24 Jun, 2013

Pengumuman Fed dan Kejatuhan Harga Aset

Rizab Persekutuan AS umum pengurangan rangsangan secara beransur yang menandakan berakhirnya kitaran pengembangan kuantitatif 

Baru-baru ini harga emas telah jatuh dengan ketara, meneruskan trend kemerosotan sejak tahun 2012. Selain itu, harga saham di seluruh dunia juga terjejas. Ini berlaku selepas Rizab Persekutuan AS (Fed) mengumumkan untuk beransur-ansur mengurangkan program pembelian bon, selagi keadaan ekonomi mengizinkan.

Pengumuman ini bermakna Fed akan mula menamatkan Quantitative Easing (QE) yang telah dilaksanakan sejak bermulanya krisis subprima pada tahun 2009. Dasar tersebut dilaksanakan untuk memulihkan ekonomi Amerika.

Kesan positif daripada dasar ini ialah dengan membanjiri ekonomi dengan wang atau kecairan (liquidity), Fed merangsang pelaburan dan menjana pertumbuhan ekonomi AS. Tempias positif daripadanya ialah kenaikan harga aset, termasuklah emas, saham dan hartanah.  Malah kenaikan aset ini bukan sahaja berlaku di Amerika, tetapi juga di negara-negara Asia.

Dasar wang mengembang meningkatkan bekalan wang, dan peningkatan bekalan akan mengurangkan harga dolar. Emas adalah aset kegemaran ramai pelabur untuk melindungi daripada penurunan nilai mata wang. Malah emas juga adalah aset di mana pelabur mendapat perlindungan daripada kegawatan. Sebab itulah emas telah mencatatkan kenaikan ketara untuk temph yang begitu lama sejak alaf baru.

Dengan mengumumkan bahawa ia akan mula mengurangkan pembelian bon secara beransur-ansur,  Fed sudah bercadang untuk 'menormalkan' semula dasarnya, walaupun tindakan tersebut akan dilakukan secara amat berhati-hati untuk mengelakkan daripada menganggu pasaran saham.

Ini juga bermakna bahawa Fed kini semakin yakin terhadap ekonomi Amerika.  Bagi emas, faktor keyakinan terhadap ekonomi, berakhirnya rangsangan ekonomi dan kekuatan dolar AS telah menyebabkan tinjauan masa depan yang kurang baik.

Bagi saham pula, pelabur khuatir tentang kenaikan kadar faedah dan berakhirnya era wang mudah dan murah. Sebenarnya perkara yang dilakukan oleh Fed hanyalah mengembalikan dasar ekonomi kepada normal tetapi bagi pelabur yang sudah biasa dengan dasar wang longgar, pengumuman ini mencetus sedikit kebimbangan.

Bursastation

Pelaburan di Malaysia

Emas telah mengalami kejatuhan harga dan harganya amat bergantung kepada faktor makro yang telah dijelaskan di atas, yang nampak tidak begitu positif. Jim Rogers, pelabur komoditi terkenal  berkata bahawa beliau akan membeli hanya apabila emas jatuh 50% daripada tahap puncaknya.

Sementara itu bagi saham, kenaikan ketara sejak empat tahun lepas terhenti seketika. Pada pendapat saya pasaran akan mengalami kemerosotan dari masa ke masa dalam tempoh satu tahun akan datang, inilah masa bagi mereka yang terlepas peluang masuk ke pasaran sebelum pilihan raya untuk merancang pembelian saham yang kukuh. Faktor lebih positif bagi saham ialah prestasinya bergantung kepada keuntungan syarikat dan tidak semata-mata kepada faktor makro ekonomi.

Hartanah ialah satu sektor yang perlu diberi perhatian teliti. Memandangkan harga emas telah jatuh dan saham pula rata-rata nampak fairly valued terutamanya sejak kejatuhan baru-baru ini, harga hartanah ialah satu-satunya aset yang masih tinggi. Selagi BNM mengekalkan BLR pada paras semasa, mungkin kesannya tidak dirasai tetapi kenaikan nilai selanjutnya sukar dicapai. Risiko paling besar wujud dalam sektor bangunan dan ruang pejabat.

Secara keseluruhan, pelabur perlu bersedia menghadapi kelemahan pasaran  untuk tempoh beberapa bulan sambil  menerima hakikat bahawa era wang mudah sudah berakhir dan tidak boleh mengharapkan lagi bantuan dasar wang mengembang dari Bank Pusat sedunia untuk merangsangkan harga aset, sama ada saham, emas atau hartanah.

16 Jun, 2013

Anda Tak Perlu Kad Kredit Itu!

