16 Januari, 2015

5 Faktor Yang Mempengaruhi Ekonomi dan Pasaran Saham Pada 2015

Kita patut mempunyai pandangan tentang keadaan ekonomi dan hala tuju pasaran secara keseluruhan pada 2015 sebagai sebahagian daripada analisis pelaburan

Walaupun meramalkan pergerakan pasaran untuk tempoh satu tahun adalah amat sukar, tetapi kita tetap perlu mempunyai pandangan tentangnya untuk mengatur strategi urus niaga saham kita.

Berikut adalah lima faktor penting yang pada pendapat saya mempunyai pengaruh besar terhadap ekonomi pasaran saham negara kita:

1.  Harga Minyak dan Minyak Sawit Mentah

Malaysia mempunyai banyak syarikat yang terlibat dalam bidang ini dan kebanyakan syarikat yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam kedua-dua sektor telah mengalami kesan ketara akibat kejatuhan harga minyak dan minyak sawit mentah.

oil-price.net

Bilakah harga minyak akan mencapai tahap terendah? Di paras mana harga akan stabil pada tahun ini? Kedua-dua persoalan ini amat penting. Jika harga minyak kekal di bawah RM50 sebahagian besar daripada tahun, sektor yang amat penting dalam ekonomi Malaysia dan juga pendapatan negara pasti terjejas. 

Malaysian Palm Oil Board

Harga minyak sawit mentah pula nampak seperti sudah mencapai tahap terendah beberapa bulan lepas tetapi kita tetap perlu berhati-hati kerana sebarang kenaikan amat bergantung kepada permintaan daripada luar, yang tidak begitu kukuh dalam tempoh terdekat.

Tinjauan anda tentang harga kedua-duanya akan menentukan sama ada harga saham syarikat yang terlibat dalam industri minyak dan gas dan juga minyak sawit adalah berpatutan atau tidak pada harga semasa.

2.  Keadaan Pasaran Hartanah Negara

Bagi saya di sini terletak risiko yang agak tinggi. Adakah pasaran ini akan mendatar sahaja atau menghadapi tekanan besar pada tahun ini?  Dalam era kenaikan harga semua aset sejak 2009, harga komoditi telah mula turun dan begitu juga pasaran saham di Malaysia, sedangkan yang masih kekal tinggi ialah pasaran hartanah. 

Jika pasaran ini mendatar sahaja atau turun sedikit, ini tidak menimbulkan masalah, tetapi jika penurunan ketara berlaku, ekonomi negara dan juga pemilik rumah akan terjejas kerana pembelian hartanah dibiayai sebahagian besarnya oleh hutang.

3.  Sentimen Pengguna Tempatan

Ekonomi tempatan Malaysia amat disokong oleh kesanggupan pengguna Malaysia untuk terus berbelanja, walaupun tahap hutang pengguna semakin meningkat.

Jika perbelanjaan pengguna mula berkurangan, syarikat dalam sektor runcit akan menghadapi masalah. Namun begitu, ini bukanlah risiko yang terlalu besar. Satu faktor positif ialah pengurangan harga minyak sedikit sebanyak menambah kuasa beli pengguna.

4.  Ekonomi dan Pasaran Saham Amerika dan China

Kedua-duanya merupakan ekonomi gergasi yang merupakan rakan dagang penting Malaysia dan juga penjana ekonomi global.

Kebimbangan paling besar bukannya pada ekonomi Amerika yang nampak kian pulih, tetapi pada pasaran sahamnya yang berada pada paras agak tinggi. S&P 500 diperdagangkan pada tahap P/E 19. Sukar untuk mengelakkan tempias jika pasaran saham Amerika jatuh.

Yahoo Finance

Bagi China pula, walaupun tiada kemelesetan dijangka, ekonomi semakin menyederhana dan permintaan bagi komoditi daripada negara ini agak menyusut. Lazimnya ini akan menjejaskan hasil bagi negara dan syarikat yang banyak menjual barangan dan komoditi kepada China

5.  Tindakan Fed AS dan BNM

Sepatutnya jika pemulihan ekonomi mengikut perancangan, kedua-dua Fed AS dan BNM akan menaikkan kadar faedah pada tahun ini. Tetapi jika ini dilakukan dalam keadaan pasaran kurang stabil sekarang, mungkin akan menimbulkan kesan buruk. Ramai yang mengharapkan agar kedua-dua Bank pusat ini mengekalkan sahaja kadar semasanya.

Kesimpulan

Ekonomi dan pasaran pada 2015 bergantung kepada pelbagai faktor, yang mungkin positif di satu sudut dan negatif di sudut lain. Memang sukar meramalkan apa yang berlaku tetapi kita tetap perlu mempunyai pandangan berasaskan maklumat yang kita ada. 

Apa yang boleh kita lakukan ialah memberikan probability atau kebarangkalian bagi setiap faktor dan membuat keputusan pelaburan kita berasaskan senario yang kita rasa paling mungkin dialami, sambil bersiap-sedia untuk menukar arah jika pandangan tersebut salah.

Tetapi perkara penting yang perlu diingat bahawa segala masalah dan penurunan harga lazimnya membuka peluang untuk membeli pada harga berpatutan sambil menantikan ekonomi dan pasaran yang lebih kukuh pada tahun-tahun akan datang.

"Hanya dalam pasaran lemah barulah kita mendapat harga jualan murah"

Nota:  Maklumkan saya jika saya tertinggal sebarang faktor penting lain.

Tiada ulasan: