Mengetahui ciri saham yang patut dielakkan juga penting dalam pelaburan
Menurut Warren Buffett, mengelakkan kerugian adalah faktor paling penting yang harus diberi tumpuan apabila kita melabur. Sejajar dengan nasihat ini, terutamanya dalam pasaran yang hangat masa kini, saya cadangkan agar pelabur yang melabur berasaskan fundamentals (nilai asas) berhati-hati dan mengelakkan saham dan waran dengan 9 ciri berikut:
1. Saham dengan nisbah P/E lebih tinggi daripada 20 dan tiada prospek untuk meningkatkan untung dalam tempoh 1 hingga 3 tahun akan datang. Lebih teruk lagi jika keuntungan dijangka merosot kerana lazimnya P/E yang tinggi hanya boleh disokong keuntungan yang bertambah pada masa depan.
2. Saham yang untungnya terumbang-ambing tetapi sering dimainkan oleh spekulator. Saham spekulatif biasanya mencatatkan kenaikan dan penurunan harga yang ketara. Ini bukan padang permainan pelabur fundamental.
3. Saham dengan Nilai Aset Bersih (NTA/Book Value) yang terlalu rendah atau bernilai negatif. Walaupun harganya sangat murah, margin for error bagi pelabur adalah terlalu rendah. Pengecualiannya ialah jika anda benar-benar yakin bahawa syarikat tersebut boleh dipulihkan.
4. Saham berstatus PN17. Sebenarnya ada beberapa sebab syarikat dimasukkan sebagai status PN17, termasuklah NTA negatif seperti di atas, tetapi walau apa pun sebabnya, kita jauhkan diri. Tinggalkan saham PN17 kepada mereka yang mengkhusus dalam saham sedemikian.
5. Saham SPAC sehingga ia mempunyai perniagaan dan pendapatan yang stabil. Bagaimana untuk melabur berasaskan nilai asas sekiranya masih belum ada operasi untuk dinilai? Seperti saham PN17, biarkan mereka yang mengkhusus dalam bidang ini dan yang mengenali penganjur SPAC untuk melabur di dalamnya.
6. Syarikat dengan paras hutang yang terlalu tinggi. Biasanya nisbah hutang ekuiti lebih tinggi daripada 1 sudah mencapai takat membimbangkan (bagi saya lebih daripada 0.5 pun saya tak berapa suka). Kita patut jauhkan melainkan terdapat sebab munasabah mengapa syarikat tersebut memerlukan hutang yang tinggi.
7. Syarikat yang corak pendapatannya tidak dapat diramalkan dengan konsisten dan sering bertukar ganti antara tahun untung dan tahun rugi. Mungkin ada cara untuk meraih untung menerusi timing dengan syarikat ini, tetapi kita sebagai pelabur kecil dan 'outsider' tidak ada maklumat lebih terperinci tentang situasi syarikat. Justeru syarikat seperti ini patut diabaikan, walaupun harganya rendah.
8. Waran panggilan. Pada asasnya waran panggilan adalah instrumen spekulasi semata-mata dan memang tidak patuh syariah. Abaikan walau apa pun saham induknya.
9. Waran yang sudah hampir tarikh luput dan harga laksananya adalah lebih tinggi daripada harga saham induk. Dalam keadaan ini, waran mungkin masih ada harga, walaupun ia tersangat rendah. Kita elakkan walaupun untung besar dapat diraih sekiranya saham induknya tiba-tiba naik sebelum waran luput.
Dengan mengelakkan saham seperti di atas, kita sebenarnya mengawal dan mengehadkan risiko kita. Tidak dinafikan ada situasi di atas di mana untung boleh diraih, tetapi apa gunanya ambil risiko tinggi sedangkan terdapat banyak lagi peluang lain untuk meraih untung dengan risiko yang terkawal.
1 ulasan:
Waran Buffet
Catat Ulasan