Cara paling baik untuk hadkan belanja bukan dengan tekad atau disiplin,
tetapi dengan menjelaskan baki & melupuskan kad kredit sama sekali 


Pada beberapa posting lepas saya ada menulis artikel tentang peningkatan tahap hutang isi rumah yang mencapai paras yang membimbangkan.  Posting tersebut boleh dibaca di sini: http://www.laburniaga.blogspot.com/2013/04/khuatir-tentang-hutang-kerajaan-hutang.html.

Salah satu daripada komponen hutang isi rumah ialah hutang kad kredit. Sekarang ini pemilikan kad kredit begitu berleluasa kerana ia mudah didapati. Kad kredit merupakan pendorong utama seseorang membelanjakan wang untuk membeli barangan yang tidak mampu dibeli dengan tunai.

Saya juga mengenali beberapa orang yang mempunyai  masalah hutang yang berat, dan hutang kad kredit merupakan sebahagian besar daripada masalah.  Dengan pelbagai galakan dan dorongan oleh bank dan ganjaran dan diskaun untuk setiap perbelanjaan, sesetengah orang tidak dapat menahan pujukan dan berbelanja lebih daripada apa yang mampu ditanggung.

Kad kredit juga boleh menjejaskan masa depan golongan yang baru sahaja keluar bekerja. Mereka ini baru  menikmati kuasa beli menerusi gaji yang mereka terima dan berpendapat kuasa beli mereka bertambah dengan adanya kad kredit, tanpa memikirkan bahawa segala hutang ini perlu dibayar balik akhirnya. 

Salah satu punca utama masalah ini ialah keinginan untuk hidup pada taraf lebih tinggi daripada kemampuan sebenar.  Pujukan iklan dan jurujual sukar ditepis.  Kebanyakan pembelian sekarang sudah bertukar daripada menabung dan kemudian membeli  kepada beli dulu bayar kemudian. Kalau beli rumah tidak menjadi masalah.  Tetapi beli dulu bayar kemudian sudah menjadi lumrah dan terlalu kerap digunakan dalam urus niaga masa kini.

Sama ada kita sedar atau tidak, adanya kad kredit dalam poket akan menyebabkan kita berbelanja lebih. Bagi sesetengah orang, pendapatan mereka cukup untuk menampung kos perbelanjaan tambahan ini.  Tetapi bagi sesetengah yang lain, mereka sebenarnya tidak mampu dan tidak mungkin dapat membeli jika terpaksa membayar dengan tunai.

Apabila ada kad kredit, perkara pertama yang kita fikirkan ialah jika kita tak boleh bayar bulan ini, kita akan bayar bulan depan.  Kemudian kita bayangkan mata ganjaran yang dikutip dengan berbelanja, menyebabkan kita terus berbelanja dengan rasa selesa bahawa kita mendapat manfaat.

Selain itu, kita tidak perlu membawa banyak tunai ke mana-mana.Tidak dinafikan bahawa satu kelebihan amat penting kad kredit ialah pembayaran tanpa tunai.  Malah, dengan kad kredit kita boleh membeli barangan di dalam talian dengan mudah.

Tetapi semua urus niaga tersebut boleh dilakukan dengan kad debit, termasuklah pembelian menerusi Internet. Malah pembayaran juga sekarang boleh dibuat dengan mudah dan murah menerusi pemindahan bank, walaupun di kalangan bank berbeza menerusi Interbank Giro..

Saya telah berhenti menggunakan kad kredit selama setahun sebagai percubaan dan memang mendapati tiada masalah langsung membeli barang sama ada di kedai atau secara online.  Cuma kita perlu pastikan bahawa ada tunai yang sewajarnya di dalam akaun dan menguruskan tunai kita dengan bijak.

Penggunaan kad debit akan memaksa kita berfikir dua tiga kali sebelum membeli kerana wang dalam akaun akan lesap dengan serta-merta selepas pembelian dibuat. Ketiadaan kad kredit akan mendorong kita menilai dengan teliti. Pembelian yang tidak perlu akan dibatalkan atau ditunda.

Saya suka menulis tentang pelaburan tetapi mesej saya tidak akan dapat dimanfaatkan oleh ramai orang kerana mereka belum lagi terlepas daripada perangkap hutang.  Jika masih berhutang, terutamanya hutang pengguna, bagaimana untuk melabur?

Pulangan yang diterima oleh Bank apabila anda tidak membayar penuh baki kad kredit, iaitu antara (13% hingga 18%) adalah lebih tinggi daripada yang dihasilkan oleh pelabur tersohor dan pengurus dana yang terpaksa bekerja keras untuk memikirkan cara untuk mendapatkan pulangan setimpal untuk pelabur.

Bank tidak perlu melakukan semua itu. Galakkan pemegang kad berbelanja dan mereka dapat untung. Harapkan segelintir tak bayar hutang sepenuhnya mereka dapat lebih untung. Keuntungan ini akan diterima berulang-kali kerana golongan yang tidak membayar penuh hutang kad kredit akan ada sahaja baki belum jelas setiap bulan, malah ada yang berterusan selama bertahun-tahun..

Dari perspektif anda sebagai pengguna, selagi anda mempunyai hutang kad kredit, tak perlulah melabur dalam saham kerana penjimatan yang anda terima apabila membayar balik hutang adalah lebih tinggi daripada pulangan terkompaun tahunan dalam jangka panjang yang dicatatkan oleh sebahagian besar daripada dana unit amanah di Malaysia.

Kad kredit boleh menimbulkan masalah besar kepada penggunannya, sedangkan manfaatnya semuanya sudah disediakan oleh kad debit. Satu kad sebit Visa atau Mastercard pun sudah cukup.

Bagi mereka yang tidak dapat melepaskan diri daripada perangkap kad kredit, saya ingin tanya soalan berikut. Buat apa kita hidup seperti orang  mewah atau senang sedangkan hakikatnya berbeza? Bagi saya jauh lebih 'cool' untuk nampak sederhana tetapi hidup bebas daripada hutang pengguna.


Nota:  Posting kali ini ditulis atas 'arahan' isteri saya, yang bertanya kenapa tak tulis tentang hutang kerana inilah masalah yang dihadapi oleh ramai orang. Betul juga. Berapa ramai orang yang mampu melabur dalam saham sedangkan jauh lebih ramai yang bergelumang dalam masalah hutang.

06 Jun, 2013

P.I.E. Industrial Kukuh Tapi Harga Saham Berpatutan

Syarikat pengilang kontrak elektronik yang dimiliki oleh Foxconn

Selepas kenaikan indeks secara menyeluruh baru-baru ini, usaha mencari saham yang masih berpatutan kini tidak begitu mudah terutamanya kerana harga banyak saham telah naik.  Walau apa pun, masih terdapat syarikat kukuh yang diperdagangkan pada harga berpatutan.

Salah satu daripadanya ialah P.I.E Industrial. Syarikat ini memulakan operasi sebagai sebuah pengeluar kabel dan wayar untuk peralatan elektronik dan telah mengembangkan operasinya menjadi sebuah pengeluar kontrak bagi komponen komputer dan PCB

P.I.E. sebenarnya merupakan anak syarikat Hon Hai Precision Industry yang diperdagangkan di bawah nama Foxconn, salah satu daripada penyedia perkhidmatan pengilangan kontrak terbesar di dunia.

Syarikat ini menarik bagi saya kerana diperdagangkan pada nisbah P/E di bawah 10, mempunyai NTA yang meningkat tahun demi tahun, memberikan pulangan dividen konsisten yang agak memuaskan.dan tidak mempunyai hutang jangka panjang.

Berikut adalah prestasi syarikat untuk tempoh 5 tahun lepas:

Laman Web P.I.E Industrial

Pada tahun 2013, mungkin pendapatan sesahamnya mendatar sahaja dan dividen mungkin tidak lebih tinggi daripada tahun 2012. Tetapi dalam jangka panjang, melihatkan pertumbuhan syarikat dalam tempoh 10 tahun yang lepas serta prestasi syarikat induknya, P.I.E. dilihat amat berpotensi.

Untuk maklumat lengkap mengenai P.I.E, muat turun laporan tahunan syarikat:
http://www.bursamalaysia.com/market/listed-companies/company-announcements/1270525

Berikut adalah pergerakan harga saham syarikat dalam tempoh 10 tahun lepas:

Bursastation

Syarikat ini juga mempunyai tahap tunai yang tinggi dengan hampir tiada hutang jangka panjang.  Saham  mungkin naik dalam jangka pendek jika pelabur lain sedar tentang nilainya, tetapi untuk mengharapkan kenaikan yang berpacukan pertumbuhan keuntungan mungkin memerlukan masa lebih lama.

Trend semasa dalam sektor elektronik ialah ke arah pembelian komponen atau membuat seluruh produk menerusi persumberan luar atau outsourcing. Pemilik jenama lazimnya melakukan penyelidikan dan reka bentuk dan juga membina jenama produk sahaja.  Pengeluarannya dikontrak kepada syarikat seperti P.I.E. Industrial. Trend ini dijangka berterusan pada masa depan.

Syarikat ini nampak kukuh secara keseluruhan dan mempunyai pengurusan dan syarikat induk kukuh yang merupakan peserta global utama dalam bidangnya..

Nota:  Posting ini bukan cadangan membeli saham. Sebaliknya ia merupakan cadangan untuk menilai saham-saham tertentu. Pembaca perlu membuat penilaian terperinci sendiri sebelum sebarang saham atau unit amanah.