01 Mei, 2014

Pertambahan Inventori Ramal Kemerosotan Untung

Peningkatan inventori ketara petanda jualan masa depan mungkin terjejas

Selain daripada faktor penilaian seperti Nisbah P/E, NTA, Nisbah Hutang, Pulangan Dividen dan lain-lain, kita juga patut mempertimbangkan faktor perniagaan seperti paras hasil (jualan) dan juga inventori.

Tumpuan saya untuk posting ini ialah paras inventori atau stok dalam sesebuah perniagaan. Syarikat lazimnya perlu menyimpan jumlah inventori tertentu dalam syarikat untuk memastikan permintaan untuk produk syarikat dapat dibekalkan tepat pada masanya.

Dengan meninjau laporan tahunan atau laporan suku tahunan masa lepas syarikat, kita boleh menganggarkan tahap inventori yang lazim baginya.

Tanda amaran timbul apabila apabila tahap inventori mula meningkat sama ada dengan ketara atau secara beransur-ansur tetapi konsisten. Ini mungkin menunjukkan bahawa syarikat mempunyai kapasiti pengeluaran tetapi jualan tidak dapat menyamai kapasiti pengeluaran tersebut.

Peningkatan inventori ini menandakan syarikat berpotensi mencatatkan jualan lebih rendah pada tahun kewangan seterusnya kerana kemerosotan permintaan.

Syarikat juga mungkin tidak dapat menggunakan kapasiti pengeluaran sepenuhnya kerana perlu menjual barangan yang ada dalam stok terlebih dahulu.

Satu contoh ialah sebuah syarikat yang bernama Astino. Syarikat ini pada pendapat saya agak kukuh tetapi saya dapati tahap inventori mereka semakin meningkat pada pada laporan tahunan lepas.

 
Kita dapat lihat dalam laporan tahunan tahun lepas bahawa inventori telah meningkat dengan agak ketara dari tahun 2011 (sebelah kiri sekali) hingga tahun 2013 (sebelah kanan sekali)
 


Malah dalam laporan suku tahunan terbaru, inventori terus meningkat, dan bagi saya ini perkara ini sedikit membimbangkan.


Maka kesanya dapat dilihat daripada hasil (revenue) yang berkurangan berbanding tahun lepas. Apabila hasil berkurangan, sudah pasti untung juga merosot.

Diingatkan sekali lagi bahawa peningkatan inventori ini bukan bermaksud syarikat ini menghadapi masalah, cuma prestasinya tidak sebaik tahun lepas sahaja.

Tetapi ia ada implikasi dari segi harga kerana menandakan fasa kenaikan mungkin terhenti buat seketika memandangkan harga saham telah mencatatkan prestasi cemerlang dalam tempoh 3 - 5 tahun lepas.


Sekiranya situasi ini berlaku kepada syarikat yang baik, seorang value investor boleh menantikan harga saham turun dan juga tanda penstabilan inventori. Apabila kedua-duanya berlaku, kita boleh mengintai peluang untuk membeli.

Sementara itu, pelabur yang sudah memegang saham ini untuk tempoh tertentu boleh mempertimbangkan untuk menjual apabila pertambahan inventori ketara berlaku dan menantikan peluang untuk membeli kembali pada harga yang dianggap wajar.

Nota: Cadangan pada perenggan terakhir ialah untuk pelabur yang melabur dalam jangka sederhana panjang antara 1 - 5 tahun.  Pelabur buy and hold untuk tempoh ultra panjang berasaskan kaedah Buffett dan Philip Fisher boleh terus pegang sekiranya syarikat ini dianggap mengalami penurunan untung buat sementara sahaja, yang tidak menjejaskan potensi jangka panjangnya.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sgt berbesar hati jika tuan dapat memberikan ulasan tentang lii hen industries berhad. Dr snapshot dpt dilihat bahawa dividend yield agak baik. Mohon jasa baik. Terima kasih tuan.

Unknown berkata...

Salam,

Saya akan tinjau sikit dan kalau sesuai saya akan buat ulasan mengenainya.

Terima kasih

Tanpa Nama berkata...

Terima kasih tuan. Sy agak hairan kerana byk kritikan para pelabur terhadap lii hen industries bhd. Tetapi jika ditinjau, pe ratio adalah bawah 10 Dan dividend yield agak baik.

Btw, blog tuan banyak membantu sy menjadi seorang pelabur yg cermat. Alhmdulillah, prestasi Saham pertama sy agak memuaskan.

Terima kasih.

Tanpa Nama berkata...

Banyak ilmu mengenai kekukuhan sebuah syarikat dpt kita nilai pd inventori dan kewangan mereka.

Terima Kasih