13 Oktober, 2011

Bagaimana Dengan BIMB Holdings?

Bank Islam Sesuai Diletakkan Dalam Senarai Pemerhatian

BIMB Holdings ialah syarikat pegangan bagi Bank Islam dan juga Syarikat Takaful Malaysia. Kedua-dua syarikat ini mencatatkan prestasi yang agak memuaskan kebelakangan ini.






Saya pernah menulis tentang BIMB beberapa kali dalam blog saya dan pada waktu itu saham ini masih belum popular dan berada pada harga sekitar RM1.30.

Sekarang prestasi BIMB semakin kukuh, manakala harga sahamnya juga kian meningkat.  Hasil daripada peningkatan prestasi ini, sudah ada syarikat penganalisis yang mula mengikuti perkembangan BIMB. Salah satu daripadanya ialah Maybank Investment Bank.

Untuk mendapatkan laporan penyelidikan mereka, taip 'Bank Islam Research Report' dalam Google dan anda boleh mendapatkan sekurang-kurangnya dua laporan penyelidikan. (Kalau tak jumpa, emel saya dan saya akan hantarkan kepada anda).

Berikut adalah carta harga saham BIMB untuk tempoh lima tahun lepas:

Dipetik daripada Bursastation

Perkara paling menarik ialah kenaikan volum dagangan saham BIMB dalam tempoh setahun lepas menunjukkan peningkatan minat pelabur terhadapnya.

Saya rasa tidak perlu saya mengulangi segala analisis kerana anda boleh baca sendiri daripada laporan penyelidikan yang saya sebutkan di atas, terutamanya kerana saya setuju dengan analisis yang dibuat.

Ada dua research house yang meletakkan penarafan 'buy' pada saham ini dengan harga sasaran sebanyak RM2.40. Pada pandangan saya, sasaran ini amat munasabah.

Pada masa posting ini ditulis, saham BIMB ditutup pada harga RM2.05.  Dalam tempoh beberapa bulan lepas saham diperdagangkan pada julat antara RM1.60 - RM2.40.

Saham BIMB berpotensi naik kerana dua sebab. Pertama kerana prestasinya dan yang kedua ialah sahamnya mungkin menarik minat pembeli atau institusi kewangan besar, yang pasti akan menaikkan harga saham.

Memandangkan faktor luaran semasa, tujuan saya menulis mengenai BIMB bukan untuk menyatakan bahawa saham ini adalah sangat undervalued pada harga semasa, tetapi untuk mencadangkannya dimasukkan dalam senarai pemerhatian.

Pada pandangan saya jika harga jatuh di bawah RM2.00, maka nilai sudah mula dilihat dan lebih jauh saham ini jatuh di bawah harga tersebut, lebih besar nilai yang diperolehi.

09 Oktober, 2011

Bajet 2012 dan Kesannya Kepada Kita

Jauh lebih banyak gula-gula dalam belanjawan kali ini

Kerajaan baru sahaja membentangkan Bajet 2012 pada hujung minggu lepas (7 Oktober) dan nampaknya tahun ini lebih banyak peruntukan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat, terutamanya golongan yang berpendapatan rendah.

Saya senaraikan beberapa manfaat Bajet 2012 kepada individu:
  1. Tiada yuran sekolah, termasuk untuk kokurikulum dan sukan dan premium insurans.
  2. Bantuan persekolahan RM100 untuk murid sekolah (Darjah 1 - Tingkatan 5)
  3. Caruman EPF majikan dinaikkan daripada 12% - 13% untuk pekerja bergaji RM5,000 ke bawah
  4. Usia persaraan kakitangan awam dinaikkan daripada 58 kepada 60.
  5. Kenaikan pencen tahunan 2% untuk pekerja awam.
  6. Bonus setengah bulan (min RM500) dan bantuan RM500 kepada pesara
  7. Tiada yuran pendaftaran pesakit luar di hospital bagi warga emas.
  8. Baucar buku RM200 untuk pelajar kolej, matrikulasi, universiti swasta atau awam.
  9. Suntikan HPV percuma untuk wanita
  10. Subsidi isi rumah dnegan bil elektrik bawah RM20 diteruskan
  11. Pelepasan cukai RM3,000 bagi caruman kepada Skim Persaraan Swasta/Anuiti
  12. Had bagi program Rumah Pertamaku dinaikkan daripada RM220,000 hingga RM400,000
  13. Bantuan tunai sekali RM500 akan dibayar kepada keluarga dengan pendapatan RM3,000 ke bawah
  14. Cukai 10% atas dividen REIT dilanjutkan untuk 5 tahun.
  15. Pelepasan duti setem bagi pembelian Rumah 1 Malaysia.
Sementara itu hanya ada satu  yang mungkin memberi kesan menambahkan kos:
  1. Peningkaan RPGT kepada 10% untuk penjualan hartanah dalam dua tahun pertama
Rata-rata, Bajet kali ini memberi tumpuan kepada golongan yang berpendapatan rendah dan juga pegawai kerajaan, kerana kedua-dua kumpulan ini yang paling banyak menerima manfaatnya.

Walaupun ramai yang menganggap ini 'belanjawan pilihanraya', pada pendapat saya ia boleh dikatakan positif selagi kerajaan ada cara yang berdaya maju untuk membiayainya. Jika tidak, beban segala manfaat yang diberikan sekarang akan ditanggung oleh anak cucu kita pada masa depan.


07 Oktober, 2011

Meninjau Hari Terbuka iCapital

Pandangan Tan Teng Boo Tentang Ekonomi dan Saham






Pada hari Sabtu lepas (1 Oktober), iCapital telah mengadakan hari terbuka untuk pelabur sebagai program pendidikan pelabur, selain memberikan maklumat lanjut tentang syarikat dan juga dana yang diuruskannya.

Sebenarnya iCapital ialah pengendali iCapital.biz, satu-satunya dana tertutup yang disenaraikan di Bursa Malaysia, di samping menguruskan beberapa dana persendirian lain dan menerbitkan risalah mingguan yang boleh diperolehi secara fizikal atau atau menerusi Internet.

Pemiliknya ialah Tan Teng Boo, seorang 'value investor' tersohor, yang sejak permulaan dana, telah menghasilkan pulangan terkompaun lebih 16% untuk dananya dari segi NAB.

Walaupun dananya ialah tidak patuh syariah, alternatif yang kita ada untuk menerima nasihat beliau ialah dengan melabur terus dalam saham yang dilaburkan oleh iCapital.biz (yang kebanyakannya patuh Syariah) atau melanggan risalahnya untuk menerima nasihat pelaburan.

Pelbagai kegiatan pendidikan pelabur diadakan, tetapi bagi saya yang paling penting ialah tinjauan beliau tentang ekonomi global dalam sesi yang diadakan pada penghujung acara tersebut.

Tan Teng Boo mula bimbang tentang saham global sejak awal tahun ini dan pada penghujung bulan Julai, pegangan tunai dalam dananya ialah 50%, iaitu pendekatan yang lebih konsevatif berbanding kegawatan tahun 2008.

Beliau berkata Eropah akan mengalami kemelesetan dalam tempoh 12 bulan akan datang manakala ekonomi AS dijangka mendatar.  Walaupun semua ini akan memberi kesan kepada Malaysia, pandangannya tentang ekonomi Malaysia adalah  lebih positif.

Beliau berpendapat saham akan menghadapi sedikit rintangan pada bulan-bulan akan datang tetapi tiada depression akan berlaku dan ekonomi akan pulih secara beransur-ansur selepas itu.

Walaupun tinjauannya dalam jangka pendek adalah negatif, dalam jangka panjang beliau meramalkan situasi yang lebih positif berasaskan teori "Long Boom" di mana ekonomi rantau in akan mengalami pertumbuhan pesat dan BSKL dijangka mencapai paras 2,000 dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang.

Apabila ditanya oleh hadirin bila masa terbaik untuk masuk semula ke pasaran, beliau menjawab jangan terlalu fokus kepada 'timing' tetapi cari saham yang undevalued dan  beli jika harga saham amat berpatutan.

Perhatian: Ini adalah pandangan peribadi beliau dan ia perlu diimbangi dengan pandangan lain dan juga data ekonomi supaya pelabur mendapat gambaran yang lebih menyeluruh.

02 Oktober, 2011

Tinjauan Harga Komoditi Penting

Emas juga jatuh walaupun dianggap pelaburan selamat

Dalam tempoh dua bulan lepas, kita sedar bahawa pelbagai pasaran ssekuriti telah turun dengan agak ketara. Harga komoditi juga tidak terlepas daripada kesan ini, dan yang mungkin mengejutkan sesetengah pihak ialah kejatuhan emas.

Berikut adalah carta harga tiga komoditi  penting yang mempengaruhi hidup kita: minyak mentah kerana merupakan satu faktor pengeluaran utama dan membabitkan subsidi kerajaan kepada kita, minyak sawit mentah, kerana negara merupakan pengeluar penting dan kos pengeluaran banyak syarikat juga bergantung kepada komoditi ini, dan juga emas, sesuatu yang pada pendapat saya tidak banyak nilai ekonomi, tetapi  penting kerana ramai kini yang melabur dalam emas dan telah naik tinggi sejak tempoh 10 tahun lepas.

Minyak Mentah WTI

Dipetik daripada laman web oil-price.net

Harga minyak mentah telah jatuh di bawah USD80 tempoh hari, seiring dengan kemelesetan ekonomi yang dijangkakan.  Bagi kebanyakan orang dan juga syarikat, ini adalah satu perkembangan positif. Satu lagi manfaat ialah ia akan mengekang inflasi.  Tetapi bagi syarikat minyak perkembangan ini kurang positif.

Minyak Sawit Mentah
Dipetik daripada laman MPOB

Harga minyak sawit mentah juga telah merosot dan kesannya  positif bagi pengguna dan syarikat yang menggunakan minyak sawit sebagai input.  Tetapi oleh kerana Malaysia pengeluar uttama, kesan terhadap ekonomi secara keseluruhan sukar ditentukan.  Bagi syarikat perladangan kelapa sawit, ini sudah tentulah sedikit negatif, tetapi rata-rata harganya masih tinggi dan mereka tidak begitu teruk terjejas.

Harga Emas 20 Tahun

Dipetik daripada laman World Gold Council

Emas dulunya merupakan sejenis pelaburan stabil yang menyimpan nilai.  Tetapi sejak tahun 2000, harga emas telah meningkat dengan ketara, mungkin kerana ketidaktentuan ekonomi dan dasar kewangan longgar bank-bank pusat dunia dan juga inflasi.

Tetapi kejatuhan sebanyak USD200 baru-baru ini menunjukkan bahawa ciri emas telah bertukar daripada pelaburan yang stabil kepada pelaburan yang berpotensi memberikan untung besar, tetapi dengan risiko yang lebih tinggi, terutamanya jika anda beli pada waktu yang salah.

Perkara yang agak mengejutkan sesetengah pihak ialah andaian mereka bahawa jika ketidaktentuan ekonomi meningkat, lebih ramai orang akan membeli emas, justeru menaikkan harganya, tetapi perkara sebaliknya telah berlaku.

Berasaskan perkembangan semasa, kita dapat lihat bahawa hanya satu cara yang selamat untuk melindungi aset dalam tempoh dua bulan lepas, iaitu dengan memegang wang tunai.

26 September, 2011

Dana Ekuiti Jatuh Seiring Pasaran

Hanya Kenanga Syariah Growth Masih Catatkan Pertumbuhan Positif

Dengan kejatuhan agak ketara pasaran saham, tidak menghairankan jika dana unit amanah ekuiti juga turut sama mengalami kejatuhan.

Bagi mereka yang mahu meninjau prestasi (bukan sahaja harga) dana dalam talian, anda boleh melayari laman web Morningstar Malaysia dan klik di bawah tab performance.

Berikut adalah petikan prestasi dana daripada laman web tersebut:


Saya dapati bahawa untuk tahun ini (YTD), hanya satu dana yang masih mencatatkan prestasi positif, iaitu Kenangan Syariah Growth.  Dana ini boleh dibeli secara online menerusi Fundsupermart.com

Saya pernah meninjau prestasi Kenangan Syariah Growth dalam artikel bertajuk Dana Yang Disyorkan Fundsupermart: Kenanga Syariah Growth dan Prudential Dana Al-Ilham Cemerlang.

Selain itu, antara dana yang mampu bertahan termasuk MAA CM Shariah Flex, CIMB Dali Equity Growth, Public Islamic Dividend, Public Islamic Select Enterprises dan PruDana Al Ilham.

Pada pendapat saya, jika anda ada wang untuk dilaburkan dan mahu mengambil kesempatan daripada pemulihan pasaran apabila ia berlaku kelak, dana yang memberikan pulangan tinggi untuk tempoh 5 tahun dan juga mampu bertahan dalam  kegawatan ini (satu tahun) merupakan kombinasi yang amat sesuai sebagai kriteria pemilihan.