23 Februari, 2015

Membina Aset Bahagian 3: Mengenali Tiga Jenis Aset Yang Berbeza

Apakah jenis aset yang patut anda miliki? Adakah perlu cuba memiliki semua jenis aset?

Pertama sekali, sebelum mengumpulkan aset anda perlu mengenali jenis-jenis aset dan cirinya untuk memahami apakah kelebihan dan kelemahannya, di samping risiko dan pulangannya. Aset boleh dibahagikan kepada tiga kategori:

a) Aset yang menjana pulangan

Aset yang menjana pulangan ialah aset yang meraih nilai daripada dua faktor, iaitu bekalan dan permintaan dan juga pendapatan yang dihasilkan. Beberapa jenis aset yang menjana pulangan termasuk tunai tabungan, hartanah dan tanah sewa, unit amanah dan saham.

Perlu diingat bahawa kebanyakan aset ini mempunyai nilai yang boleh turun naik, pada kadar yang berbeza. Ini juga bermakna masing-masing mempunyai risiko yang tersendiri.

Tunai (dalam Ringgit) mempunyai nilai yang tetap secara nominal, tetapi secara relatif ia berubah berbanding mata wang lain. Nilainya berpotensi dihakis akibat inflasi dan pulangan daripada simpanan tunai lazimnya paling rendah seiring dengan risikonya yang rendah.

Hartanah dan tanah yang disewakan pula berpotensi menjana pulangan daripada sewa yang berlainan bergantung kepada lokasi dan keadaannya. Tetapi berbeza daripada tunai, terdapat potensi kenaikan dan penurunan harga hartanah. Cuma dalam jangka panjang, harga lazimnya meningkat.

Unit amanah pula mempunyai harga yang berubah-ubah setiap hari, dan pendapatan dijana menerusi untung yang dihasilkan oleh syarikat yang dilaburkan oleh dana unit amanah, menerusi peningkatan nilainya. Nilai unit amanah juga boleh merosot dalam keadaan pasaran yang mencabar, tetapi tahap turun naiknya tidak ketara seperti membeli saham individu.

Pulangan saham pula dihasilkan daripada untung yang dihasilkan oleh syarikat. Untung ini dibayar balik menerusi dividen atau disimpan dalam syarikat yang meningkatkan nilai aset bersih syarikat. Tetapi saham mempunyai ciri yang paling tidak stabil (volatile) dalam senarai pilihan aset kerana penurunan dan kenaikan harganya yang boleh berlaku dengan ketara.

Kesimpulannya, pelabur perlu mengetahui pulangan yang munasabah yang boleh diperolehi daripada setiap aset dan kesanggupannya untuk menanggung risiko sebelum menentukan aset mana yang patut diutamakan.

b) Aset yang nilainya bergantung kepada bekalan dan permintaan

Satu lagi jenis aset ialah aset yang nilainya bergantung kepada bekalan dan permintaan. Ini bermakna ia tidak mencipta sebarang nilai tambahan atau mempunyai kegunaan melainkan permintaan yang wujud terhadapnya.

Aset seperti ini termasuk jongkong dan syiling emas dan perak, koleksi lukisan dan bahan koleksi lain, barangan kemas dan item sepertinya.

Jika anda melabur dalam aset sedemikian, anda bergantung semata-mata kepada keadaan pasaran bagi aset tersebut. Ini bermakna anda perlu bijak membeli pada harga yang rendah dan menjual pada harga yang tinggi.

Biasanya penjual aset seperti akan mendakwa bahawa harga aset pasti akan meningkat. Dalam jangka panjang mungkin ya tetapi kenaikan dan penurunan nilai boleh berlaku dalam jangka pendek dan pertengahan. Selain itu, anda tetap perlu membayar zakat walaupun aset tidak menjana keuntungan atau membayar dividen.

Tiada penciptaan nilai berlaku apabila membeli dan memegang aset ini sebagai pelaburan. Jika anda benar-benar berminat, pastikan anda mengkaji dan menguasai trend harga dan faktor yang mendorong permintaan dan bekalan untuk meraih untung daripadanya.

c) Aset yang menyusut nilainya

Aset yang menyusut nilainya ialah aset yang sering kali menimbulkan masalah kepada orang yang membelinya pada harga yang terlalu tinggi. Banyak aset yang menyusut nilainya dikaitkan dengan prestij. Contohnya seperti kereta, perabot, televisyen, telefon bimbit, jam tangan, baju dan kasut.

Sesetengah aset ini dibeli dengan hutang. Perlu diingat nilai hutang tetap sama tetapi nilai aset akan menyusut. Inilah yang menimbulkan masalah. Kebanyakan orang mengukur kemampuan bukan berasaskan nilai aset yang mereka ada, tetapi berdasarkan pendapatan yang mereka raih. Tetapi lebih tinggi pendapatan, lebih tinggi kapasiti untuk berhutang.

Walaupun penting kerana mempunyai nilai gunaan, kita tidak boleh mengambil kira aset ini dalam proses pembinaan aset. Sebaliknya anggap sebagai barangan kegunaan yang perlu digantikan apabila ia luput. Justeru, amat penting agar kita berbelanja secara sederhana ke atas aset ini dan membeli di bawah tahap kemampuan kita. Kalau boleh gunakan tunai dan bukannya berhutang.

Mereka yang bijak dari segi kewangan akan mementingkan fungsi yang dimainkan dan membeli barangan yang memberikan keseimbangan terbaik antara nilai dan fungsi.

Kesimpulan

Keutamaan harus diberikan kepada aset yang menjana pendapatan, kerana aset inilah yang berpotensi untuk beransur-ansur membawa anda ke arah kebebasan kewangan. Tetapi anda juga perlu berwaspada. Ada sesetengah aset dengan ciri yang begitu tidak stabil harganya sehingga boleh menimbulkan kerugian besar terhadap anda. 

Apabila mengumpulkan aset, ilmu dan minat amat penting. Tumpukan terhadap aset di mana anda berminat terhadapnya dan mempunyai ilmu atau sanggup menimba ilmu untuk mempelajari selok-belok pelaburannya.

Jangan membabitkan diri dalam terlalu banyak jenis aset berbeza tetapi semuanya dimiliki dalam jumlah kecil sehingga anda pening kepala menguruskan semua. Walaupun begitu, aset masih perlu dipelbagaikan (diversification) untuk mengurangkan risiko berlaku kemerosotan nilai sesuatu aset.

Buat pemilihan aset berasaskan minat dan sikap anda terhadap risiko, bukan kerana ia pelaburan yang sedang hangat atau orang lain berpendapat ia mampu memberikan pulangan lumayan.


Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan buku Panduan Bijak Melabur, Petua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian.

17 Februari, 2015

Ada Orang Ajak Melabur? Apa Kata Anda Minta Penyata Kewangan

Walaupun kebelakangan ini semakin banyak skim perdagangan dan pelaburan yang menjanjikan pulangan dan kekayaan besar mula terurai dan menimbulkan kerugian besar kepada pelabur, masih ada lagi skim baru yang ditubuhkan dan masih ramai yang berminat dalam skim sedemikian.

Sudah berulang kali drama tersebut dimainkan, dan penghujungnya ialah ramai orang biasa yang rugi. Kita tidak boleh menyalahkan sesiapa kecuali diri sendiri kerana melepaskan wang dengan mudah tanpa melakukan due diligence (penyiasatan wajar).

Jika melabur dalam saham, satu kaedah penilaian yang utama ialah membaca laporan tahunan syarikat. Jika melabur dalam unit amanah, anda boleh meminta prospektus dana dan juga meninjau prestasi masa lalu dana terkhusus yang disasarkan.

Persoalannya ialah apabila ada pihak yang meminta anda melabur atau melibatkan diri dalam pelbagai skim yang menjanjikan pulangan lumayan, mengapa anda tidak meminta penyata kewangan syarikat atau sekurang-kurangnya rekod pencapaian pelaburan operasi tersebut? 

Memandangkan skim tersebut menjanjikan pulangan hebat, sepatutnya ia tiada masalah untuk menunjukkan penyata kewangannya. Satu pengecualian ialah jika anda melabur dalam syarikat baru ditubuhkan.

Tetapi lazimnya syarikat baru ditubuhkan tidak akan menjanjikan pulangan lumayan di peringkat awal dan dalam kes ini pun, anda patut meminta business plan atau rancangan perniagaan.

Minta penyata kewangan dan lihat apa reaksi mereka. Reaksi tersebut sahaja sudah pasti boleh menentukan sama skim tersebut meragukan atau tidak, sebelum anda membaca dan meneliti kandungannya.

Selain daripada meminta penyata kewangan, anda banyak cara lain untuk mengesan skim cepat kaya yang sudah banyak kali dipaparkan oleh pelbagai pihak yang prihatin dan mahu menyelamatkan mangsa. Saya juga telah menulis tentang perkara ini dalam beberapa posting.

Saya senaraikan sekali lagi cara mengesan skim cepat kaya di bawah:
  1. Anda perlu menyerahkan wang anda kepada orang yang melaburkan wang tersebut. Dalam pelaburan unit amanah umpamanya, ada pihak ketiga yang dinamakan pemegang amanah yang memegang aset anda untuk mengelakkan penipuan.   
  2. Pulangan yang tinggi dan konsisten. Tiada siapa yang boleh menjanjikan pulangan tinggi yang tetap. Memang menjadi lumrah pelaburan bahawa pulangan adalah tidak tetap dan kadangkala berlaku kerugian. Malah skim ASB pun tidak menjanjikan pulangan tetap.
  3. Strategi pelaburan atau perdagangan sukar difahami dan berbelit-belit.
  4. Pelabur tidak digalakkan unutk membuat due diligence dan diminta melabur berasaskan kepercayaan.
  5. Perlu mendapatkan downline untuk menerima pulangan, tetapi ia bukan perniagaan MLM.
  6. Tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.
  7. Sukar untuk mengetahui siapa penganjur utama skim. Anda lebih kerap berurusan dengan perantara.
Tetapi cara paling mudah untuk mengesan skim cepat kaya dan skim mengarut sepertinya ialah meminta penyata kewangan atau laporan prestasi pelaburan. Skim yang meragukan pasti tidak dapat menunjukkannya. 

Jika mereka tidak mempunyai akaun atau rekod pelaburan, yang merupakan satu perkara wajib dalam urusan perniagaan dan pelaburan, bagaimana mereka boleh mengendalikan skim yang sahih?

Nota: Maklumat yang saya sampaikan ini bukan baru. Dah lama ada. Bacalah buku Ken Fisher (How to Smell a Rat) atau tulisan Azizi Ali, atau seruan Tuan Afyan Mat Rawi dalam laman FBnya atau mana-mana pakar kewangan yang berwibawa. Saya pun pernah menulis beberapa catatan blog mengenainya. Tapi ramai orang tak peduli dan tak ambil peduli, dan tak faham dan tak mahu faham cara perniagaan dan pelaburan sebenar berfungsi.

12 Februari, 2015

Menilai Saham Dengan The Edge Markets

Laman theedgemarkets.com sediakan kemudahan analisis asas percuma

Selain daripada laman web Bursa Malaysia dan juga I3investor, satu lagi laman yang menyediakan kemudahan analisis syarikat tersenarai secara percuma ialah The Edge Markets (www.theedgemarkets.com). Laman web ini dikendalikan oleh penerbit akhbar The Edge Financial Daily dan akhbar kewangan mingguan The Edge.

Untuk menikmati kemudahan analisis saham, para pengunjung perlu mendaftar terlebih dahulu. Kemudahan analisis boleh digunakan selepas itu.

