21 Januari, 2009

Bukan Senang Membina Pendapatan Pasif

Kerja Keras atau Modal Besar Diperlukan Di Peringkat Awal

Sebelum ini saya ada menyentuh tentang pendapatan pasif. Pendapatan pasif diperlukan untuk membolehkan seseorang benar-benar bebas dari segi kewangan dan mampu bersara dengan fikiran yang tenang. Walaupun pada hakikatnya pendapatan pasif amat berguna, pelaburan awal untuk meraih pendapatan pasif ini agak besar, sama ada dari segi modal, daya kreatif atau keringat yang dicurahkan.

Secara peribadi, saya juga sedang berusaha membina pendapatan pasif. Antara sumber pendapatan pasif saya termasuk sewa rumah (memerlukan modal yang besar), dividen daripada pelaburan dalam perniagaan rakan (memerlukan modal), dividen daripada amanah saham kerajaan dan yang terbaru, pulangan daripada buku yang akan diterbitkan (memerlukan banyak kerja untuk disiapkan, tanpa sebarang pulangan awal).

Pendapatan daripada perniagaan yang saya jalankan sekarang bukan pendapatan pasif kerana saya masih perlu bekerja di dalam perniagaan untuk menjana pendapatan. Keuntungan daripada portfolio saham juga saya anggap separa pasif kerana masih ada kerja yang dilakukan, termasuk menyelidik syarikat dan memantau harga saham.

Justeru kita dapat lihat bahawa sesuatu perlu dilaburkan sebelum pulangan dapat dicapai dan kerja-kerja awal untuk mendapatkan pendapatan pasif adalah kerja yang paling berat. Dari segi pendapatan pasif yang diperolehi daripada pelaburan modal, semakin besar modal, semakin besar pendapatan yang diraih. Justeru, gaji (pendapatan aktif) yang kita perolehi boleh dilaburkan atau ditabung untuk menjana pendapatan pasif.

Sebaliknya kita juga boleh memulakan satu perniagaan sama secara fizikal atau menerusi Internet, dan mengembangkan perniagaan tersebut sehingga ke satu tahap apabila perniagaan tersebut boleh diuruskan secara automatik sepenuhnya, iaitu dikendalikan oleh pengurus dan kakitangan sendiri, di mana kita hanya merangka strategi dan menjadi pemegang saham utama sahaja.

Satu lagi cara ialah bekerja keras untuk mencipta sesuatu karya, sama ada kreatif, artistik, penulisan, perisian dan sebagainya. Ini satu risiko kerana kerja awal anda dibuat tanpa bayaran. Tetapi jika laku atau laris, maka pulangan yang anda perolehi berlipat kali ganda kerana kerja perlu dilakukan sekali sahaja.

Ada pembaca bertanya bagaimana seorang pelajar boleh membina pendapatan pasif. Pada pendapat saya sukar tetapi mungkin boleh dilakukan. Cara paling singkat ialah melibatkan diri dalam bidang jualan. Harus diingat bahawa tanpa jualan, sesebuah perniagaan akan gagal. Justeru kemahiran jualan amat penting dan sesiapa yang pandai menjual biasanya meraih pendapatan yang tinggi.

Satu alternatif ialah dengan melibatkan diri dalam perniagaan MLM. Kerja keras diperlukan pada peringkat awal, tetapi pulagannya berlipat kali ganda apabila perniagaan sudah mapan. Tetapi cara yang paling popular sekarang ini ialah perniagaan online kerana modal yang diperlukan amat sedikit dan pasaran yang boleh dicapai tidak terhad. Namun, mereka yang ingin menceburi bidang ini perlu rajin belajar dan perlu bekerja keras di peringkat awal. Walau apa pun kalau menceburi bidang perniagaan, jangan sampai mengabaikan pelajaran.

Jika anda masih belajar, walaupun anda tidak dapat membina pendapatan pasif serta-merta, anda boleh merangka strategi dan belajar cara-cara membina pendapatan pasif, iaitu menimba ilmu yang diperlukan dengan membaca buku atau menghadiri seminar atau menolong orang lain berniaga pada musim cuti. Selain itu pelajar boleh mula memupuk tabiat suka menabung.

Apabila tamat pengajian kelak, pelajar mempunyai dua pilihan, dia boleh makan gaji atau menceburi bidang perniagaan. Pada waktu itulah persediaan tambahan yang dibuat (di luar dewan kuliah) semasa berada di bangku sekolah atau institut pengajian tinggi akan mula membuahkan hasil.

4 ulasan:

CheeWee berkata...

Setuju - bukan senang tapi tak mustahil! (there's no shortcut to success). Contoh-contoh yang diberi memang ada ' success stories' / 'proven track records'
Nak tambah lagi 2 contoh - bina agensi insuran atau unit trust. Boleh mula sebagai part time (modal rendah - cuma yuran tahunan) tapi kena rajin jumpa prospects. Banyak success stories di dalam bidang ini.

MIJI berkata...

Salam Razali Razman,tips yang hebat dan bernas bagi student cam saya ni,insya-Allah akan saya praktikkan :)


http://blogahmadtarmizi-miji.blogspot.com/

Tanpa Nama berkata...

tq En Razali Razman

fahmi setuju dengan artikel"Bukan Senang Membina Pendapatan Pasif"

kalau yg masih belajar dan yg masih bekerja jgn berhenti.... buat parttime jer bisnes.... ye fahmi setuju sekali....ngan pendapat En Razali Razman banyakkan menabung..:)

kalau berhenti kerja nak buat bisnes takut nanti makan maggi...

ni pengalaman ngeri peribadi fahmi...:(

tq En Razali Razman

Unknown berkata...

Slm Semua,

Cadangan Chee Wee ialah satu lagi pilihan yang baik...

Fahmi...walaupun makan maggi mee, tapi pengalaman tersebut amat berharga dan tidak boleh ditimba daripada mana-mana universiti...sekarang fahmi pasti lebih bijak dan tahu apa yang patut dan tidak patut dilakukan...