22 April, 2014

Tujuh Keadaan Apabila Anda Patut Melupakan Saham dan Membeli Dana Ekuiti

Saham bukan untuk semua tetapi semua orang boleh melabur dalam saham

Sekarang ini terdapat semakin banyak kursus dan seminar tentang saham, untuk pelabur baru dan lama, yang mengajar pelbagai jenis teknik pelaburan. Semakin ramai yang mula menunjukkan minat terhadap saham mungkin kerana kenaikan ketara indeks sejak lima tahun lepas.

Tetapi bukan semua orang patut melabur secara langsung dalam pasaran saham. Bagi sesetengah orang, cara yang lebih baik adalah melabur menerusi unit amanah, atau secara khususnya dana ekuiti.

Unit amanah sebenarnya bukan saham dalam erti kata sebenar. Sebaliknya ia merupakan unit dalam dana yang membuat pelaburan dalam pelbagai instrumen pelaburan, termasuklah saham. Manakala dana ekuiti pula ialah unit amanah yang melabur sebahagian besar daripada dananya dalam saham.

Bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan saham dan sedang menimba ilmu dalam bidang ini, melabur terus di pasaran bukan satu-satunya cara, dan mungkin bukan cara terbaik untuk melabur dalam saham.

Dalam tujuh keadaan berikut, mungkin unit amanah dalam bentuk dana ekuiti lebih sesuai bagi anda berbanding saham.

1.  Tiada masa untuk membuat analisis. Ada sesetengah pelabur baru berpendapat bahawa mendengar nasihat atau mendapat tips daripada pelabur berpengalaman, broker atau menerusi Group FB sudah cukup. Tetapi hakikanya ialah jika anda tidak tahu atau tidak ada masa untuk membuat analisis, lebih baik untuk melabur dalam saham menerusi dana ekuiti. Saya ingin tekankan bahawa walaupun anda boleh menerima tips daripada orang lain, anda tetap perlu melakukan penyelidikan anda sendiri.

2.  Ingin melabur secara bulanan. Unit amanah ialah pelaburan terbaik jika anda ingin melabur secara bulanan dalam jumlah yang kecil.  Kaedah ini dinamakan Dollar Cost Averaging atau purata kos ringgit.  Anda boleh membuat autodebit secara terus dari akaun anda. Kaedah ini tidak memerlukan disiplin yang tinggi kerana potongan dilakukan secara automatik, memastikan anda melabur secara konsisten setiap bulan.

3.  Mahukan pelaburan dalam portfolio yang terpelbagai dengan jumlah pelaburan kecil. Apabila anda melabur dalam saham, anda perlu bijak memilih beberapa saham dengan ciri tertentu dan sektor tertentu untuk mempelbagaikan pelaburan. Malah mempelbagaikan pelaburan hanya boleh dilakukan dengan jumlah wang pelaburan yang lebih besar. Menerusi unit amanah, anda mempelbagaikan pelaburan walaupun anda melabur hanya RM1,000.

4.  Mahu memanfaatkan pengalaman pengurus dana profesional. Syarikat pengurus dana mempunyai pasukan pengurusan professional yang berkelayakan dalam bidang masing-masing. Walaupun mereka mengenakan yuran untuk menguruskan dana, tetapi kepakaran mereka ada manfaatnya. Anda boleh mengkhusus dalam kepakaran anda untuk menjana pendapatan, dan menggunakan khidmat pengurus profesional yang pakar dalam bidang beliau untuk menguruskan wang anda.

5.  Berpuas hati dengan pulangan terkompaun tahunan antara 8 - 12% dalam dalam jangka panjang. Jangka panjang yang saya maksudkan ialah tempoh 10 tahun atau lebih.  Pulangan tersebut adalah amat memuaskan. Sesetengah dana ekuiti mampu mencatatkan pulangan antara 12 - 18% terkompaun tahunan dalam tempoh lebih singkat seperti lima tahun, tetapi biasanya tempoh ini merangkumi tempoh kenaikan ketara pasaran secara keseluruhan dan tidak mengambil kira fasa kejatuhan yang pasti berlaku dalam selang masa 10 tahun.

6.  Terlalu gementar apabila pasaran saham turun naik dengan ketara. Memandangkan ciri pasaran saham yang agak volatile, penglibatan terus di dalamnya mungkin tidak begitu sesuai untuk semua  kerana sesetengah orang mungkin asyik memikirkan pelaburan mereka, terutamanya apabila pasaran jatuh. Sekiranya anda tergolong dalam kumpulan ini, kaedah Dollar Cost Averaging yang saya terangkan di atas adalah lebih sesuai untuk anda.

7.  Sudah dua tahun melabur dan rugi sedangkan indeks pasaran saham naik. Bukan semua orang boleh menguasai bidang pelaburan saham, seperti bukan semua orang boleh menjadi doktor atau akauntan. Kita patut terima had keupayaan kita. Perkara yang menarik tentang pelaburan ialah anda masih boleh memanfaatkan untung yang diraih oleh syarikat perniagaan besar dengan melabur menerusi unit amanah.

Tetapi satu perkara penting apabila melabur dalam unit amanah ialah pemilihan dana. Pilihlah dana yang mencatatkan prestasi kukuh dan yang diuruskan oleh syarikat unit amanah mantap, dengan rekod pencapaian terbukti. Ini tidak  menjanjikan pulangan terbaik, tetapi berpotensi memberikan anda pulangan yang memuaskan, pada risiko yang lebih rendah.

Nota:  Untuk maklumat terperinci tentang unit amanah dan cara memilih dana yang paling sesuai untuk anda, dapatkan buku Panduan Pelaburan Unit Amanah, yang diterbitkan oleh Truewealth Publications.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

visit http://www.tropicalroofing.sto.my/
for metal deck roofing, polycarbonate sheet, insulated metal panel and home improvement.