Selepas mendaftar, untuk mencari saham yang dikehendaki, taip nama saham dalam kotak carian, atau klik sahaja pada nama syarikat apabila syarikat tersebut disebut dalam mana-mana artikel yang diterbitkan dalam web ini.

Malah, anda boleh membina dua watchlist untuk memantau saham yang menarik perhatian anda.  Selepas membina watchlist anda boleh klik pada saham terkhusus untuk melihat maklumat kewangan dan penilaiannya.

Apa yang akan anda lihat ialah dashboard yang memberikan maklumat asas tentang sesuatu saham.  Kita ambil contoh Petronas Chemicals Group atau PetChem.


 
Skrin utama atau Dashboard memaparkan carta harga saham selama setahun dan juga latar belakang ringkas tentang syarikat, penilaian dan kedudukan kewangannya seperti di bawah.


 
Ciri menarik yang saya dapati berguna di sini ialah Valuation, Fundamental dan Volatility. Bagi Valuation & Fundamental, markah yang diberikan ialah antara 0-3. 

Fundamental menilai kekuatan kewangan asas syarikat, manakala Valuation pula mengukur sama ada harga semasa berpatutan berbanding tahap untung, pertumbuhan, aset dan juga dividen. Volatility, pula mengukur tahap turun naik harga syarikat, dan sesetengah pihak menganggap Volatility ialah satu cara untuk mengukur risiko.

Satu perkara menarik yang jelas boleh dilihat ialah syarikat yang kukuh perniagaannya (fundamental) tidak semestinya menarik dari segi penilaian (valuation) mungkin kerana harganya yang tinggi. Pada pendapat saya di sinilah satu kelebihan kemudahan The Edge Markets walaupun dalam ciri lain, ia kurang sedikit berbanding I3investor.

Seterusnya pada bahagian Chart (Carta), pembaca boleh merangka carta dengan parameter yang lebih spesifik, tetapi hanya untuk tempoh maksimum tiga tahun sahaja.

Satu lagi kelebihan bahagian ini ialah ia menyenaraikan syarikat yang sebanding atau syarikat dalam industri yang lebih kurang sama. Pelabur boleh memilih satu daripada syarikat ini dan membandingkan cartanya dengan syarikat yang dikaji.

Malah senarai ini mungkin boleh menunjukkan kita syarikat yang lebih menarik dari segi penilain dalam industri yang sama.


Maklumat penting seterusnya ialah Ratios atau nisbah kewangan. Butiran asas seperti di bawah disampaikan kepada pelabur. Walaupun tidak terperinci seperti laman Shareinvestor, perlu diingat bahawa kemudahan ini adalah percuma.

  
Dua lagi bahagian yang disediakan ialah Financials (kewangan) dan Related News, yang memberikan maklumat tentang akaun syarikat dan juga berita terkini, terutamanya daripada laman theedgemarkets.com.

Bagi saya, kemudahan ini berguna jika digabungkan dengan laman percuma dan berbayar lain kerana membawakan tiga sudut berbeza, iaitu penarafan Fundamental dan Valuation di samping menyenaraikan syarikat lain dalam industri yang sama bersama penarafannya sekali.

Nota: Jika anda ingin tahu tentang cara pelabur terkemuka dunia menggunakan maklumat kewangan seperti di atas untuk melabur, dapatkan buku Petua Pelabur Tersohor.

03 Februari, 2015

7 Sebab Pelabur Saham 'Wannabe' Patut Melabur Dalam Dana Ekuiti Unit Amanah

Pelaburan saham bukan terlalu sukar, tetapi perlukan banyak usaha. Sebahagian besar pelabur tiada masa atau tidak sanggup berusaha untuk mencapai tahap kepakaran yang diperlukan.

Dalam tempoh setahun dua ini, ramai pelabur yang mula menceburi pasaran saham, didorong oleh kenaikan indeks dan seruan pelbagai pihak yang meyakinkan mereka bahawa mereka boleh menjana wang besar dengan melabur saham.

Hakikatnya ialah walaupun pelaburan saham bukan terlalu sukar, ia tetap memerlukan pembelajaran berterusan dan pengetahuan dalam berbilang disiplin seperti perakaunan, kewangan dan juga ekonomi.

Saya bukan dari golongan yang berpendapat bahawa anda boleh pergi ke dua tiga kelas saham dan menguasai ilmu atau teknik yang boleh menjana wang secara berterusan, atau membaca dua tiga buku untuk berjaya. 

Ilmu ini hanya boleh dikuasai secara beransur-ansur, dan lazimnya 'mastery' dalam sesuatu bidang membabitkan latihan dan amalan konsisten selama 10 tahun.

Tujuh sebab ramai pelabur saham 'wannabe' (mereka yang mahu melabur terus dalam pasaran saham untuk menjana wang besar) patut mempertimbangkan pelaburan dalam dana ekuiti unit amanah termasuk:

1. Tiada masa untuk membuat analisis. Kebanyakan orang perlu memberi tumpuan kepada kerjaya masing-masing. Sukar untuk menguasai ilmu tambahan jika anda perlu fokus kepada kerja anda.

2.  Walaupun banyak dana unit amanah (kecuali yang cemerlang) hanya dapat memberikan pulangan purata pasaran, ini lebih baik daripada kerugian yang dialami oleh ramai pelabur kerana melabur sendiri.

3.  Pengurus dana lebih arif mempelbagaikan pelaburan berbanding anda. Kebanyakan maklumat yang diberikan oleh kursus saham memberi tumpuan pada pemilihan saham, tetapi anda perlu menguruskan pelaburan sebagai satu portfolio, dengan membuat peruntukan aset yang sesuai. Ramai yang tidak tahu melakukannya.

4.  Tidak senang duduk kerana volatiliti saham, sehingga pelabur membuat keputusan berasaskan sentimen dan bukannya fakta. Walaupun dana ekuiti juga turun naik harganya, volatiliti dana unit amanah lazimnya lebih rendah daripada saham individu.

5.  Tangan gatal untuk tekan butang 'buy' dan 'sell' terlalu kerap, terutamanya dengan adanya kemudahan dagangan dalam talian. Ini menyebabkan 'overtrading' sedangkan dalam keadaan tertentu, 'do nothing' ialah penyelesaian terbaik. Beli dan jual tidak semudah itu dengan unit amanah.

6.  Menerima terlalu banyak maklumat sehingga tak tahu mana yang patut diberi perhatian dan mana yang patut diabaikan.

7. Mencampuradukkan teknik pelaburan tetapi tidak ada satu kaedah yang dikuasai dengan sepenuhnya.

Bagi saya, kaedah paling selamat dan sesuai bagi ramai pelabur ialah membuat pelaburan dalam dana ekuiti secara bulanan (dollar cost averaging) tidak kira sama ada pasaran naik atau turun.

Namun begitu, satu perkara penting yang perlu diberi perhatian apabila melabur dalam unit amanah ialah pemilihan dana. Pilihlah dana yang mencatatkan prestasi kukuh dan yang diuruskan oleh syarikat unit amanah mantap, dengan rekod pencapaian terbukti.

Pelaburan bulanan dalam dana ekuiti yang kukuh tidak akan memberikan pulangan terbaik berbanding pulangan hebat yang digembar-gemburkan ramai pakar saham dan juga pulangan luar biasa pelbagai skim meragukan, tetapi boleh memberikan anda pulangan yang memuaskan, pada risiko yang lebih rendah.
 
Nota: 
  1. Sesetengah pakar saham boleh menjana untung yang lumayan. Tetapi tidak semestinya apabila mereka ajar anda, anda juga boleh dapat untung lumayan, walaupun mereka ajar dengan sebaik-baiknya.
  2. Untuk maklumat terperinci tentang unit amanah dan cara memilih dana yang paling sesuai untuk anda, dapatkan buku Panduan Pelaburan Unit Amanah, yang diterbitkan oleh Truewealth Publications.