtful debts atau peruntukan hutang ragu, kerana mendapati beberapa syarikat yang mengalami masalah kerana peruntukan ini.
Sebenarnya peruntukan untuk hutang ragu dibuat untuk meramalkan hutang yang mungkin tidak dapat dikutip, walaupun syarikat belum pasti sepenuhnya bahawa hutang tersebut tidak boleh dikutip.
Peruntukan ini dibuat untuk memastikan paras keuntungan tidak dinyatakan pada tahap terlalu tinggi kerana syarikat tersebut sudah tahu akan mengalami masalah mengutip hutang tertentu.
Ada beberapa cara berbeza untuk membuat peruntukan bagi hutang ragu:
- Membuat peruntukan am berasaskan % tertentu baki dalam akaun penghutang.
- Membuat peruntukan berasaskan % tertentu hasil sepanjang tahun
- Membuat peruntukan berasaskan pelanggan khusus yang diragui keupayaan mereka untuk membayar balik hutang
- Membuat peruntukan berasaskan 'debtor's aging' atau tempoh hutang belum dibayar. Contohnya syarikat boleh menetapkan bahawa sesuatu hutang dianggap hutang ragu jika tidak dikutip dalam masa 1 tahun.
Syarikat yang konservatif akan membuat peruntukan yang sewajarnya untuk memastikan pelabur mendapatkan maklumat terkini tentang status penghutang.
Masalah biasanya timbul apabila peruntukan yang sewajarnya tidak dibuat dan syarikat terus mengandaikan hutang boleh dikutip walaupun sudah lama tidak dibayar.
Jika pihak pengurusan tidak membuat peruntukan, dan tiba-tiba pada sesuatu tahun, kebanyakan hutang memang sah tidak dapat dikutip, satu jumlah besar akan dianggap sebagai hutang lapuk dan ditolak terus daripada akaun untung rugi pada tahun tersebut, menyebabkan syarikat mengalami kerugian besar secara tiba-tiba.
Ini mungkin boleh dianggap satu tindakan untuk menyelindungi maklumat daripada pelabur kerana sepatutnya peruntukan yang lebih besar dibuat pada tahun terdahulu untuk memastikan pelabur maklum tentang keadaan sebenar.
Tetapi kadangkala peruntukan besar dibuat bukan kerana pengurusan mahu menyelindung maklumat tetapi kerana keadaan ekonomi. Katakan krisis ekonomi berlaku dan kebanyakan pelanggan syarikat tiba-tiba mengalami masalah, maka itu adalah kerugian jujur yang mungkin tidak dapat dielakkan.
Biasanya dalam kes di mana syarikat tiba-tiba terpaksa membuat peruntukan hutang ragu yang besar dan menjadi isu umum, akhbar kewangan akan membuat analisis sama ada salah laku berlaku ataupun disebabkan masalah perniagaan yang sahih.
Jika masalah disebabkan oleh salah laku, maka saham syarikat akan jatuh dengan lebih teruk.
1 ulasan:
terima kasih di atas penjelasan saudara. sekarang barulah saya faham.
Catat Ulasan