17 Januari, 2011

Bagaimana dengan Yee Lee?

Prestasi mantap tetapi saham telah naik dengan ketara

Yee Lee ialah sebuah syarikat yang terlibat dalam pengeluaran, pemasaran dan pengedaran minyak masak bermutu tinggi (Vecorn, Cap Helang), pemprosesan minyak sawit mentah dan isirung sawit, mencetak dan mengilang tin, pengilangan papan gentian, karton dan kotak dan juga pembuatan beberapa produk pengguna lain.

Seorang pembaca ada bertanyakan tentang Yee Lee, dan saya ada menyebut tentang syarikat pada 28 Februari di bawah posting bertajuk Keputusan Suku Terakhir 2009 Agak Kukuh.  Pada waktu itu, saham Yee Lee sangat undervalued dan ditutup pada harga RM1.71.

Selepas itu beberapa perkara telah berlaku.

Pada bulan Ogos, Syarikat telah mengumumkan terbitan bonus 2 saham bonus untuk setiap lima saham yang dipegang dan selepas itu, pecahan setiap satu saham Yee Lee menjadi dua saham.

Pendek kata, sesiapa yang memegang 1,000 saham Yee Lee akan menerima 400 saham bonus, menjadikan jumlahnya 1,400 saham.  Kemudian 1,400 ini dibahagi dua menjadi 2,800 saham. Dengan kata lain, siapa yang memiliki 1,000 saham akan memiliki 2,800 saham selepas terbitan bonus dan pecahan saham. (1 saham menjadi 2.8)

Dalam pada itu, harga Yee Lee beransur-ansur naik sehingga mencecah paras RM3.65 sebelum terbitan bonus dan pecahan saham.  Selepas pecahan saham sudah tentulah harganya jatuh untuk mencerminkan jumlah sahamyang lebih besar di pasaran, iaitu kira-kira RM3.65/2.8 = RM1.30

Jadi sekarang ini carta sejarah saham akan mencerminkan harga Yee Lee selepas melaraskan terbitan bonus dan pecahan saham ini supaya lebih konsisten.

Dipetik daripada Bursa Station

Dengan jumlah saham baru ini, pendapatan sesaham pun akan jatuh untuk mencerminkan bilangan modal saham lebih besar di pasaran.

Sehingga suku ketiga tahun ini, syarikat mencatatkan EPS 8.6 sen dengan unjuran EPS seluruh tahun antara 11-12 sen serta Nilai Aset Bersih semasa bernilai RM1.30 sesaham.

Perlu diingat bahawa apabila menilai EPS untuk tempoh lima tahun lepas berasaskan data laporan tahunan lama, sila bahagikan angka dengan 2.8 untuk menyelaras dan membandingkannya dengan tahun semasa.

Pada pendapat saya, pada paras pendapatan semasa, Yee Lee adalah fairly valued antara RM1.00 hingga RM1.30 dan mula masuk ke tahap undervalued pada harga  RM1.00 dan ke bawah.

Seperti biasa, ini adalah penilaian kasar sahaja dan pelabur perlu membuat kajian sendiri, terutamanya tentang potensi syarikat untuk menambahkan hasil dan keuntungan pada masa depan.

12 Januari, 2011

Berhijrah kepada Kewangan Patuh Syariah

Bahagian 1: Mengamalkan hidup tanpa riba dan gharar

Dengan kemajuan pesat kewangan dan pelaburan Islam di Malaysia, kita sepatutnya sudah boleh membebaskan diri daripada segala unsur riba dan gharar.

Apa yang boleh kita lakukan ialah mengaudit kewangan dan amalan kewangan kita dan melihat di mana kita masih mengamalkan riba.  Perubahan tidak perlulah dilakukan sekaligus tetapi beransur-ansur (ini pandangan saya) sehingga akhirnya tiada lagi unsur riba dalam kehidupan kita.

Berikut ialah cara kita boleh berhijrah kepada instrumen kewangan patuh syariah, yang mencakupi perlindungan kewangan, pinjaman, simpanan dan pelaburan.

1.  Insurans kepada Takaful

Ini mungkin sukar dilakukan terutamanya jika kita sudah ada insurans sejak dari dulu.  Namun begitu sekarang ada syarikat yang benarkan kita migrate kepada takaful dengan mendapatkan segala manfaat dan mengekalkan premium (dalam takaful dinamakan sumbangna) skim lama.  Pilihan kedua ialah menyerahkan (surrender) insurans dan mendapatkan nilai tunai dan mengambil takaful baru.  Ini mungkin menyebabkan kita rugi sedikit dari segi kos dan juga manfaat. 

Dalam pada itu, bagi insurans tanpa unsur pelaburan atau simpanan seperti insurans kebakaran atau kereta, kita boleh tukar kepada takaful pada tarikh pembaharuan seterusnya.  Sekarang ini terdapat skim takaful bagi hampir semua jenis insurans konvensional, termasuklah kad perubatan bagi insurans perubatan.

2.  Pinjaman kepada Pembiayaan Islam

Memang berat bagi kita untuk menukar kerana jika kita sudah ada pinjaman konvensyenal, mungkin ada tempoh sekatan tertentu sebelum kita boleh biaya semula kepada pembiayaan Islam.  Pada pendapat saya, kita boleh tunggu sampai tempoh penalti (lazimnya lima tahun) dan selepas itu biayai semula dengan pembiayaan Islam.  Perubahan ini amat penting dan perlu dititikberatkan dan tidak boleh dipandang ringan.kerana amalan riba adalah dosa yang sangat besar.

Apabila anda membuat keputusan untuk mengambil pembiayaan Islam, diharapkan anda mendapatkan pembiayaan Musyarakah Mutanaqisah dan bukannya BBA kerana pada pendapat saya terlalu banyak kelemahan dalam kontrak BBA sedangkan bagi Musyarakah Mutaqisah, kontraknya lebih adil dan telus.

3. Kad Kredit kepada Kad Debit/Kredit/Kad Caj Islam

Sebenarnya jika anda gunakan kad kredit secara tidak berhutang, iaitu membayar balik kad kredit tepat pada masanya, anda tidak terlibat dalam riba, tetapi untuk mengelakkan keraguan atau kemungkinan bayar lewat yang menyebabkan faedah dikenakan ada baiknya jika tukar kepada pilihan seperti Kad Debit, Kredit atau Kad Caj Islam.

Pada pendapat saya, pilihan terbaik ialah Kad Debit kerana saya memang kurang senang dengan hutang. Saya juga kurang setuju dengan kontrak yang digunakan bagi Kad Kredit Islam di Malaysia, iaitu Al-Inah, yang pernah saya sebutkan di beberapa posting lain dalam blog, kerana mempunyai unsur hilah di dalamnya.

Jika perlu juga kad yang membolehkan anda berhutang, dapatkan kad caj yang dikeluarkan oleh Bank dari Timur Tengah seperti Al-Rajhi kerana saya lebih selesa dengan mekanisme urus niaganya.  Tetapi ini hanya pendapat peribadi dan terpulang kepada anda untuk memilih yang mana sesuai untuk anda

Bahagian 2 akan membincangkan tentang simpanan dan pelaburan.

10 Januari, 2011

Menilai Syarikat Menerusi Soalan

Tanya & jawab soalan berikut untuk ketahui potensi saham

Selain daripada membuat analisis angka dan prestasi syarikat, soalan-soalah berikut boleh membantu pelabur untuk memikirkan dengan lebih rasional sama ada syarikat yang disasarkan berpotensi besar.

Soalan-soalan ini adalah kombinasi soalan yang ditanyakan oleh beberapa pelabur tersohor termasuklah Warren Buffet, Philip Fisher, Ken Fisher dan Benjamin Graham.
  1. Mengapa beli saham ini?
  2. Apakah harga sasaran yang diunjurkan?
  3. Adakah saham mempunyai sejarah pendapatan kukuh?
  4. Dalam suasana apakah saham ini dijangka naik?
  5. Dalam suasana apakah saham dijangka turun?
  6. Apa yang saya tahu tentang saham ini yang tidak diketahui orang lain?
  7. Apakah kelebihan kompetitif saham?
  8. Adakah ia mempunyai  monopoli, kuasa pasaran atau jenama kukuh?
  9. Adakah syarikat mempunyai organisasi jualan yang kukuh?
  10. Adakah produknya mampan (sustainable) atau akan usang dan perlu diganti dengan yang baru?
  11. Adakah syarikat memerlukan jumlah pembiayaan besar untuk mengekalkan atau mengembangkan keuntungan? 
  12. Apakah input yang diperlukan untuk menghasilkan produk dan adakah ia diimport atau dibeli dari dalam negara?
  13. Adakah produk dijual di dalam negara, dieksport atau kedua-duanya sekali 
  14. Bagaimana kadar tukaran mempengaruhi kos dan hasil?
  15. Bagaimana kualiti dan kekuatan pengurusan? 

Jika kita bertanya dan mencari jawapan kepada soalan di atas, kita akan mendapat gambaran yang lebih jelas tentang keputusan yang bakal kita buat.

Malah, kita boleh membuat perbandingan subjektif antara syarikat dalam industri yang sama sebagai sokongan kepada analisis kuantitatif terhadap keputusan kewangan syarikat.

Nota: Soalan di atas sudah tentulah untuk pelabur yang melabur berasaskan fundamental investing dan tidak berkenaan bagi mereka yang melabur untuk jangka pendek mengggunakan analisis teknikal.

06 Januari, 2011

MBM Resources Nampak Kukuh

Harga saham berpatutan dengan paras untung tinggi

Walaupun pasaran saham telah naik dengan ketara kebelakangan ini, satu saham yang masih kurang mendapat perhatian pelabur ialah MBM Resources.

MBM Resources ialah sebuah syarikat dalam kumpulan Med-Bumikar Mara Sdn Bhd, yang mempunyai pegangan atau penglibatan dalam sektor automotif menerusi kepentingan dalam Perodua dan pengedarnya, serta merupakan pengedar jenama Daihatsu, Hino dan juga Volvo menerusi Federal Auto Holdings. Syarikat juga terlibat dalam pengeluaran roda keluli dan juga pembuatan badan trak, van dan treler.

Walaupun syarikat ini kelihatan amat kukuh, harga sahamnya RM3.33 pada penutup semalam, diperdagangkan pada P/E prospektif yang rendah atau earnings yield/pulangan pendapatan (E/P) yang tinggi.

Berikut adalah prestasi pendapatan sesaham syarikat untuk tempoh 5 tahun lepas dalam (sen):

2005 2006 2007 2008 2009
 31.3  38.6 45.7  46.5  28.2

Syarikat mempunyai rekod keuntungan kukuh walaupun dalam keadaan ekonomi yang meleset, seperti yang dilihat pada siri keuntungan yang dicatatkanya

Bagi 2010, untuk tiga suku pertama syarikat telah mencatatkan Pendapatan Sesaham 46.6 sen, dengan Aset Ketara Bersih (NTA) RM4.08.

Sekiranya syarikat mencatatkan EPS seluruh tahun sebanyak 55 sen (anggaran konservatif), Nisbah P/E jangkaan ialah RM3.33/0.55 = 6 manakala E/P prospektif ialah kira-kira 17%. Ini merupakan nisbah dan pulangan yang amat menarik.

Carta Saham untuk tempoh 5 tahun lepas:

Dipetik daripada Bursastation

Berikut ialah prestasi MBM Resources berbanding FBM KCLI (Merah):

Dipetik daripada Bursastation

Kita dapat lihat bahawa prestasinya jauh di belakang FBM KLCI sedangkan keuntungannya dijangka melonjak pada 2010.

Satu faktor penting yang mempengaruhi pendapatannya ialah pergerakan USD/Yen kepada RM di mana kekuatan USD/Yen akan mengurangkan keuntungan manakala kelemahan USD/Yen akan menyebabkan keuntungan meningkat kerana barangan input syarikat didenominasi dalam dolar AS/Yen.

Selain itu, Frost and Sullivan baru-baru ini menerbitkan satu laporan baru-baru ini bahawa jualan kereta dijangka meningkat 4% dan mencapai angka rekod sebanyak 623,000.

