Fokus kepada asas, termasuk hasil, untung, aset, tunai dan pengurusan
Bagi mereka yang baru belajar melabur atau telah lama melabur, sudah tentu anda akan menemui pelbagai kaedah pelaburan, termasuklah pelbagai jenis cara untuk membaca dan mentelaah carta dan meramalkan pergerakan saham dalam jangka pendek.
Jika kita kembali kepada asas, saham ialah hak pemilikan ke atas sesuatu syarikat. Manakala pasaran saham ialah tempat di mana saham tersebut boleh dijual beli.
Wujudnya pasaran saham telah membolehkan pelabur melakukan pelbagai perkara yang agak menyimpang daripada tujuan asal memiliki saham. Malah, dalam keadaan semasa, ramai orang membuat keputusan membeli atau menjual saham yang tidak ada kena-mengena dan tiada kaitan dengan perniagaan syarikat.
Adakah ini yang dinamakan pelaburan? Kalau kita benar-benar jujur, adakah kaedah seperti ini yang digalakkan oleh Islam? Tak perlulah membicara soal halal atau haram kerana itu domain pakar agama tetapi lihat sahaja tujuan kita melabur dalam saham.
Sebenarnya jika tiada pasaran saham, maka lebih sukar bagi kita untuk menjual beli saham syarikat. Dalam keadaan tersebut, kita mungkin terpaksa memegang saham untuk jangka panjang. Maka keputusan pelaburan akan dibuat semata-mata berasaskan sama ada syarikat itu kukuh atau tidak.
Tetapi dengan wujudnya pasaran saham, keputusan yang dibuat ramai pelabur menyimpang jauh daripada matlamat asal, iaitu untuk melabur dalam perniagaan.
Pasaran saham adalah sesuatu yang pada amnya positif kerana memudahkan pelabur menjual beli. Tetapi pasaran saham juga menggalakkan tingkah laku yang menyimpang dari matlamat asal dan sesetengah instrumen yang ditawarkan adalah instrumen 100% berasaskan spekulasi, tanpa mempunyai sebarang nilai ekonomi, seperti call warrant.
Walau apa pun, bagi mereka yang sedar bahawa saham adalah pelaburan dalam sesebuah perniagaan, mereka harus fokus kepada hasil, untung, aliran tunai, aset, pengurusan, tahap hutang dan ekonomi. Semua ini mempunyai pengaruh terhadap prestasi syarikat.
Pada pendapat saya, kaedah pelaburan berasaskan fundamentals yang dipelopori oleh Benjamin Graham, Warren Buffet,, Peter Lynch, Philip Fisher, Ken Fisher dan juga tokoh lain seperti John Bogle adalah terbaik dan selari dengan matlamat pelaburan dalam Islam. Cuma pelabur Islam perlu memilih syarikat yang patuh Syariah.
Kita perlu bersabar apabila melabur. Ramai orang mahu mendapatkan keputusan pantas. Jika kita melabur dengan matlamat mendapatkan pulangan munasabah dalam jangka panjang, kemungkinan besar kita boleh mencapai matlamat tersebut.
Sebaliknya jika kita cuba 'force the issue' dan mahu meraih pulangan yang tinggi dalam masa yang singkat, kita mungkin menghadapi risiko besar. Kita boleh berjaya untuk satu dua tahun tetapi tahun-tahun lain kita mungkin menghadapi kerugian besar.
Melaburlah dalam saham kerana anda rasa perniagaan tersebut adalah
baik dan boleh meraih untung berpatutan, bukan kerana corak 'head and
shoulder' 'cup and saucer' atau apa jua corak dalam carta yang
dikatakan menjadi menjadi petanda kenaikan. Pada pendapat saya tujuan
asasnya tidak berapa betul.
Tak perlu tanya Ustaz tersohor atau pakar kewangan Islam tentang halal atau haram kaedah dan instrumen pelaburan yang anda laburkan. Saya tahu banyak perdebatan halal haram di dalam forum tentang pelbagai jenis pelaburan, sama ada saham atau pelaburan lain.
Perkara paling asas ialah tanya diri sendiri mengapa anda melabur (niat)? Kedua adakah instrumen yang anda laburkan mencipta nilai, iaitu adakah anda meraih keuntungan daripada penciptaan nilai atau semata-mata daripada tangan orang lain yang mengalami kerugian?
Jawapan yang jujur kepada persoalan ini menunjukkan sama ada anda berada di landasan yang betul.
2 ulasan:
Salam,
Bagaimana pandangan saudara tentang instrumen CFD dan option?
Terima kasih.
Bagi saya CFD adalah derivatif yang tiada nilai ekonomi sebenar. Manakala opsyen saham juga tiada nilai ekonomi. Sebaliknya opsyen terhadap aset sebenar, iaitu membabitkan urusan perniagaan sebenar ada nilai ekonomi dan berfaedah. Opsyen seperti ini tidak boleh dijual beli, sebaliknya kita boleh laksanakan atau tidak pada tarikh laksana. Tetapi ini hanya pendapat peribadi sahaja, ada ramai yang mempunyai pendapat berbeza.
Catat Ulasan