29 Mei, 2012

Melabur Berasaskan Kekuatan Perniagaan

Fokus kepada asas, termasuk hasil, untung, aset, tunai dan pengurusan

Bagi mereka yang baru belajar melabur atau telah lama melabur, sudah tentu anda akan menemui pelbagai kaedah pelaburan, termasuklah pelbagai jenis cara untuk membaca dan mentelaah carta dan meramalkan pergerakan saham dalam jangka pendek.

 Jika kita kembali kepada asas, saham ialah hak pemilikan ke atas sesuatu syarikat.  Manakala pasaran saham ialah tempat di mana saham tersebut boleh dijual beli.

Wujudnya pasaran saham telah membolehkan pelabur melakukan pelbagai perkara yang agak menyimpang daripada tujuan asal memiliki saham.  Malah, dalam keadaan semasa, ramai orang membuat keputusan membeli atau menjual saham yang tidak ada kena-mengena dan tiada kaitan dengan perniagaan syarikat.

Adakah ini yang dinamakan pelaburan? Kalau kita benar-benar jujur, adakah kaedah seperti ini yang digalakkan oleh Islam?  Tak perlulah membicara soal halal atau haram kerana itu domain pakar agama tetapi lihat sahaja tujuan kita melabur dalam saham.

Sebenarnya jika tiada pasaran saham, maka lebih sukar bagi kita untuk menjual beli saham syarikat.  Dalam keadaan tersebut, kita mungkin terpaksa memegang saham untuk jangka panjang. Maka keputusan pelaburan akan dibuat semata-mata berasaskan sama ada  syarikat itu kukuh atau tidak.

Tetapi dengan wujudnya pasaran saham, keputusan yang dibuat ramai pelabur menyimpang jauh daripada matlamat asal, iaitu untuk melabur dalam perniagaan.

Pasaran saham adalah sesuatu yang pada amnya positif kerana memudahkan pelabur menjual beli.  Tetapi pasaran saham juga menggalakkan tingkah laku yang menyimpang dari matlamat asal dan sesetengah instrumen yang ditawarkan adalah instrumen 100% berasaskan spekulasi, tanpa mempunyai sebarang nilai ekonomi, seperti call warrant.

Walau apa pun, bagi mereka yang sedar bahawa saham adalah pelaburan dalam sesebuah perniagaan, mereka harus fokus kepada hasil, untung, aliran tunai, aset, pengurusan, tahap hutang dan ekonomi.  Semua ini mempunyai pengaruh terhadap prestasi syarikat.

Pada pendapat saya, kaedah pelaburan berasaskan fundamentals yang dipelopori oleh Benjamin Graham, Warren Buffet,, Peter Lynch, Philip Fisher, Ken Fisher dan juga tokoh lain seperti John Bogle adalah terbaik dan selari dengan matlamat pelaburan dalam Islam.  Cuma pelabur Islam perlu memilih syarikat yang patuh Syariah.

Kita perlu bersabar apabila melabur.  Ramai orang mahu mendapatkan keputusan pantas.  Jika kita melabur dengan matlamat mendapatkan pulangan munasabah dalam jangka panjang, kemungkinan besar kita boleh mencapai matlamat tersebut.

Sebaliknya jika kita cuba 'force the issue' dan mahu meraih pulangan yang tinggi dalam masa yang singkat, kita mungkin menghadapi risiko besar.  Kita boleh berjaya untuk satu dua tahun tetapi tahun-tahun lain kita mungkin menghadapi kerugian besar.

Melaburlah dalam saham kerana anda rasa  perniagaan tersebut adalah baik dan boleh meraih untung berpatutan, bukan kerana corak 'head and shoulder' 'cup and saucer' atau  apa jua corak dalam carta yang dikatakan menjadi menjadi petanda kenaikan.  Pada pendapat saya tujuan asasnya tidak berapa betul.

Tak perlu tanya Ustaz tersohor atau pakar kewangan Islam tentang halal atau haram kaedah dan instrumen pelaburan yang anda laburkan. Saya tahu banyak perdebatan halal haram di dalam forum tentang pelbagai jenis pelaburan, sama ada saham atau pelaburan lain.

Perkara paling asas ialah tanya diri sendiri mengapa anda melabur (niat)? Kedua adakah instrumen yang anda laburkan mencipta nilai, iaitu adakah anda meraih keuntungan daripada penciptaan nilai atau semata-mata daripada tangan orang lain yang mengalami kerugian?

Jawapan yang jujur kepada persoalan ini menunjukkan sama ada anda berada di landasan yang betul.

20 Mei, 2012

Beli Saham Sekarang? Tunggu dan Lihat...