Kebanyakan saham yang saya tinjau biasanya di luar radar syarikat institusi tetapi MBM Resources juga mempunyai pelabur institusi yang besar termasuk Amanah Saham PNB, Tabung Haji dan ValueCap.

Cuma satu perkara yang menghairankan ialah mengapa saham ini tidak mendapat sambutan sedangkan prestasinya mantap. Jika sebabnya ialah mungkin pelabur umum terlepas pandang, inilah peluang baik untuk membeli saham yang agak undervalued.

Satu analisis baik tentang MBM Resources boleh didapati di laman blog Malaysia-Finance bertajuk Value Momentum Investing and Early X'mas Present.

03 Januari, 2011

2010 Cemerlang, Bagaimana dengan 2011?

Ramai pakar meramalkan indeks akan terus naik pada 2011

Tahun 2009 dan 2010 begitu cemerlang bagi pasaran saham. Pasaran telah naik buat dua tahun berturut-turut dan kenaikan secara agregat untuk dua tahun mencecah angka lebih 70%.

Selain itu, indeks utama FBM KLCI telah mencapai paras tertinggi dalam sejarah apabila mencecah paras lebih 1530 mata separuh kedua tahun ini.

Berikut adalah prestasi FBM KLCI dan FBM Emas Syariah dan perbandingan antara kedua-duanya:

FBM KLCI 2 Tahun

FBM Emas Shariah 2 Tahun


Perbandingan FBM KLCI (Merah) vs Emas Shariah

Dipetik daripada Bursastation 

FBM KLCI terdiri daripada 30 saham bermodal besar di Bursa Malaysia sedangkan Emas Shariah pula ialah indeks yang lebih menyeluruh yang merangkumi sebahagian besar daripada saham yang patuh Syariah di Bursa Malaysia.

Kita dapati bahawa.FBMKLCI telah naik daripada kira-kira 893 mata kepada 1518 mata atau kenaikan kira-kira 70% manakala FBM Emas Shariah telah naik daripada kira-kira 6059 mata kepada 10058 mata atau kenaikan kira-kira 66% 

Sementara itu, kita tinjau pula prestasi FBM100 dan FBMSmallCap (Merah)

FBM100 vs FBM SmallCap

Dipetik daripada Bursastation

FBM100 terdiri daripada 100 saham utama di Malaysia sedangkan FBM Small Cap mengukur prestasi sebahagian besar saham di luar FBM100.

Kita dapati bahawa FBM100 telah naik 76.2% manakala FMB Small Cap telah meningkat sebanyak kira-kira 87%.  Maksudnya ialah semua sektor pasaran telah naik dengan ketara daripada tahap terendah yang dicapai pada 2008/2009.

Sesetengah pelabur, termasuk saya juga sebelum ini, bimbang sama ada paras ini dapat dikekalkan, namun begitu keadaan ekonomi dan prestasi syarikat ternyata lebih baik daripada yang dijangka dan memang mampu menyokong saham pada paras ini.

Bagi 2011, kebanyakan syarikat broker dan firma penganalisis meramalkan bahawa saham akan naik ke paras lebih 1,600 dan ada juga yang meramalkan ke paras lebih 1,700.

Pelabur pasaran sedang membangun tersohor, Mark Mobius, juga mendakwa bahawa pasaran sedang membangun berada dalam 'secular bull market'.  Menurut beliau penurunan akan berlaku sekali-sekala tetapi rata-rata dalam jangka sederhana hingga panjang, pasaran akan naik.

Dari segi risiko pula, antara risiko yang dihadapi termasuk inflasi, kenaikan kadar faedah, keadaan ekonomi China dan kegawatan semasa di Eropah.  Keadaan ekonomi Amerika sudah stabil dan kian pulih.

Walau apa pun, petunjuk ekonomi China juga perlu diperhatikan kerana sekarang ini China merupakan salah satu faktor yang memacu ekonomi seluruh Asia.

Secara kesimpulannya, faktor yang akan memacu pasaran pada tahun 2011 ialah minat pelabur asing dan pelabur institusi tempatan terhadap saham Malaysia, paras keuntungan syarikat dan keadaan ekonomi global yang diterajui oleh China dan Amerika.