27 Mac, 2012

Meninjau Kekuatan APM Automotive

Syarikat kukuh dengan harga saham yang berpatutan

APM Automotive, yang dimiliki sebahagian besarnya oleh Tan Chong, ialah pengeluar komponen kenderaan terkemuka yang mengilang pelbagai  produk termasuk sistem suspensi, alat penyaman udara, sistem elektrikal, kerusi dan juga komponen plastik.

Syarikat ini adalah jenama yang terkenal dalam industri kereta dan merupakan pembekal kepada kebanyakan syarikat pengeluar kereta utama. APM Automotive juga sedang mengembangkan operasinya di rantau ASEAN.

Syarikat ini diikuti oleh institusi dana besar dan lazimnya saya kurang memberi tumpuan kepada saham seperti ini melainkan apabila ekonomi gawat dan harganya rendah. Namun begitu, APM Automotive menarik perhatian saya kerana harganya telah jatuh sejak setahun lepas ke tahap yang saya rasa undervalued.

Berikut adalah carta APM Automotive:

Dipetik daripada Bursastation

 Kita dapat lihat bahawa APM Automotive telah mencatatkan peningkatan ketara antara 2009 hingga akhir 2010. Pada 2011 harganya menurun sedikit dan kini berada pada paras RM4.62.

Berikut adalah keputusan lima tahun APM Automotive sehingga tahun 2010.


Manakala di bawah adalah keputusan terbarunya:

Dipetik daripada Bursa Malaysia

Sahamnya turun sedikit sejak setahun lepas mungkin kerana EPS pada 2011 adalah lebih rendah daripada 2010.  Di samping itu, langkah BNM mengetatkan syarat kredit dijangka mempengaruhi jualan kereta pada 2012.

Walaupun begitu, jika paras keuntungan jatuh sedikit tahun ini, katakan kepada 50 sen sesaham, syarikat masih diperdagangkan pada P/E di bawah 10 dan earnings yield lebih 10% (terbalikkan P/E).

Syarikat juga dilihat mampu meningkatkan NTA dan juga dividen yang dibayar setiap tahun.  Bagi pelabur jangka panjang, walaupun jika senario jualan kereta lebih rendah berlaku tahun ini, potensi untuk pertumbuhan terbuka luas pada tahun-tahun akan datang.

Masa depan syarikat ini nampak cerah memandangkan ia menjadi peserta yang semakin penting di pasaran serantau ASEAN.  Pada pandangan saya saham ini sesuai untuk mereka yang sanggup menunggu.

Dalam dua atau tiga tahun akan datang apabila industri kereta kembali meledak, APM Automotive dijangka dapat menikmati manfaatnya.

20 Mac, 2012

Patuh Syariah Langkah Demi Langkah

Penting untuk audit kewangan sendiri dan ubah secara beransur-ansur

Dengan kemajuan dalam bidang perbankan, kewangan dan pelaburan Islam,  rakyat Malaysia yang beragama Islam kini boleh melaksanakna urus niaga kewangan dan pelaburan masing-masing tanpa riba.

Umat Islam patut berusaha membuat perubahan secara beransur-ansur dengan cara yang tidak membebankan kerana sekarang ini tiada lagi alasan untuk tidak berbuat demikian..

Anda boleh memulakan proses ini dengan mengaudit segala urusan dan juga urus niaga kewangan untuk melihat sama ada setiap satunya patuh syariah, dan bertekad untuk berubah langkah demi langkah, bermula dengan yang paling praktikal terlebih dahulu dan kemudian menukar yang sukar dilakukan secara beransur-ansur.

Kad Kredit

Bagi saya ini adalah pertukaran paling penting.  Mungin anda masih ada hutang dua tiga kad kredit yang belum dijelaskan, jadi langsaikan dulu perlahan-lahan sebelum menggunting kad.

Saya rasa kita patut tukar walaupun jika anda seperti saya, iaitu akan membayar tepat pada masanya setiap bulan tanpa dikenakan caj faedah.

Terdapat tiga alternatif kepada kad kredit
  1. Kad Debit
  2. Kad Caj Patuh Syariah
  3. Kad Kredit Patuh Syariah
Secara peribadi, kad debit ialah paling baik bukan sahaja dari segi kepatuhan syariah tetapi dari segi kawalan perbelanjaan.. Tahap penerimaan kad debit sudah amat berleluasa sekarang dan juga boleh digunakan untuk urusan jual beli menerusi Internet.  Ini hanya membenarkan anda membeli apa yang anda mampu sahaja.

Pilihan kedua ialah kad caj patuh syariah.  Kad caj tidak memberikan sebarang kemudahan kredit, iaitu pengguna perlu membayar sejurus selepas menerima bil. Namun begitu, kad caj patuh syariah hanya ditawarkan oleh segelintir bank.

Cara ketiga ialah mendapatkan kad kredit 'patuh syariah', tetapi bagi saya cara ini kurang baik, satu kerana masih menggunakan faktor kredit dan kedua dan paling penting, kontrak yang digunakan kurang meyakinkan (Al-Inah).

Pinjaman Peribadi dan Perumahan

Ini adalah  yang kedua paling 'urgent' tetapi sukar untuk diubah kerana jumlah besar yang terbabit dan juga faktor denda bayaran awal dan juga kos mendapat pembiayaan baru.  Terapat dua cara melakukannya, iaitu

1. Membiaya semula dengan pembiayaan Islam
2. Cuba mempercepatkan bayaran balik hutang.

Mungkin kedua-duanya bukan mudah tetapi sekurang-kurangnya kita mencuba sedaya-upaya untuk menamatkannya secepat mungkin..

Akaun Bank

Ini adalah perubahan yang paling mudah untuk dibuat.  Jika anda menggunakan akaun semasa yang tidak membayar faedah, tiada masalah. Sebaliknya jika mempunyai simpanan atau simpanan tetap, anda hanya perlu membuka akaun wadiah atau akaun pelaburan am di sebuah institusi perbankan Islam.

Pelaburan Saham dan Unit Amanah

Dua puluh tahun lepas memang sukar untuk melabur berlandaskan prinsip Islam, tetapi sekarang ini terdapat senarai syarikat yang patuh syariah, indeks patuh syariah dan unit amanah patuh syariah dan pilihannya semakin hari semakin bertambah.

Dalam hal pelaburan, saya rasa pelabur tidak mempunyai alasan untuk melakukannya secara beransur-ansur kerana pelaburan berasaskan prinsip Islam boleh dan patut dilakukan dengan serta-merta.

Perlindungan Insurans

Perubahan daripada Insurans kepada Takaful juga merupakan satu perkara yang sukar, terutamanya bagi polisi seperti polisi endowmen, yang mana manfaat terbesar diperolehi jika disimpan sehingga matang.

Namun begitu sekarang ini banyak syarikat insurans yang turut menawarkan takaful. Tanya ejen atau perunding syarikat cara paling menjimatkan kos untuk membuat perubahan. Mereka mungkin dapat membantu anda.

Apabila saya sendiri membuat pertukaran, saya terpaksa menerima sedikit kerugian kerana kos polisi takaful baru lebih mahal sedangkan menyerahkan polisi lebih awal bermakna bonus tertentu tidak diperolehi.

Secara peribadi, selepas membuat sedikit bacaan dalam bidang ini, terdapat perbezaan pendapat sama ada insurans itu sendiri tidak patuh syariah. Pendapat peribadi saya ialah insurans itu bukan isu utama, tetapi pelaburan syarikat insurans adalah tidak patuh syariah dan membabitkan unsur riba.  Itu yang menjadi masalah utama.

Kesahihan Produk Perbankan Islam

Ada sesetengah pihak yang mempertikaikan produk perbankan Islam dengan mendakwa untung sama seperti faedah dan tiada beza antara kedua-duanya. Sebenarnya kontraknya amat berbeza walaupun kesan akhirnya nampak sama. Namun begitu, ada beberapa kontrak yang pada pendapat saya agak meragukan.

Tidak dinafikan bahawa memang sukar bagi kebanyakan orang untuk memahami satu persatu hujah-hujah dan ciri-ciri tentang satu kontrak perbankan Islam.  Secara peribadi, untuk menentukan sama ada saya selesa dengan sesuatu produk, saya bertanyakan soalan berikut

Adakah urus niaga ini membabitkan aset sebenar?

Jawapan kepada soalan ini akan menentukan sama ada saya sanggup mengambil produk tersebut.  Saya cuba mengelakkan semua urus niaga berasaskan kontrak Al-Inah.  Jika anda membuat pembiayaan rumah atau kereta, ada aset sebenar yang diurus niagakan.

Kewujudan aset sebenar berbanding aset tanggapan (notional aset), seperti dalam pembiayaan peribadi, menunjukkan urusan jual beli atau sewa sebenar telah berlaku dan pada pendapat saya lebih hampir kepada kehendak Syariah.

Perlu diingat bahawa perkara ini adalah pandangan peribadi sahaja dan saya rasa pengguna boleh bergantung kepada pandangan yang dibuat oleh ahli majlis syariah bank masing-masing kerana mereka juga mempunyai pandangan dan alasan tersendiri mengapa urus niaga tertentu dibolehkan.

Walau apa pun, kita perlu berusaha dan mengambil langkah sewajarnya untuk melaksanakan urus niaga kewangan dan pelaburan berlandaskan prinsip Syariah kerana tiada lagi alasan untuk tidak berbuat demikian.

Nota Tambahan

Kesan akhir sama maksudnya manfaat yang diperolehi sama, tetapi tanpa compound interest jika pinjaman tidak berbayar. Sebagai contoh, pinjaman berasaskan faedah ada manfaatnya dan kelemahannya. Manfaatnya ialah apabila saya membeli rumah menggunakan pembiayaan, saya dapat tinggal dalam rumah tersebut tanpa perlu membayar sewa. Jika rumah tersebut adalah untuk saya boleh menyewakan rumah tersebut. Dalam jangka panjang jika harga rumah naik, saya meraih untung.

Tetapi kelemahannya ialah jika pinjaman tidak berbayar, faedah akan berganda-ganda dan inilah yang menimbulkan beban.

Maksud kesan akhirnya sama ialah manfaat yang diperolehi adalah sama, iaitu memberikan bank sedikit untung, dan membolehkan pelanggan membeli aset yang mereka kehendaki, supaya mereka boleh mendapat manfaat daripadanya. Itulah kesan akhir yang saya maksudkan, tanpa membabitkan riba. Sebaliknya menggunakan kaedah jual beli atau sewa.

Tetapi tidak dinafikan bahawa dalam setiap kontrak seperti BBA, masih ada kelemahan.Bagaimanapun  kontrak yang ditawarkan sekarang jauh lebih baik daripada 10 tahun lepas dari segi manfaat kepada pengguna dan juga kepatuhan, dan saya jangka dalam tempoh 10 tahun lagi, perkembangnan lanjut akan dicapai membolehkan kita bergerak lebih hampir kepada equity based financing.

Seperti yang saya katakan, perubahan perlu dibuat secara beransur-ansur kerana 30 tahun lepas, seluruh ekonomi dunia berputar berasaskan riba.  Sekarang ini ada alternatif, dan kewangan Islam dijangka semakin kukuh dan bergerak lebih hampir kepada konsep tulen pada masa depan.

12 Mac, 2012

White Horse Beri Pulangan Dividen Mantap

EPS seluruh 2011 merosot sedikit tetapi prestasi Suku 4 lebih baik


White Horse ialah sebuah syarikat pengeluar jubin yang pernah saya sentuh sebelum ini.  Prestasi syarikat agak kukuh dalam tempoh 10 tahun lepas dan berjaya mencatatkan keuntungan tahun demi tahun walaupun dalam kegawatan ekonomi.

Operasi syarikat tidak sukar difahami kerana mempunyai hanya satu rangkaian perniagaan utama.  Perkara menarik tentang White Horse ialah dari segi semua ukuran penting, iaitu hasil, keuntungan, aset bersih, aliran tunai dan juga dividen syarikat kelihatan kukuh.

Berikut adalah 'snapshot' prestasi White Horse antara 2006 - 2010



Dipetik daripada laporan tahunan White Horse

Pada tahun 2011, syarikat ini mencatatkan EPS berjumlah 25 sen, lebih rendah daripada 2009 dan 2010 tetapi EPS pada suku keempat ialah 8 sen, lebih tinggi daripada tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Pada EPS 25 sen, syarikat mempunyai nisbah harga pendapatan P/E ratio hanya 6.8, iaitu bersamaan dengan earnings yield (terbalikkan nisbah P/E) sebanyak 15% berasaskan harga purata semasa kira-kira RM1.70.

Dividen yang diumumkan untuk seluruh tahun ialah 10 sen (5 sen interim telah dibayar dan 5 sen akhir akan dibayar).  Ini menghasilkan pulangan dividen sebanyak 6 peratus, iaitu pulangan yang agak tinggi pada harga semasa.

Dari segi aset pula, syarikat diperdagangkan jauh di bawah nilai aset ketara bersih (NTA) sebanyak RM2.84.  Pada harga RM1.70, nisbah harga kepada nilai buku (price to book value) hanya 0.6.

Berikut adalah pergerakan harga saham dalam tempoh 5 tahun lepas:

Dipetik daripada Bursastation

Tidak menghairankan jika harganya jatuh sedikit kerana keuntungan merosot sedikit pada tahun ini. Malah terdapat kemungkinan keuntungan pada 2012 juga mendatar atau menurun sedikit lagi jika pasaran hartanah menghadapi masalah.

Namun begitu memandangkan syarikat sudah mengembangkan operasi ke luar negara dan jenama yang dimiliki serta pengurusan yang kelihatan mantap, White Horse dijangka berkembang maju dalam jangka panjang.

Bagi saya paling menarik tentang saham ini ialah pulangan dividen 6 peratus yang diberikan.  Justeru pelabur yang melabur dalam saham ini boleh bergantung kepada dividen buat masa ini, dan mengharapkan prestasi yang meningkat dalam tempoh 2 - 3 tahun akan datang.

Perhatian bahawa analisis ini adalah untuk pelabur jangka panjang yang melabur dalam saham seolah-olah beliau melabur dalam perniagaan syarikat dan sanggup menunggu untuk meraih pulangan yang dikehendaki.

05 Mac, 2012

Soalan Mengenai Takaful dan Pelaburan

Saya ingin menjawab beberapa soalan seorang pembaca tentang Takaful dan pelaburan. Untuk makluman, terdapat dua jenis kombinasi antara takaful dan pelaburan iaitu:
  1. Dana unit amanah yang menawarkan perlindungan Takaful 
  2. Takaful yang menawarkan ciri pelaburan.
Berikut adalah soalan yang dikemukakan:

1.  Adakah pelabur perlu kekalkan sejumlah wang/unit dalam dana bagi:
  • mengekalkan kelangsungan pelaburannya dalam sesebuah dana?
  • melayakkannya mendapat faedah perlindungan Takaful yang ditawarkan oleh pengurus dana?

Untuk memastikan kelangsungan pelaburan, pelabur perlu mengekalkan jumlah unit tertentu dalam akaun. Bilangan unit minimum ini bergantung kepada syarikat pengurus dana. Ada yang menetapkan 250 unit, ada pula 500 unit. Baca prospektus dana atau tanya ejen unit amanah anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Bahagian kedua soalan adalah berkaitan dana unit amanah yang menawarkan perlindungan Takaful (dan bukannya takaful berkaitan pelaburan).  Nilai minimum untuk mendapatkan perlindungan takaful bergantung kepada syarikat pengurus dana.

Sebagai contoh, Public Ittikal menawarkan Takaful nyawa, kehilangan upaya dan juga kemalangan peribadi.  Jumlah unit minimum yang melayakkan pelabur menerima perlindungan ialah 5,000. Jika jumlah unit jatuh di bawah paras itu, maka takaful dibatalkan.  Setiap unit memberikan perlindungan bersamaan RM1.00. Perlindungan maksimum sehingga RM100,000 diberikan.

Bagi dana lain yang menawarkan Takaful, sila baca prospektus untuk menentukan kelayakan minimum yang ditetapkan untuk mendapatkan perlindungan .


2.  Dalam konteks pelaburan melalui produk Takaful berkaitan pelaburan (investment linked takaful), siapakah pengurus dana? Sebagai contoh bagi Prudential BSN Takaful, adakah Prudential BSN Takaful Berhad atau Eastpring Investment Berhad (dulunya Prudential Fund Management)?
 .
Syarikat takaful tidak melaburkan wang tersebut sendiri, sebaliknya menyerahkan kepada pengurus dana. Dalam kes ini, pengurus dana ialah Easstpring Investment Berhad.  Syarikat lain juga berbuat demikian, ada dengan syarikat dalam kumpulan sendiri, ada dengan firma luar, terutamanya jika syarikat Takaful tersebut tidak terlibat dalam bidang pengurusan dana.


3.  Kenapa dana yang disediakan oleh produk takaful berkaitan pelaburan tidak tersenarai dalam senarai dana patuh syariah SC?

Saya tidak 100 peratus pasti, tetapi setahu saya senarai tersebut adalah senarai dana unit amanah, sedangkan dana takaful berkaitan pelaburan tidak boleh dimasukkan dalam kategori sama kerana tidak  dijual beli kepada orang ramai melainkan mereka membeli produk takaful. Lazimnya setiap syarikat mempunyai Penasihat Syariah sendiri, maka tanggungjawab terletak di tangan mereka untuk memastikan dana ini patuh syariah..


4. Apakah pandangan tentang prestasi dana yang diuruskan oleh Eastprings Investments Berhad?

Rasanya penilaian dan pertimbangan adalah subjektif.  Tetapi cara untuk membuat penilaian ialah mengambil tempoh tertentu, katakan 1, 3 atau 5 tahun dan:
  • Bandingkan prestasi dengan dana-dana lain dalam kategori yang sama
  • Bandingkan prestasi dengan dividen Tabung Haji
  • Bandingkan prestasi dengan penanda aras dana
 Ini akan memberikan  gambaran menyeluruh tentang prestasi dana dan sama ada anda patut melabur di dalamnya.