Alternatif Lebih Selamat Berbanding Ah Long; Tetapi Pastikan Pinjam Untuk Tujuan Perniagaan, Bukan Tujuan Peribadi
Kita sedia maklum bahawa ada ramai orang yang tidak layak mendapatkan pinjaman bank secara konvensyenal. Ada yang pendapatan bulanan mereka tidak mencukupi untuk mendapatkan pinjaman, manakala ada pula yang berniaga dan tidak mempunyai sumber pendapatan tetap. Mungkin mereka baru memulakan perniagaan, menyebabkan bank ragu-ragu untuk memberikan pinjaman. Ada pula yang sudah lama berniaga tetapi rekod akaun mereka pula tidak begitu baik.
Sekiranya mereka memerlukan pembiayaan, bagaimana golongan ini mendapatkan wang? Sudah tentulah mereka mencari syarikat kewangan bukan bank atau Ah Long yang syarat pinjaman mereka tidak begitu ketat, tetapi mengenakan kadar faedah yang begitu tinggi.
Menyedari keperluan golongan ini, CIMB telah menubuhkan anak syarikat CIMB Express untuk menyediakan perkhidmatan 'microfinancing' untuk peniaga kecil dan golongan berpendapatan rendah. Syarat-syaratnya secara kasar adalah seperti berikut, tetapi maklumat lanjut boleh didapati dilaman web CIMB bank.
1. Pembiayaan antara 3,000 hingga 50,000
2. Pendapatan minimum RM800 sebulan atau memiliki perniagaan
3. Rakyat Malaysia 21 hingga 60 tahun
4. Seorang penjamin bagi pinjaman lebih RM5,000
5. Kadar pembiayaan 2 - 3% sebulan
Mungkin bukan semua orang layak, dan memang susah kalau nak cari penjamin. Kalau keadaan kewangan atau perniagaan tidak tersusun, memang terpaksa cari alternatif lain. Namun begitu, syaratnya lebih longgar daripada pinjaman bank biasa, dan lebih ramai orang yang layak menerima pembiayaan ini. Malah, dalam sesetengah kes, bank menjanjikan kelulusan dalam tempoh 24 jam. Xpress Cash ditawarkan sebagai produk konvensional dan juga produk patuh syariah.
Kelemahan
Tetapi sebelum memohon pembiayaan ini, pastikan anda telah cuba mendapatkan sumber pembiayaan lain yang lebih murah. Kadar pembiayaannya adalah lebih tinggi daripada kad kredit! Kad kredit hanya mengenakan kadar pembiayaan antara 1.25% - 2% sebulan, bergantung kepada kad dan kaedah pembayaran. Namun kadar Xpress Cash adalah lebih rendah daripada alternatif syarikat kewangan berlesen bukan bank dan juga Ah Long. Tetapi kadar pembiayaan ini memang dijangkakan kerana bank terpaksa menanggung risiko lebih tinggi apabila meminjamkan wang kepada golongan peniaga kecil yang tidak mempunyai rekod kewangan mantap.
Kesimpulan
Pada pendapat saya, pinjaman seperti ini hanya patut digunakan untuk tujuan perniagaan, bukan untuk tujuan penggunaan peribadi. Sekiranya anda hendak mengubahsuai rumah atau membeli barangan, Xpress Cash tidak sesuai kerana kadar pinjaman yang tinggi. Ambil pinjaman ini untuk kegunaan peribadi hanya jika anda betul-betul terdesak, seperti kecemasan perubatan dan sebagainya.
Bagi perniagaan pula, anda perlu yakin bahawa mereka boleh menjana keuntungan tambahan melebihi jumlah yang dipinjam, jika tidak kadar pembiayaan yang dikenakan akan menyebabkan anda rugi. Selain itu, pastikan anda membaca terma dan syarat pinjaman dengan teliti untuk memastikan anda tahu segala caj yang dikenakan. Walaupun Express Cash bukanlah alternatif pinjaman terbaik, ia memang lebih baik daripada pilihan seperti syarikat kewangan bukan bank dan juga Ah Long.
9 ulasan:
Salam Saudara Razali- Kebanyakan masalah utama peniaga kecil ialah cash flow dan juga sumber pembiayaan. Andainya pemberi pinjaman Qardh al-Hasan (pinjaman kebajikan) diberi kepada mereka sudah pasti jihad ekonomi dapat mengeluarkan golongan ini daripada kemiskinan.
Kebanyakan para peniaga menghadapi masalah utama mencari sumber pembiayaan. Kadar faedah lebih tinggi juga risiko mereka untuk bertapak. Pinjaman Ah Long menjadi pilihan kerana sudah terdesak mencari pembiayaan pihak bank, proses terlalu lama berbanding ahlong.
Saya bersetuju bahawa pinjaman ini sesuai utk para peniaga dan bukannya utk tujuan peribadi memandangkan kadar faedahnya lebih tinggi daripada kadar faedah kad kredit dan ini adalah alternatif terakhir utk membuat pinjaman.
Walaupun peniaga yg ingin membuat pinjaman perlu mengkaji lebih mendalam lagi kiranya kadar keuntungan mereka nanti di bawah 20%....ianya tidak berbaloi. Peniaga kena target kadar keuntungan lebih drpd kadar faedah yg bank kenakan.
saya berstuju biar pinjaman untuk perniagaan,dan diminta agar pemimjam memilih perniagaan yang baik,diharapnya adalah pihak yang membantu peniaga kecil ni untuk meminjam membesarkan perniagaan dan memberi khidmat nasihat kepada mereka
Slm Sdr Rahisam, Zul dan Peminat Jutawan...inilah yang dibimbangkan, peminjam menggunakan wang untuk perbelanjaan peribadi, bukannya untuk perniagaan. Kadar pembiayaan yang tinggi mungkin menimbulkan masalah kepada penghutang pada kemudian hari.
Sebaik2nya kiranya inginkan modal perniagaan jgn buat pinjaman peribadi, yg baiknya buat pinjaman perniagaan melalui MARA, Tekun dll.
Peribadi jgn di campur adukkan dgn perniagaan....perniagaan boleh membantu peribadi dlm ertikata lain...gaji drpd perniagaan tersebut.
http://www.asasteguh.com
Assalamualaikum wbt..
Wajarkah saya meminjam sebanyak RM3k dari CIMB Xpress Cash dengan bertujuan untuk melaburkan didalam Unit Amanah?
Terima kasih.
Wasalam Saiful
Pada pendapat saya tindakan tersebut adalah berisiko tinggi. Lebih baik simpan dulu wang dan kemudian labur.
Assalamualaikum. .Saya ingin bertanya,saya berhasrat mempunyai bengkel cat untuk meniaga tetapi tidak mempunyai modal, layak kah saya membuat pinjaman ini?saya inginkan pendapat daripada encik agar saya lebih faham dan bersedia?terima kasih.
(nas)
Waalaikumsalam,
Artikel ini ditulis hampir 5 tahun lepas. Saya tidak pasti sama ada kemudahan ini dan syaratnya masih sama. Tuan perlu pergi ke CIMB untuk mendapatkan maklumat. Mereka akan menilai berasaskan rekod kredit jika ada atau keupayaan untuk membayar balik pinjaman.
Tanya mereka apakah kriteria mereka dan Tanya dulu sama ada anda berpotensi sebelum memohon. Anda mungkin perlu mengemukakan rancangan perniagaan anda, selain daripada butiran lanjut mengenai perniagaan yang bakal dibuka.
Basanya jika masih ada pinjaman ini, pegawai pinjaman akan membantu anda untuk menerangkan dokumeb yang dikehendaki.
Catat Ulasan