Pasaran sudah jatuh sedikit tetapi risiko semasa agak tinggi

Dalam tempoh dua minggu lepas, pasaran saham agak tergugat terutamanya disebabkan perkembangan luar negara yang negatif akibat krisis Zon Euro yang masih belum reda walaupun sudah begitu lama berlarutan.

Berikut ialah carta pergerakan indeks FBM KLCI untuk tempoh 5 tahun lepas:


Dipetik daripada Bursastation

Dari perspektif jangka masa yang lebih panjang, kejatuhan masih kecil tetapi ada beberapa risiko besar yang dihadapi oleh ekonomi global buat masa ini.

Kemelut Greece dan Zon Euro

Rakyat Greece baru-baru ini menolak parti-parti yang membuat perjanjian dengan pemimpin kesatuan kewangan Euro untuk melaksanakan pelan 'austerity' atau penghematan.  Ini bermakna pakej bantuan 'bailout' mungkin dipertimbangkan semula dan terdapat risiko Greece keluar daripada kesatuan mata wang tersebut.

Ini akan menimbulkan kesan besar kerana negara tersebut pasti tidak dapat menjelaskan hutangnya.  Perkembangan ini boleh menimbulkan tekanan yang amat negatif terhadap pasaran kewangan dan ekuiti.

Di samping itu, Sepanyol juga menghadapi masalah kewangan serius dan memerlukan lebih banyak bantuan. Semua perkembangan ini telah menggugat pasaran.

Walaupun senario tahun lepas adalah agak sama, seperti yang dilihat pada kejatuhan pasaran dalam bulan September 2011, kali ini 'endgame' sebenar dijangka berlaku kerana kesannya tidak boleh lagi dilengahkan ke masa depan.

Penyederhanaan China

Perkembangan di China juga sedikit membimbangkan, walaupun gergasi Asia tersebut tetap akan mencapai pertumbuhan, cuma tidak seperti biasa, mungkin hanya pada sekitar 7 - 8%.  Namun begitu terdapat beberapa industri yang mungkin terjejas seperti hartanah dan perkapalan.

Potensi Masalah Defisit Amerika Timbul Kembali

Pada Januari tahun ini, ada beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan oleh para pemimpin Amerika berkenaan defisit mereka. Potongan perbelanjaan automatik akan dibuat jika tiada resolusi dicapai.  Ini meimbulkan sedikit ketidakpastian lebih-lebih lagi kerana pilihan raya Presiden akan diadakan pada hujung tahun ini.

Sudut Positif

Dari sudut positif, permintaan tempatan Malaysia masih kukuh dan memacu ekonomi negara. Tetapi jika keadaan luar menjadi bertambah buruk, memang sukar untuk bertahan.  Walau apa pun, dari segi ekonomi Malaysia mungkin dapat terus berkembang. Cuma yang tidak pasti ialah bagaimana kesan terhadap pasaran saham.

Satu risiko dalaman bagi Malaysia ialah pasaran hartanah yang nampak luar biasa sekarang di mana perbezaan antara harga hartanah dan juga hasil pulangan sewa terlalu tinggi.  Ramai orang kini membeli unutk spekulasi. Sejauh mana pasaran ini dapat bertahan jika keadaan luar merosot menjadi tanda tanya.

Kesimpulan

Buat masa ini, adalah amat sukar untuk meramalkan keadaan pasaran.  Adalah lebih baik jika pelabur menilai saham khusus dan melihat sama ada syarikat tersebut mampu cemerlang dalam situasi semasa, dalam jangka pertengahan dan juga jangka panjang, dengan mengambil kira worst case scenario untuk tempoh enam bulan akan datang.

Walau apa pun, pelabur perlu amat berhati-hati dalam keadaan semasa.

14 Mei, 2012

Perihal Dividen Saham II

Assalamualaikum, bagaimana pula pengiraan dividen yang diberi dalam bentuk peratus? Sila beri pencerahan. Terima kasih.

Waalaikumsalam. Saya menerima soalan di atas daripada pembaca. Sebenarnya dividen saham boleh diumumkan dalam dua cara, iaitu dalam bentuk sen dan juga dalam bentuk peratus.

Kalau dividen diumumkan dalam bentuk sen, ini bermakna sen sesaham.  Contohnya, jika dividen 10 sen diumumkan, maka anda akan menerima dividen 10 sen untuk setiap saham yang dipegang.

Sebaliknya jika diumumkan dalam bentuk peratus, ia merujuk kepada peratus berbanding nilai par saham.  Sebagai contoh, jika dividen 10% diumumkan dan  nilai par saham ialah 1.00, maka dividen 10 sen sesaham akan dibayar.

Sebaliknya jika dividen 10% diumumkan dan nilai par saham ialah 50 sen, maka dividen sebanyak 5 sen akan dibayar.

Kebanyakan pengumuman dividen sekarang dibuat dalam bentuk sen kerana lebih jelas dan memudahkan pengiraan dividend yield atau pulangan dividen.

Akhir sekali, peratus pembayaran dividen tidak harus dikelirukan dengan dividen yield.  Peratus bayaran dividen adalah berasaskan nilai par, sedangkan dividen yield dikira dengan membandingkan harga belian anda (jika anda memiliki saham tersebut) atau harga pasaran (jika anda bercadang membeli saham tersebut).

Contohnya, jika dividen 10% diumumkan dan nilai par ialah 50 sen.  Apakah dividend yield atau pulangan dividen yang diterima jika anda membeli saham pada harga RM1.25?

Pertama sekali, tukar dividen daripada bentuk peratus kepada sen.  Jika dividen 10% dan nilai par ialah 50 sen maka 10% x 50 sen = 5 sen.

Pulangan Dividen  ialah 5 sen / RM1.25 =  4%.

Harap maklumat ini dapat membantu.

06 Mei, 2012

Nak Buat Apa Lepas Bersara?

Rancang kerjaya atau aktiviti alternatif selepas 'bersara'

Apabila berbicara tentang persaraan, saranan yang sering kita dengar ialah 'rancang kewangan untuk tempuhi zaman persaraan'.  Bagi saya ini mungkin sesuai bagi sesetengah orang tetapi bukan untuk saya.

Sekiranya kita nak rancang kewangan, tujuannya ialah untuk mencapai kebebasan kewangan di mana kita boleh menyara hidup secara sepenuhnya menerusi pendapatan yang dijana oleh aset yang dimiliki, tidak kira sama ada kita bersara atau tidak.

Isu persaraan adalah satu isu berbeza.  Mungkin bagi kebanyakan pekerja (termasuk di sektor Kerajaan) kita terpaksa berhenti pada usia yang ditetapkan.  Tetapi ini tidak semestinya bermakna kita mesti berhenti bekerja sama sekali.

Secara peribadi, saya akan bekerja selagi ada kudrat tidak kira sama ada saya sudah bebas dari segi kewangan atau tidak.  Cuma jam kerja sahaja mungkin dikurangkan dan jenis kerja disesuaikan mengikut keadaan.

Pekerjaan memberi makna kepada kehidupan dan menunjukkan kita masih lagi berguna kepada masyarakat dan memastikan kita masih ada tujuan untuk hidup.

Justeru, bagi mereka yang kerja makan gaji tetapi tidak mahu bersara apabila sampai waktunya, saya cadangkan mereka bukan sahaja merancang kewangan, tetapi merancang aktiviti atau kerjaya baru apabila bersara.

Pelbagai perkara yang boleh dilakukan, tetapi bagi orang yang sudah banyak menimba pengalaman, saya rasa mengajar dan menyampaikan ilmu adalah satu aktiviti yang baik.  Bukankah ada hadis yang mengatakan putus amalan manusia apabila beliau mati kecuali tiga perkara dan salah satu daripadanya ialah ilmu berguna yang ditinggalkan?

Mengajar dan menyampaikan ilmu tidak semestinya dalam bentuk formal, tetapi boleh dalam bentuk tidak formal.  Ini termasuk memberikan kelas tusyen, menganjurkan kelas hujung minggu atau memberikan kuliah atau ceramah, menulis blog dan artikel dan sebagainya.

Mereka yang ada kemahiran sukan pula boleh menjadi jurulatih kepada sekolah atau kelab sosial dan sebagainya, sama ada dengan atau tanpa bayaran.  Selain itu, mereka juga boleh menjadi pegawai dalam acara sukan, yang kadangkala dibayar elaun tertentu.

Berniaga ialah satu lagi alternatif yang baik tetapi kita perlu berhati-hati kerana ada sesetengah orang yang menggunakan wang tabungan KWSP untuk berniaga dan rugi sehingga tiada apa lagi yang tinggal.  Sekiranya kita melabur dalam perniagaan, perancangan teliti perlu dibuat.

Tetapi jika tidak mahu bekerja luar pun, berkebun dan menjaga dan mendidik cucu juga.aktiviti yang murni yang boleh membawa manfaat di dunia dan akhirat.  Begitu juga menjadi sukarelawan di badan-badan kebajikan.

Saya ada mengenali ramai orang yang terus bekerja walaupun sudah mencapai usia rasmi persaraan termasuklah ibu dan bapa mertua saya.  Ada pula yang bakal menukar aktiviti apabila bersara kelak.

Artikel ini bukan mengenai kewangan tetapi nilai.  Kadangkala lebih baik jika seseorang yang bersara itu mempunyai sedikit wang tetapi banyak kerja murni untuk dilakukan yang membawa manfaat kepada masyarakat daripada mempunyai banyak wang tetapi sedikit kerja untuk dilakukan.