Dalam tempoh dua minggu lepas, pasaran saham agak tergugat terutamanya disebabkan perkembangan luar negara yang negatif akibat krisis Zon Euro yang masih belum reda walaupun sudah begitu lama berlarutan.
Berikut ialah carta pergerakan indeks FBM KLCI untuk tempoh 5 tahun lepas:
Dipetik daripada Bursastation
Dari perspektif jangka masa yang lebih panjang, kejatuhan masih kecil tetapi ada beberapa risiko besar yang dihadapi oleh ekonomi global buat masa ini.
Kemelut Greece dan Zon Euro
Rakyat Greece baru-baru ini menolak parti-parti yang membuat perjanjian dengan pemimpin kesatuan kewangan Euro untuk melaksanakan pelan 'austerity' atau penghematan. Ini bermakna pakej bantuan 'bailout' mungkin dipertimbangkan semula dan terdapat risiko Greece keluar daripada kesatuan mata wang tersebut.
Ini akan menimbulkan kesan besar kerana negara tersebut pasti tidak dapat menjelaskan hutangnya. Perkembangan ini boleh menimbulkan tekanan yang amat negatif terhadap pasaran kewangan dan ekuiti.
Di samping itu, Sepanyol juga menghadapi masalah kewangan serius dan memerlukan lebih banyak bantuan. Semua perkembangan ini telah menggugat pasaran.
Walaupun senario tahun lepas adalah agak sama, seperti yang dilihat pada kejatuhan pasaran dalam bulan September 2011, kali ini 'endgame' sebenar dijangka berlaku kerana kesannya tidak boleh lagi dilengahkan ke masa depan.
Penyederhanaan China
Perkembangan di China juga sedikit membimbangkan, walaupun gergasi Asia tersebut tetap akan mencapai pertumbuhan, cuma tidak seperti biasa, mungkin hanya pada sekitar 7 - 8%. Namun begitu terdapat beberapa industri yang mungkin terjejas seperti hartanah dan perkapalan.
Potensi Masalah Defisit Amerika Timbul Kembali
Pada Januari tahun ini, ada beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan oleh para pemimpin Amerika berkenaan defisit mereka. Potongan perbelanjaan automatik akan dibuat jika tiada resolusi dicapai. Ini meimbulkan sedikit ketidakpastian lebih-lebih lagi kerana pilihan raya Presiden akan diadakan pada hujung tahun ini.
Sudut Positif
Dari sudut positif, permintaan tempatan Malaysia masih kukuh dan memacu ekonomi negara. Tetapi jika keadaan luar menjadi bertambah buruk, memang sukar untuk bertahan. Walau apa pun, dari segi ekonomi Malaysia mungkin dapat terus berkembang. Cuma yang tidak pasti ialah bagaimana kesan terhadap pasaran saham.
Satu risiko dalaman bagi Malaysia ialah pasaran hartanah yang nampak luar biasa sekarang di mana perbezaan antara harga hartanah dan juga hasil pulangan sewa terlalu tinggi. Ramai orang kini membeli unutk spekulasi. Sejauh mana pasaran ini dapat bertahan jika keadaan luar merosot menjadi tanda tanya.
Kesimpulan
Buat masa ini, adalah amat sukar untuk meramalkan keadaan pasaran. Adalah lebih baik jika pelabur menilai saham khusus dan melihat sama ada syarikat tersebut mampu cemerlang dalam situasi semasa, dalam jangka pertengahan dan juga jangka panjang, dengan mengambil kira worst case scenario untuk tempoh enam bulan akan datang.
Walau apa pun, pelabur perlu amat berhati-hati dalam keadaan semasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan