14 Ogos, 2014

Dana Ekuiti Islam Terbaik Untuk Tempoh 3-10 Tahun

Kenanga Syariah Growth terus dahului prestasi 10 tahun manakala CIMB Small Cap terajui tempoh 5 tahun seiring dengan kenaikan saham modal kecil beberapa tahun lepas

Sudah agak lama saya tidak memaparkan prestasi pulangan jangka panjang dana ekuiti. Untuk makluman, dana ekuiti ialah dana unit amanah yang melabur sebahagian besar daripada wangnya dalam pasaran saham. Berikut ialah 20 dana terbaik untuk tempoh 10 tahun yang dipetik daripada laman web Morningstar Malaysia. Lihat ruang paling kanan:


Perlu diingat bahawa tempoh 10 tahun ialah tempoh yang paling baik untuk menilai prestasi unit amanah kerana meliputi seluruh kitaran naik turun ekonomi. Tempoh ini termasuk krisis subprima AS yang dialami pada 2008.

Pendek kata, jika anda beli dan pegang untuk jangka panjang, anda boleh menerima keuntungan yang agak lumayan walaupun ekonomi dunia pernah mengalami satu kegawatan ketara dalam tempoh tersebut.

Berasaskan jadual di atas, bagi saya pulangan 8% ialah minimum yang patut anda harapkan dan pulangan 10% adalah memuaskan.  Pulangan lebih daripada 10% boleh dianggap baik manakala angka lebih 12% boleh dikatakan cemerlang bagi tempoh 10 tahun.

Untuk memberikan gambaran lanjut, andaikan anda melabur RM100,000 pada Ogos 2004, berapakah pulangan anda sekarang selepas tempoh 10 tahun?

  • Jika dana anda mencatatkan pulangan 10% terkompaun tahunan, RM100,000 akan menjadi RM259,374 (Pulangan mutlak 159%)
  • Jika dana anda anda meraih 12% terkompaun tahunan, RM100,000 akan menjadi RM310,580 (Pulangan mutlak 210%)
  • Jika dana anda menghasilkan pulangan 14% terkompaun tahunan, RM100,000 akan menjadi RM370,072 (Pulangan mutlak 370%)

Nota:  Andaikan pelaburan RM100,000 ialah nilai bersih, iaitu selepas menolak caj jualan. Caj jualan ialah 2% jika unit dibeli online atau 5 - 5.5% jika dibeli menerusi ejen.

Sebagai perbandingan kita lihat dua lagi carta di bawah yang menunjukkan penarafan bagi tempoh 5 tahun (ruang keempat dari kiri) dan bagi tempoh tiga tahun (ruang ketiga dari kiri):

Penarafan 5 tahun: 


Penarafan 3 tahun:


Pulangan 3 - 5 tahun lebih tinggi daripada 10 tahun kerana tempoh permulaan pelaburan ialah selepas kegawatan pada 2008, iaitu apabila pasaran berada di tahap yang rendah. Bagi mereka bernasib baik atau yang memang menunggu untuk melabur semasa gawat, pulangan yang diterima lebih tinggi.

Tetapi kita perlu berhati-hati dengan percubaan melakukan 'timing' seperti ini kerana kadang kala keputusan tepat dibuat dan ada kemungkinan kita silap.

Walau apa pun, seperti yang dilihat daripada prestasi 10 tahun di atas, pelaburan jangka panjang dalam dana yang mantap boleh memberikan pulangan yang sangat memuaskan.

Nota: Jangan terlalu kagum dengan dana yang mencatatkan prestasi cemerlang untuk jangka pendek seperti satu tahun dan kurang, kerana mereka mungkin mengambil pendekatan agresif yang berpotensi mendatangkan kerugian besar jika pasaran merudum, terutamanya dalam suasana pelaburan sekarang.

Bagi saya, prestasi antara 5 - 10 tahun memberikan gambaran sebenar tentang kewibawaan pengurus dana. Untuk mempelajari kaedah melabur dalam unit amanah, dapatkan buku Panduan Pelaburan Unit Amanah.

Tiada ulasan: