Semasa mengikuti kursus MBA, salah seorang daripada Pensyarah tersohor menyatakan bahawa prestasi pengurus dana bukannya hebat sangat dan ramai yang gagal mengatasi prestasi pasaran. Namun ada seorang rakan saya yang bertanya mengapa begitu ramai ejen unit amanah yang kaya-raya jika pengurus dana profesional gagal memberikan prestasi yang baik.
Sebenarnya dalam tempoh lima tahun lepas, prestasi pasaran saham telah naik dengan mendadak. Justeru banyak dana yang memberikan pulangan agak lumayan kepada pelabur. Tetapi ramai pelabur yang tidak begitu fasih tentang kewangan. Pada mereka, jika dana itu memberikan mereka pulangan 80% dalam tempoh lima tahun, mereka sungguh gembira. Namun mereka tidak sedar bahawa untuk menilai pengurus dana, mereka perlu menilai prestasi berbanding dengan prestasi tanda aras (benchmark), dan bagi kebanyakan dana ekuiti, tanda arasnya ialah Indeks Komposit Kuala Lumpur.
Maka saya pun membuat satu penyelidikan ringkas tidak saintifk. Saya meninjau prestasi dana yang disenaraikan dalam Jadual Dana Morning Star yang disiarkan di The Edge pada 9 Ogos. Keputusannya sungguh memeranjatkan. Dana Indeks (Dana yang menjejak sesuatu Indeks di mana pengurusnya tidak cuba mengatasi pasaran, tetapi hanya mencerminkan prestasi Indeks pasaran, dan mengenakan yuran yang rendah) OSK KLCI Tracker mencatatkan pulangan 116% dalam tempoh 5 tahun. Ini tidak menghairankan kerana indeks memang telah naik mendadak dalam tempoh 5 tahun lepas. Tetapi perkara yang memeranjatkan ialah di kalangan 44 dana ekuiti biasa (tiada pengkhususan sektor), hanya 5 yang mengatasi prestasi OSK KLCI Tracker. Ini bermaka hanya 5 pengurus dana yang memberikan 'value added'. Justeru, melainkan anda benar-benar yakin tentang kecemerlangan pengurus dana tertentu, lebih baik melabur dalam dana pasif yang menjejak prestasi indeks pasaran.
Satu perkara yang perlu diingat ialah bukan semua dana indeks menjejak prestasi indeks. Ada dana yang namanya saja dana indeks, tetapi ia diuruskan secara aktif (pengurus dana melakukan market timing untuk mengatasi pasaran dan mengenakan yuran tinggi). OSK KLCI Tracker ialah satu-satunya dana pasif di pasaran. Dana Indeks lain diuruskan secara aktif. Lihatlah kesannya, semua dana indeks lain ketinggalan di belakang.
Satu lagi cara untuk melabur dalam indeks ialah menerusi Exchange Traded Fund. Justeru kesimpulan yang boleh saya buat ialah berhati-hati apabila memilih dana, kerana hanya segelintir yang cemerlang sahaja yang mampu mengatasi pasaran. Selain itu, prestasi masa lalu tidak boleh digunakan sepenuhnya untuk meramalkan prestasi masa depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan