28 Januari, 2015

Pengiraan Bonus Tabung Haji Pada 2014

Bonus Tahunan 6.25% untuk semua pendeposit dan Bonus Haji 2% hingga jumlah maksimum RM9,980 bagi mereka yang belum menunaikan Haji

Baru-baru ini, Tabung Haji telah mengumumkan bonus untuk para pendeposit bagi tahun 2014. Bonus yang diumumkan ialah Bonus Tahunan 6.25% untuk semua penyimpan dan juga Bonus Haji 2% bagi mereka yang belum menunaikan Haji, sehingga simpanan maksimum RM9,980.

Ini bermakna pulangan 6.25% + 2.00% akan diterima oleh mereka yang belum menunaikan Haji, dan hanya untuk jumlah RM9,980 dalam simpanan mereka.

Bagi mereka yang telah menunaikan Haji dan juga untuk tabungan lebih tinggi daripada RM9,980, pulangan yang diterima ialah 6.25%.

Berikut adalah kaedah pengiraan yang diterangkan oleh TH:


Dari segi sejarah, kadar 6.25% adalah antara bonus yang tertinggi, dan jika anda belum menunaikan Haji dan simpanan anda berjumlah RM9,980 atau lebih rendah, maka bonus 8.25% yang anda terima adalah yang tertinggi dalam sejarah.

Sebagai contoh pengiraan, jika anda memiliki RM20,000 dalam akaun sepanjang tahun 2014. Bonus yang akan anda terima ialah:

(9,980 x 8.25%) + (RM10,020 x 6.25%) = RM1,450

Pada tahun lepas, saya ada menulis artikel mengenai topik yang sama dan memberikan contoh jumlah pulangan yang diterima pada akhir 2013 jika anda menyimpan RM10,000 pada 2003 dan tidak menambah apa-apa. Pulangan terkompaun bersih yang dicatatkan ialah 5.43% setahun.

Pada tahun ini, saya menggunakan jadual yang sama dan menambah pulangan bonus yang diterima pada tahun 2014.

Tahun
Nilai Awal (RM)
Pulangan (%)
Nilai Akhir (RM)
2003
10,000
4.00
10,400
2004
10,400
4.30
10,847
2005
10,847
4.50
11,335
2006
11,335
4.75
11,874
2007
11,874
5.00 + 2.00
12,705
2008
12,705
5.00
13,340
2009
13,340
5.00
14,007
2010
14,007
5.50
14,777
2011
14,777
6.00
15,664
2012
15,664
6.50 + 1.50*
16,883
2013
16,883
6+
17,895
2014
17,895
6.25+
19,013
*Bonus Khas dikira mengikut kaedah TH
(Baki minima bulanan dari Jan 2006 hingga Dis 2012/84 bulan) x 1.5%
+Saya mengambil kira hanya bonus tahunan kerana itulah yang diterima oleh semua pelabur

Bermula dengan simpanan RM10,000 pada awal tahun 2003, selepas tempoh 12 tahun anda akan menerima RM19,013. Pulangan terkompaun yang dicatatkan ialah 5.5% setahun. Kadar ini adalah pulangan bersih kerana TH telah membayar zakat untuk pendeposit.

Segala pelaburan anda, sama ada emas, saham, hartanah dan sebagainya, boleh ditanda aras (benchmarked) dengan pulangan TH.

Jika dalam jangka panjang anda tidak dapat menghasilkan pulangan terkompaun bersih (selepas menolak zakat) sebanyak 5.5% setahun, maka ternyata lebih selamat untuk simpan sahaja di dalam TH kerana risikonya jauh lebih rendah daripada pelaburan lain.

Nota: TH ialah kaedah tabungan saya kerana patuh Syariah dan memberikan pulangan terbaik dengan risiko yang amat rendah.

22 Januari, 2015

Kesan Pengumuman Penyesuaian Bajet

Tindakan Baik Untuk Jangka Panjang Tapi Mencabar Untuk Jangka Pendek

Berikutan kejatuhan harga minyak dan banjir besar yang berlaku baru-baru ini, kerajaan telah membuat keputusan untuk menyesuaikan bajet tahun 2015 untuk mengambil kira hasil yang lebih rendah daripada minyak di samping memperuntukkan perbelanjaan untuk membangunkan semula kawasan yang dilanda banjir.

Tindakan utama yang saya dapat lihat ialah langkah untuk mengurangkan perbelanjaan sebanyak RM5.5 bilion. Jumlah ini adalah angka yang agak besar. Hasil daripada pengurangan ini, defisit kini diunjurkan pada paras 3.2% berbanding 3.9% jika pemotongan perbelanjaan tidak dibuat.

Sasaran asalnya ialah 3.0% tetapi perlu diingat bahawa bajet 2015 telah dirangka dengan harga minyak pada $100 - $105 dan kini penyesuaian dilakukan dengan andaian harga pada $55.

Perkara positif mengenainya ialah dengan pemotongan ini, Kerajaan berjaya mengekang kenaikan defisit dan ini satu langkah yang baik untuk jangka panjang.

Namun begitu dalam tempoh terdekat, pengurangan perbelanjaan RM5.5 bilion tersebut pasti akan memberikan kesan terhadap syarikat dan perusahaan yang terlibat secara langsung dan juga tidak langsung dengan pemotongan tersebut.

Memandangkan setiap perbelanjaan mempunyai kesan pengganda, ini bermakna ia sedikit sebanyak akan dirasai oleh segmen perniagaan yang berkhidmat kepada kerajaan dan juga pembekal mereka.

Lanjutan daripada itu, ekonomi Malaysia kini hanya dijangka berkembang antara 4.5% - 5.5% pada tahun 2015 berbanding unjuran pertumbuhan asal 5% - 6%.

Ini bermakna jika tiada kejutan lain berlaku, ekonomi Malaysia tetap mengalami pertumbuhan yang memuaskan, tetapi ini masih lagi andaian sahaja. Beberapa perkara lain yang boleh berlaku untuk mejadikan realiti berbeza.
  1. Pertama sekali situasi ok melainkan berlaku kejutan kepada ekonomi. Kejutan boleh berlaku kerana tahap hutang negara dan isi rumah yang agak tinggi buat masa ini. Jika pelabur asing bon Malaysia meragui kekuatan fiskal negara dan mula angkat kaki, Malaysia mungkin menghadapi tekanan lebih besar.
  2. Satu lagi kejutan yang mungkin berlaku ialah pasaran hartanah. Jika nilai hartanah tiba-tiba jatuh menyebabkan pembeli rumah menghadapi keadaan 'ekuiti negatif', iaitu hutang lebih tinggi daripada nilai rumah, maka masalah besar akan dialami.
  3. Sementara itu, dari sudut positif, jika harga minyak naik kembali ke paras di sekitar $60 - $70 kekal di sana, ini akan mengukuhkan sedikit hasil negara, lebih-lebih lagi memandangkan penyesuaian bajet dibuat berasaskan andaian harga minyak mentah $55.
Rata-rata jika tiada kejutan ketara berlaku, ekonomi Malaysia akan berkembang pada kadar sederhana, dan keuntungan syarikat yang bergantung kepada pasaran domestik dan Asia mungkin merosot sedikit manakala yang mengeksport ke pasaran Amerika mungkin naik.

Tetapi jika kejutan berlaku, sama ada luaran atau dalaman, maka keadaan akan menjadi jauh berbeza. Pelabur perlu memantau situasi dengan amat teliti.

Nota: Sebenarnya kesan penurunan harga minyak terhadap imbangan perdagangan adalah sifar, menurut Wellian Wiranto, pakar ekonomi OCBC. Ini kerana Malaysia bukan lagi pengeksport bersih minyak. Namun begitu hasil kerajaan bergantung kepada minyak, sebab itulah bajet perlu diubah suai.

16 Januari, 2015

5 Faktor Yang Mempengaruhi Ekonomi dan Pasaran Saham Pada 2015

Kita patut mempunyai pandangan tentang keadaan ekonomi dan hala tuju pasaran secara keseluruhan pada 2015 sebagai sebahagian daripada analisis pelaburan

Walaupun meramalkan pergerakan pasaran untuk tempoh satu tahun adalah amat sukar, tetapi kita tetap perlu mempunyai pandangan tentangnya untuk mengatur strategi urus niaga saham kita.

Berikut adalah lima faktor penting yang pada pendapat saya mempunyai pengaruh besar terhadap ekonomi pasaran saham negara kita:

1.  Harga Minyak dan Minyak Sawit Mentah

Malaysia mempunyai banyak syarikat yang terlibat dalam bidang ini dan kebanyakan syarikat yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam kedua-dua sektor telah mengalami kesan ketara akibat kejatuhan harga minyak dan minyak sawit mentah.

oil-price.net

Bilakah harga minyak akan mencapai tahap terendah? Di paras mana harga akan stabil pada tahun ini? Kedua-dua persoalan ini amat penting. Jika harga minyak kekal di bawah RM50 sebahagian besar daripada tahun, sektor yang amat penting dalam ekonomi Malaysia dan juga pendapatan negara pasti terjejas. 

Malaysian Palm Oil Board

Harga minyak sawit mentah pula nampak seperti sudah mencapai tahap terendah beberapa bulan lepas tetapi kita tetap perlu berhati-hati kerana sebarang kenaikan amat bergantung kepada permintaan daripada luar, yang tidak begitu kukuh dalam tempoh terdekat.

Tinjauan anda tentang harga kedua-duanya akan menentukan sama ada harga saham syarikat yang terlibat dalam industri minyak dan gas dan juga minyak sawit adalah berpatutan atau tidak pada harga semasa.

2.  Keadaan Pasaran Hartanah Negara

Bagi saya di sini terletak risiko yang agak tinggi. Adakah pasaran ini akan mendatar sahaja atau menghadapi tekanan besar pada tahun ini?  Dalam era kenaikan harga semua aset sejak 2009, harga komoditi telah mula turun dan begitu juga pasaran saham di Malaysia, sedangkan yang masih kekal tinggi ialah pasaran hartanah. 

Jika pasaran ini mendatar sahaja atau turun sedikit, ini tidak menimbulkan masalah, tetapi jika penurunan ketara berlaku, ekonomi negara dan juga pemilik rumah akan terjejas kerana pembelian hartanah dibiayai sebahagian besarnya oleh hutang.

3.  Sentimen Pengguna Tempatan

Ekonomi tempatan Malaysia amat disokong oleh kesanggupan pengguna Malaysia untuk terus berbelanja, walaupun tahap hutang pengguna semakin meningkat.

Jika perbelanjaan pengguna mula berkurangan, syarikat dalam sektor runcit akan menghadapi masalah. Namun begitu, ini bukanlah risiko yang terlalu besar. Satu faktor positif ialah pengurangan harga minyak sedikit sebanyak menambah kuasa beli pengguna.

4.  Ekonomi dan Pasaran Saham Amerika dan China

Kedua-duanya merupakan ekonomi gergasi yang merupakan rakan dagang penting Malaysia dan juga penjana ekonomi global.

Kebimbangan paling besar bukannya pada ekonomi Amerika yang nampak kian pulih, tetapi pada pasaran sahamnya yang berada pada paras agak tinggi. S&P 500 diperdagangkan pada tahap P/E 19. Sukar untuk mengelakkan tempias jika pasaran saham Amerika jatuh.

