26 Ogos, 2014

11 Petua Tom Peters Untuk Hadapi Kesukaran Perniagaan atau Kerjaya

Langit tidak sentiasa cerah dan penulis dan perunding terkenal ini berikan beberapa petua berguna untuk menghadapi masa-masa sukar

Walaupun BNM mengumumkan bahawa ekonomi Malaysia berkembang pada kadar lebih 6% suku tahun lepas, saya dapati perkembangan ekonomi ini tidak begitu seimbang kerana situasi perniagaan 'on the ground' nampak sukar bagi beberapa sektor termasuk komoditi, hartanah dan penerbangan.

Tidak dinafikan indeks hartanah dan saham berada hampir di paras tertinggi, tetapi sesetengah rakyat biasa yang tidak banyak memiliki aset terhimpit dengan kenaikan harga. Sesetengah peniaga kecil  pun mungkin menghadapi sedikit kesukaran. 

Maklumat di atas bukanlah berasaskan kajian terperinci tetapi berlandaskan pemerhatian dan pengalaman yang dihadapi oleh kenalan. 

Jika anda termasuk dalam golongan ini, berikut adalah petua berguna yang diberikan oleh Tom Peters untuk mengharungi masa-masa sukar yang dipetik daripada bukunya, The Little Big Things: 163 Ways to Pursue Excellence.


  1. Datang kerja lebih awal, balik kerja lebih lewat dan bekerja lebih keras.
  2. Sanggup kerja untuk gaji lebih rendah, walaupun anda berat hati menerimanya.
  3. Anda  menerima lebih banyak tugasan atau projek secara sukarela.
  4. Anda sentiasa cuba bersikap positif dan menampilkan wajah ceria walaupun di dalam hati anda tidak gembira.
  5. Anda bersedia untuk melakukan sebaik mungkin dalam kerja dan perniagaan dan bersyukur dengan pendapatan yang ada sekarang.
  6. Anda  membina jaringan secara agresif (networking) dan sentiasa berhubung dengan semua kenalan selain selalu bergaul dengan orang yang lebih muda.
  7. Anda ringkaskan hidup anda dan ketepikan segala kemewahan peribadi.
  8. Anda meningkatkan piawaian kerja ke tahap cemerlang, dan bersikap obsesi untuk memperbaiki segala kesilapan serta memberi perhatian kepada butiran kecil.
  9. Anda belajar kemahiran atau ilmu baru dan juga sanggup mengajar orang lain ilmu lama yang anda ada.
  10. Ucapkan terima kasih jika kejayaan dicapai dan bertanggungjawab atas kegagalan, sambil bersikap baik hati dan prihatin terhadap orang lain.
  11. Anda terima kegagalan dan cuba dan cuba lagi, sambil mengelakkan orang yang bersikap negatif.
Menurut beliau, perwatakan seseorang dinilai berasaskan tindak balasnya terhadap keadaan sukar. Akhir sekali, selepas melakukan semua di atas, beliau mencadangkan agar kita berdoa!

Nota:  Saya syorkan agar anda mendapatkan buku The Little Big Thing: 163 Ways to Pursue Excellence yang saya dapati sangat berguna. Sebenarnya beliau meletakkan 46 petua tetapi saya pilih yang paling relevan dan menggabungkan beberapa petua dalam satu ayat.

23 Ogos, 2014

Proses Pelaburan Dana Berprestasi Tinggi

Kita tinjau teknik pelaburan pengurus dana Kenanga Syariah Growth Fund, dana yang catat prestasi cemerlang dalam tempoh 10 tahun

Pada posting saya minggu lepas mengenai dana yang mencatatkan prestasi terbaik dalam jangka panjang, saya memaparkan jadual yang menunjukkan prestasi dana untuk tempoh 10 tahun dari laman web Morningstar. Di tempat teratas ialah Kenanga Syariah Growth yang mencatatkan pulangan terkompaun tahunan lebih 14%.


Memandangkan prestasi cemerlang dana dalam jangka panjang, cuba kita lihat proses pelaburan mereka berasaskan brosur yang dikeluarkan:


Mereka melakukannya seperti berikut:
 
Kami berfikir seperti pemilik perniagaan
 
Seperti mana-mana ahli perniagaan, kriteria berikut mesti dipenuhi sebelum kami mempertimbangkan penilaian sesebuah syarikat dan memasukkannya ke dalam portfolio Dana:-
  1. Model perniagaan dan tawaran nilai berdaya maju
  2. Kualiti pengurusan terbukti
  3. Kualiti pendapatan yang mantap
  4. Lembaran imbangan kukuh
 
Kami membeli perniagaan berkualiti di bawah nilai sebenar
 
Bagi kami, pelaburan dalam syarikat dengan perniagaan yang lemah dan membayar harga terlalu tinggi berbanding nilai intrinsik/sebenar mewujudkan risiko paling besar. Proses pelaburan kami berusaha untuk memanfaatkan perniagaan dengan pendapatan berdaya maju yang diperdagangkan nilai intrinsik/sebenar. Kami menggunakan kaedah aliran tunai terdiskaun sebagai ukuran nilai utama untuk menentukan nilai asas/sebenar bagi membuat semua keputusan. Kami juga menggunakan kaedah penilaian lain dalam proses penilaian kami.
 
 
Kami berusaha melindungi anda daripada kemerosotan ketara
 
Pengurusan risiko portfolio adalah sebahagian daripada proses pelaburan untuk mencapai pulangan yang konsisten. Kami mengamalkan mekanisme pengurusan risiko yang berikut:-
  • Siri semakan had untuk memastikan portfolio dipelbagaikan dengan secukupnya
  • Membina dan mengimbangi semula portfolio untuk memastikan pergerakan turun naik portfolio adalah kurang ketara daripada pergerakan pasaran
  • Jualan dilaksanakan secara berdisiplin dalam keadaan berikut
    • Saham tidak lulus ujian kriteria pemilihan saham
    • Andaian yang dibuat dalam proses penilaian tidak dipenuhi, lantas menjejaskan julat nilai intrinsik  
    • Had pendedahan telah diatasi 
    • Saham dalam portfolio mencatatkan prestasi lebih rendah daripada penanda aras dalam tempoh yang sewajarnya  
    • Saham jatuh di bawah peratus tertentu selepas kenaikan terkini ke paras tertinggi  

Proses ini boleh dicontohi oleh pelabur kecuali cara Kenanga menentukan nilai instrinsik/sebenar, yang mana mereka gunakan kaedah discounted cash flow (DCF) yang mungkin sedikit sukar bagi pelabur baru. 

Secara alternatif, pelabur boleh menggunakan ukuran penilaian yang lebih ringkas berasaskan untung, aset dan dividen, dan sekiranya saham tersebut diliputi oleh penganalisis, mereka boleh menggunakan fair value yang mereka tetapkan menerusi kaedah DCF sebagai petunjuk tambahan.

Nota:
Untuk penerangan tentang cara menilai sesuatu saham menerusi pelbagai kaedah, dapatkan buku Panduan Bijak Melabur. Untuk mempelajari teknik DCF atau teknik yang sepertinya, sila follow En. Zayed Zulkifli yang pernah menganjurkan bengkel mengenai topik ini. Klik topik bengkel saham di halaman kanan blog ini.

18 Ogos, 2014

Bengkel Jom Saham Bersama Cikgu Saham di Ipoh

Peluang untuk warga Ipoh mempelajari teknik asas pelaburan saham

Mentor saham wanita terkemuka Malaysia akan menganjurkan satu lagi bengkel saham, kali ini di Ipoh. Dibawa khas kepada newbie atau zero knowledge yang tidak mempunyai asas pelaburan saham Bursa Malaysia. Sesuai kepada semua peringkat umur, latar belakang dan pekerjaan.



Pengisian:
1. Asas saham
2. Urusn iaga secara on line trading.
3. Pendekatan analisa Fundamental & Teknikal
4. Bagaimana memohon saham IPO & IPO MITI
5. Bagaimana menjana untung di pasaran saham Bursa Malaysia

Tetamu jemputan: En Abdul Jamal Abu Hanifah yang mempunyai pengalaman hampir 31 tahun di pasaran saham Bursa Malaysia secara sepenuh masa.

Yuran: RM180 seorang (20 orang pertama)
RM220 seorang (21-40 orang)
RM250 seorang (41 orang seterusnya)

Booth pembukaan akaun CDS & Trading disediakan.

Seminar intensif ini dibawakan kepada anda oleh Triple Success Trading, jomsaham.com dan disokong oleh PM Securities Sdn Bhd.

Sila pm Cikgu Saham atau email azue88@gmail.com untuk tempahan dan pertanyaan.

