15 Januari, 2014

Bila Untuk Menjual Saham?

Sejauh mana tempoh pegangan saham yang tuan ada? Adakah pegang dalam tempoh 4-5 tahun dan pada masa yang sama menerima pulangan dividen atau akan jual apabila kewangan syarikat merosot?

Saya menerima soalan di atas yang amat relevan kepada pembaca. Persoalan bila untuk jual adalah sukar dijawab kerana ia bergantung kepada jenis saham yang anda beli dan juga tujuan anda membelinya.

Secara peribadi, keputusan untuk menjual saya lakukan mengikut budi bicara sendiri, berasaskan kriteria ukuran nilai yang telah saya tetapkan dan juga tujuan saya membeli saham tersebut.

Pelabur fundamental berlainan mempunyai kaedah pegangan saham yang berbeza. Warren Buffett dan Philip Fisher memegang saham untuk tempoh yang sangat panjang. Benjamin Graham, John Neff, Walter Schloss pula menjual apabila harga telah mencapai atau lebih tinggi daripada nilai. Peter Lynch dan Ken Fisher pula berada di antara kedua-dua kategori ini. 

Bolehkah kita mengikut nasihat mereka? Pada pendapat saya
boleh tetapi hanya untuk saham berkualiti tertinggi sahaja

Kesemua mereka telah meraih untung lumayan daripada pelaburan saham. Pendek kata ada lebih daripada satu cara untuk melabur, memegang dan menjual saham secara fundamental, dan kejayaan boleh dicapai selagi anda membuat pemilihan saham yang tepat.

Bagi saya sendiri, apabila membeli saham saya akan menentukan mengapa saya beli saham tersebut. Ada kalanya saya beli disebabkan syarikat tersebut kukuh dan dijangka berkembang tahun demi tahun. Saham seperti ini saya akan pegang untuk jangka panjang dan menerima dividen daripadanya. Contoh saham ini ialah F&N.

Saya akan jual hanya apabila saya rasa harga sahamnya sudah terlalu (bukan sedikit) overvalued atau perniagaannya tidak akan berkembang lagi. Tetapi masalahnya ialah sukar unutk mencari syarikat seperti ini.

Majoriti pelaburan saya ialah dalam saham yang baik tetapi tidak cemerlang, yang harga sahamnya undervalued atas sebab tertentu. Bagi saham seperti ini, saya akan jual apabila saya rasa harganya telah kembali naik melebihi nilai sebenar syarikat, dan syarikat tidak dijangka meningkatkan keuntungan pada satu atau dua tahun akan datang.

Pendek kata ada saham saya jual dalam masa 3 bulan, ada yang pegang lebih 1 tahun dan ada yang pegang sehingga bertahun-tahun. Semuanya bergantung kepada keadaan. Saya tidak menetapkan satu target price, membandingkan harga dengan nilai berasaskan kriteria utama berikut:
  1. Keupayaan menambah untung dalam tempoh 1 - 5 tahun akan datang
  2. Nisbah P/E
  3. Pulangan Dividen
  4. Pulangan atas Ekuiti
Di samping itu, saya juga melihat pelbagai faktor kewangan lain selain daripada meninjau keadaan ekonomi negara dan global. Semua ini diterangkan dalam buku saya Panduan Bijak Melabur yang akan diterbitkan dalam edisi kedua tidak lama lagi.

Saya juga tidak menetapkan nilai spesifik, contohnya 'Jual apabila P/E sampai ke 15' dan sebagainya.  Sebaliknya, dalam hal ini, saya lebih suka membandingkanya dengan P/E purata saham dan juga potensi syarikat menaikkan untung. Sebagai contoh, jika P/E sudah tinggi tetapi syarikat dijangka meningkatkan untung dengan memuaskan, saya akan terus pegang. 

Tetapi jika P/E sudah tinggi berbanding purata P/E sepuluh tahun lepas dan keuntungan dijangka mendatar atau merosot, dan ROE semakin merosot, saya akan mempertimbangkan untuk jual.

Saya tidak menetapkan Target Price kerana situasi syarikat adalah dinamik. Jika prestasi syarikat lebih baik daripada yang dijangka, ini bermakna target price yang ditetapkan sebelum ini mungkin tidak lagi relevan. Sebab itulah saya lebih suka menggunakan ukuran nilai yang dinyatakan di atas serta potensi syarikat meningkatkan keuntungan pada masa depan.

Kesimpulan

Maaf kerana tidak dapat memberikan kriteria lebih spesifik, seperti yang dilakukan oleh para penganalisis teknikal, tetapi pada pendapat saya saham tidak berfungsi seperti itu. Budi bicara dan pelbagai faktor harus dipertimbangkan dalam keputusan menjual dan setiap saham mungkin berbeza.

Tetapi saya boleh merumuskan bahawa
  1. Bagi segelintir saham yang berkualiti tinggi, saya sanggup pegang lebih lama, (sehingga bertahun-tahun) walaupun saham tersebut sedikit overvalued.
  2. Bagi saham di bawah tahap tersebut, saya akan jual apabila saya berpendapat perniagaan telah merosot atau harga telah melebihi nilai, berasaskan ukuran nilai dan budi bicara sendiri.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

As Salam Tuan,

Terima kasih di atas perkongsian ilmu di atas. Sangat berguna kepada kami yang kekurangan ilmu saham.

abm

arbain berkata...

Salam Tuan,
Apa pdngan Tuan ttg saham price split. Cth Saham Aeon, cikgu Saham 1 mngatakan Saham trsebut perlu djual. Manakala cikgu Saham 2 mngatakan Saham itu prlu d hold krn price split brserta dgn pmberian 1 share bonus. Bgi sy, better jual sdikit share utk take profit & hold baki utk dptkn bonus. apa pdngan tuan ttg pkara ni? #buat masa ini sy belum lg mmiliki Saham trsebut krn ia tlh mghampiri intrinsic value.

Unknown berkata...

Wasalam,

Bg saya share split atau bonus tiada apa-apa makna bagi long term investor. Boleh baca bahagain mengenai pecahan saham dan saham bonus dalam buku Panduan Bijak Melabur. Mungkin apabila diumumkan harga akan naik seketika kerana ramai orang terpedaya bila sebut saja bonus. Tetapi dalam jangka panjang keputusan untuk jual atau terus pegang bergantung kepada penilaian Tuan tentang saham AEON, bukan sebab dia bagi split atau bonus. Selepas berlaku split atau bonus harga saham akan terlaras kembali untuk mengambil kira bonus tersebut, jadi kesan akhirnya lazimnya sama bagi pelabur. Buat keputusan berasaskan harga dan nilai.