Yahoo Finance

Bagi China pula, walaupun tiada kemelesetan dijangka, ekonomi semakin menyederhana dan permintaan bagi komoditi daripada negara ini agak menyusut. Lazimnya ini akan menjejaskan hasil bagi negara dan syarikat yang banyak menjual barangan dan komoditi kepada China

5.  Tindakan Fed AS dan BNM

Sepatutnya jika pemulihan ekonomi mengikut perancangan, kedua-dua Fed AS dan BNM akan menaikkan kadar faedah pada tahun ini. Tetapi jika ini dilakukan dalam keadaan pasaran kurang stabil sekarang, mungkin akan menimbulkan kesan buruk. Ramai yang mengharapkan agar kedua-dua Bank pusat ini mengekalkan sahaja kadar semasanya.

Kesimpulan

Ekonomi dan pasaran pada 2015 bergantung kepada pelbagai faktor, yang mungkin positif di satu sudut dan negatif di sudut lain. Memang sukar meramalkan apa yang berlaku tetapi kita tetap perlu mempunyai pandangan berasaskan maklumat yang kita ada. 

Apa yang boleh kita lakukan ialah memberikan probability atau kebarangkalian bagi setiap faktor dan membuat keputusan pelaburan kita berasaskan senario yang kita rasa paling mungkin dialami, sambil bersiap-sedia untuk menukar arah jika pandangan tersebut salah.

Tetapi perkara penting yang perlu diingat bahawa segala masalah dan penurunan harga lazimnya membuka peluang untuk membeli pada harga berpatutan sambil menantikan ekonomi dan pasaran yang lebih kukuh pada tahun-tahun akan datang.

"Hanya dalam pasaran lemah barulah kita mendapat harga jualan murah"

Nota:  Maklumkan saya jika saya tertinggal sebarang faktor penting lain.

06 Januari, 2015

Prestasi Pasaran Saham Pada 2014

Pasaran merosot setelah mencatatkan kenaikan selama lima tahun
Peluang bagi value investor untuk mencari nilai pada tahun 2015

Pada tahun 2014, beberapa indeks pasaran yang penting telah mengalami kemerosotan selepas rata-rata mencatatkan kenaikan kukuh selama 5 tahun.

Bagi saya, tiga indeks paling penting untuk diperhatikan ialah:
  • FBMKLCI --  30 syarikat dengan modal terbesar di Bursa dan menjadi indeks rujukan utama bagi pasaran Malaysia;
  • FBM Emas Syariah -- merangkumi kebanyakan syarikat patuh syariah di Malaysia, dan
  • FBM Small Cap -- yang mengukur prestasi syarikat bermodal kecil.

 

shareinvestor.com.my 

Pendek kata tiga indeks ini memberikan gambaran tentang saham bermodal besar, keadaan pasaran keseluruhan bagi saham patuh syariah dan juga prestasi syarikat bermodal kecil.

Berikut adalah prestasi ketiga-tiganya pada tahun 2013 dan juga 2014:


Ternyata pada tahun 2014, FBM KLCI telah jatuh dengan peratusan paling besar sebanyak 5.68%. Untuk tempoh dua tahun pula, indeks ini mencatatkan kenaikan hanya 4.32%. Manakala untuk tempoh dua tahun lepas, saham bermodal kecil mencatatkan prestasi terbaik dengan pulangan 30.51%.

Perkara ini tidak menghairankan kerana saham bermodal kecil telah naik di peringkat akhir bull market sedangkan saham besar yang menjadi komponen FBM KLCI melonjak terlebih dahulu di peringkat awal bull market.

Bagi tempoh lima tahun antara 2009 - 2013, pasaran saham secara keseluruhan telah mencatatkan kenaikan ketara. Justeru mungkin sukar baginya untuk menjana pulangan yang sama tinggi bagi tempoh 2014- 2018. 

Pelabur perlu amat berhati-hati dalam membuat pemilihan dan timing pelaburan mereka dalam tempoh yang mendatang.

Bagi seorang value investor, tahun 2015 membuka peluang bagi pelabur setelah lama kebanyakan saham berada di paras yang tinggi dan 'mahal' dari segi nilai. Sudah mula nampak nilai berpatutan di pasaran dan kemungkinan besar lebih banyak saham berkualiti boleh didapati dengan harga menarik pada tahun 2015.