14 Ogos, 2014

Dana Ekuiti Islam Terbaik Untuk Tempoh 3-10 Tahun

Kenanga Syariah Growth terus dahului prestasi 10 tahun manakala CIMB Small Cap terajui tempoh 5 tahun seiring dengan kenaikan saham modal kecil beberapa tahun lepas

Sudah agak lama saya tidak memaparkan prestasi pulangan jangka panjang dana ekuiti. Untuk makluman, dana ekuiti ialah dana unit amanah yang melabur sebahagian besar daripada wangnya dalam pasaran saham. Berikut ialah 20 dana terbaik untuk tempoh 10 tahun yang dipetik daripada laman web Morningstar Malaysia. Lihat ruang paling kanan:


Perlu diingat bahawa tempoh 10 tahun ialah tempoh yang paling baik untuk menilai prestasi unit amanah kerana meliputi seluruh kitaran naik turun ekonomi. Tempoh ini termasuk krisis subprima AS yang dialami pada 2008.

Pendek kata, jika anda beli dan pegang untuk jangka panjang, anda boleh menerima keuntungan yang agak lumayan walaupun ekonomi dunia pernah mengalami satu kegawatan ketara dalam tempoh tersebut.

Berasaskan jadual di atas, bagi saya pulangan 8% ialah minimum yang patut anda harapkan dan pulangan 10% adalah memuaskan.  Pulangan lebih daripada 10% boleh dianggap baik manakala angka lebih 12% boleh dikatakan cemerlang bagi tempoh 10 tahun.

Untuk memberikan gambaran lanjut, andaikan anda melabur RM100,000 pada Ogos 2004, berapakah pulangan anda sekarang selepas tempoh 10 tahun?

  • Jika dana anda mencatatkan pulangan 10% terkompaun tahunan, RM100,000 akan menjadi RM259,374 (Pulangan mutlak 159%)
  • Jika dana anda anda meraih 12% terkompaun tahunan, RM100,000 akan menjadi RM310,580 (Pulangan mutlak 210%)
  • Jika dana anda menghasilkan pulangan 14% terkompaun tahunan, RM100,000 akan menjadi RM370,072 (Pulangan mutlak 370%)

Nota:  Andaikan pelaburan RM100,000 ialah nilai bersih, iaitu selepas menolak caj jualan. Caj jualan ialah 2% jika unit dibeli online atau 5 - 5.5% jika dibeli menerusi ejen.

Sebagai perbandingan kita lihat dua lagi carta di bawah yang menunjukkan penarafan bagi tempoh 5 tahun (ruang keempat dari kiri) dan bagi tempoh tiga tahun (ruang ketiga dari kiri):

Penarafan 5 tahun: 


Penarafan 3 tahun:


Pulangan 3 - 5 tahun lebih tinggi daripada 10 tahun kerana tempoh permulaan pelaburan ialah selepas kegawatan pada 2008, iaitu apabila pasaran berada di tahap yang rendah. Bagi mereka bernasib baik atau yang memang menunggu untuk melabur semasa gawat, pulangan yang diterima lebih tinggi.

Tetapi kita perlu berhati-hati dengan percubaan melakukan 'timing' seperti ini kerana kadang kala keputusan tepat dibuat dan ada kemungkinan kita silap.

Walau apa pun, seperti yang dilihat daripada prestasi 10 tahun di atas, pelaburan jangka panjang dalam dana yang mantap boleh memberikan pulangan yang sangat memuaskan.

Nota: Jangan terlalu kagum dengan dana yang mencatatkan prestasi cemerlang untuk jangka pendek seperti satu tahun dan kurang, kerana mereka mungkin mengambil pendekatan agresif yang berpotensi mendatangkan kerugian besar jika pasaran merudum, terutamanya dalam suasana pelaburan sekarang.

Bagi saya, prestasi antara 5 - 10 tahun memberikan gambaran sebenar tentang kewibawaan pengurus dana. Untuk mempelajari kaedah melabur dalam unit amanah, dapatkan buku Panduan Pelaburan Unit Amanah.

11 Ogos, 2014

Bengkel Saham 101 oleh Tuan Zayed Zulkifli

Mempelajari asas saham daripada pelabur fundemental terkenal

Tuan Zayed Zulkifli akan mengadakan satu bengkel saham 101 supaya mereka yang berminat dalam bidang pelaburan saham boleh mula melabur berasaskan ilmu dan mengelakkan kerugian.

Saya telah follow perkembangan Tuan Zayed sejak tahun lepas dan memang beliau adalah pelabur, penganalisis dan pembimbing yang baik. Maklumat mengenai bengkel adalah seperti di bawah:


Bengkel Saham 101

- Mengenali ciri saham yang berkualiti
- Cara membaca laporan kewangan
- Kenali formula penilaian saham (intrinsic value)
- Tips elak melabur di kaunter yang menyebabkan kerugian
- Menjana pulangan pelaburan dengan cara selamat
- Pendapatan dividen secara berkala

Sila bawa laptop/notebook yang ada microsoft excel.

Tempat: PKNS Biz Point Seksyen 7, Shah Alam 
(Belakang Jakel, Berhampiran UiTM)
Masa: 8.30am - 1.00pm
Tarikh: 23/08/2014
Yuran: RM180

Pembayaran boleh dibuat menerusi:
CIMB - 8600718064 (Zayed bin Zulkifli)
Maybank - 158248021000 (Zayed bin Zulkifli)

Sila emailkan bukti pembayaran: zayed.zulkifli@gmail.com

Untuk keterangan lanjut: 013-3873-225 (Zayed) zayed.zulkifli@gmail.com

06 Ogos, 2014

Icon Offshore: Bukan Semua IPO Akan Naik Selepas Disenaraikan

Mengapa Harga Icon Offshore Turun? Bukankah Syarikat Meraih Untung Dalam Keputusan Suku Tahunan Terbaru?

Saya menerima soalan di atas yang sangat relevan. Sama ada saham IPO naik atau turun dalam tempoh terdekat selepas penyenaraian kadang kala bergantung kepada sentimen, dan ada kalanya bergantung kepada penilaian, iaitu harga yang ditawarkan kepada awam berbanding untung yang dicatatkan.

Berasaskan keputusan suku tahunan terbarunya, tiada masalah dengan Icon Offshore. Syarikat terus meraih untung tetapi keputusan tersebut menggambarkan kedudukan syarikat SEBELUM penyenaraian.

Keputusan suku tahunan bagi tempoh berakhir 31 Mac 2014 menunjukkan syarikat mencatatkan pendapatan sesaham EPS sebanyak 8 sen. Tetapi itu adalah berasaskan bilangan saham lama, sebelum proses penyenaraian dilaksanakan. Justeru keputusan tersebut tidak memberikan gambaran yang tepat.

Berasaskan prospektus dan laporan akhbar, saham dijual kepada awam pada nisbah PE antara 18 - 19, iaitu tahap yang agak tinggi. Harga IPO ialah RM1.85 sen bagi orang awam. Menurut laporan, syarikat lain dalam sektor ini diperdagangkan pada PE purata lebih kurang 13.

PE antara 18 -19 sebenarnya tiada masalah jika syarikat menunjukkan pertumbuhan sederhana dari segi keuntungan. Tetapi kita perlu menunggu keputusannya pada masa depan sebelum ada pemangkin untuk kenaikan harga saham ini. 

Bursa Malaysia

Sebaliknya jika prestasi hambar, maka terdapat potensi penurunan harga selanjutnya berlaku.  Apabila membeli IPO, kita perlu berhati-hati untuk memastikan kita menilai dulu harga IPO yang ditawarkan, sama ada ia berpatutan atau terlalu mahal.

Perkara paling penting ialah membaca prospektus dan meninjau analisis pakar di akhbar dan menerusi laporan penyelidikan tentang harga yang ditawarkan.

Pendek kata penilaian perlu dilakukan dengan cara yang sama seperti membeli saham lain, cuma kita tidak boleh membuat penilaian berasaskan rekod masa lepas sebagai syarikat tersenarai, tetapi berasaskan unjuran di dalam prospektus.

Berkenaan Icon Offshore, tekanan terhadap harga saham telah bermula selepas penyenaraian lagi, tetapi harga terus jatuh di bawah harga IPO apabila Maybank IB sebagai pengurus penstabilan tidak lagi membeli saham. Sebelum itu, Maybank IB menstabilkan harga dengan membeli saham pada harga antara RM1.80 hingga RM1.85.

Selepas proses penstabilan dihentikan, maka harga telah jatuh ke parasnya sekarang.  Buat masa ini terlalu awal untuk menilai fair value syarikat tanpa sebarang keputusan operasi selepas penyenaraian. Ini pandangan peribadi. Anda boleh mencari analisis pakar di Internet untuk meninjau fair value yang mereka tetapkan.

Tunggu sehingga keputusan suku tahunan yang akan diumumkan menjelang akhir bulan ini untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang nilai dan keupayaan syarikat menjana keuntungan selepas disenaraikan.

Kesimpulannya ialah jika membeli IPO, perkara berikut perlu dipertimbangkan:
  1. Lakukan penyelidikan seperti saham lain.
  2. Syarikat yang baik tidak semestinya sahamnya naik. Harga IPO mesti wajar.
  3. Kadangkala unjuran kita salah walaupun melakukan penyelidikan terperinci.
Seperti membeli saham lain, proses penilaian pelaburan dan risiko perlu dilakukan. Sebab itu adalah tidak wajar untuk menumpukan semua dana anda dalam satu IPO sahaja. Proses mempelbagaikan pelaburan amat penting dalam semua keadaan.