06 Ogos, 2014

Icon Offshore: Bukan Semua IPO Akan Naik Selepas Disenaraikan

Mengapa Harga Icon Offshore Turun? Bukankah Syarikat Meraih Untung Dalam Keputusan Suku Tahunan Terbaru?

Saya menerima soalan di atas yang sangat relevan. Sama ada saham IPO naik atau turun dalam tempoh terdekat selepas penyenaraian kadang kala bergantung kepada sentimen, dan ada kalanya bergantung kepada penilaian, iaitu harga yang ditawarkan kepada awam berbanding untung yang dicatatkan.

Berasaskan keputusan suku tahunan terbarunya, tiada masalah dengan Icon Offshore. Syarikat terus meraih untung tetapi keputusan tersebut menggambarkan kedudukan syarikat SEBELUM penyenaraian.

Keputusan suku tahunan bagi tempoh berakhir 31 Mac 2014 menunjukkan syarikat mencatatkan pendapatan sesaham EPS sebanyak 8 sen. Tetapi itu adalah berasaskan bilangan saham lama, sebelum proses penyenaraian dilaksanakan. Justeru keputusan tersebut tidak memberikan gambaran yang tepat.

Berasaskan prospektus dan laporan akhbar, saham dijual kepada awam pada nisbah PE antara 18 - 19, iaitu tahap yang agak tinggi. Harga IPO ialah RM1.85 sen bagi orang awam. Menurut laporan, syarikat lain dalam sektor ini diperdagangkan pada PE purata lebih kurang 13.

PE antara 18 -19 sebenarnya tiada masalah jika syarikat menunjukkan pertumbuhan sederhana dari segi keuntungan. Tetapi kita perlu menunggu keputusannya pada masa depan sebelum ada pemangkin untuk kenaikan harga saham ini. 

Bursa Malaysia

Sebaliknya jika prestasi hambar, maka terdapat potensi penurunan harga selanjutnya berlaku.  Apabila membeli IPO, kita perlu berhati-hati untuk memastikan kita menilai dulu harga IPO yang ditawarkan, sama ada ia berpatutan atau terlalu mahal.

Perkara paling penting ialah membaca prospektus dan meninjau analisis pakar di akhbar dan menerusi laporan penyelidikan tentang harga yang ditawarkan.

Pendek kata penilaian perlu dilakukan dengan cara yang sama seperti membeli saham lain, cuma kita tidak boleh membuat penilaian berasaskan rekod masa lepas sebagai syarikat tersenarai, tetapi berasaskan unjuran di dalam prospektus.

Berkenaan Icon Offshore, tekanan terhadap harga saham telah bermula selepas penyenaraian lagi, tetapi harga terus jatuh di bawah harga IPO apabila Maybank IB sebagai pengurus penstabilan tidak lagi membeli saham. Sebelum itu, Maybank IB menstabilkan harga dengan membeli saham pada harga antara RM1.80 hingga RM1.85.

Selepas proses penstabilan dihentikan, maka harga telah jatuh ke parasnya sekarang.  Buat masa ini terlalu awal untuk menilai fair value syarikat tanpa sebarang keputusan operasi selepas penyenaraian. Ini pandangan peribadi. Anda boleh mencari analisis pakar di Internet untuk meninjau fair value yang mereka tetapkan.

Tunggu sehingga keputusan suku tahunan yang akan diumumkan menjelang akhir bulan ini untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang nilai dan keupayaan syarikat menjana keuntungan selepas disenaraikan.

Kesimpulannya ialah jika membeli IPO, perkara berikut perlu dipertimbangkan:
  1. Lakukan penyelidikan seperti saham lain.
  2. Syarikat yang baik tidak semestinya sahamnya naik. Harga IPO mesti wajar.
  3. Kadangkala unjuran kita salah walaupun melakukan penyelidikan terperinci.
Seperti membeli saham lain, proses penilaian pelaburan dan risiko perlu dilakukan. Sebab itu adalah tidak wajar untuk menumpukan semua dana anda dalam satu IPO sahaja. Proses mempelbagaikan pelaburan amat penting dalam semua keadaan.

Tiada ulasan: