26 April, 2012

Patutkah Jual Kalau Saham Dah Naik?

Bergantung kepada potensi kenaikan saham tersebut pada masa depan

Kita akan lihat tiga contoh saham yang pernah disebutkan dalam blog ini yang telah naik harganya dengan ketara untuk melihat sama ada saham tersebut patut dijual atau tidak.


Syarikat Takaful Malaysia

Saya pernah menyentuh tentang Syarikat Takaful Malaysia, anak syarikat BIMB, dalam posting pada 28  Februari 2010. Pada waktu itu, harganya ialah kira-kira RM1.33.  Pada hari ini, harga telah mencecah sehingga RM3.80 sen.

Berikut adalah carta Syarikat Takaful untuk tempoh dua tahun:

Dipetik daripada Bursa Station

Pencetus kenaikan luar biasa ini ialah prestasi keuntungan syarikat, yang mencatatkan pendapatan sesaham (EPS) 21.24 sen pada suku keempat tahun 2011. Prestasi ini ternyata amat memberangsangkan.

OSK Research menetapkan harga sasaran RM4.42.  Saya rasa ini satu harga yang munasabah untuk disasarkan kerana ia berasaskan P/E 10 (yang masih rendah) untuk keuntungan ramalan bagi tahun kewangan 2013.

Berasaskan keputusan suku terakhir, terdapat kemungkinan syarikat mencatatkan prestasi lebih baik daripada itu, tetapi semua ini adalah unjuran sahaja.

Satu lagi faktor ialah ia merupakan satu-satunya syarikat takaful yang boleh dilaburkan secara terus di Bursa Malaysia, menjadikannya pilihan tunggal bagi pelabur tempatan dan asing yang mahu melabur dalam institusi takaful patuh syariah.

Bagi saya, jika ambil untung pada harga ini pun wajar kerana harga dah naik tinggi.  Tetapi jika pelabur yakin, boleh tunggu sehingga ia mencapai sasaran harga RM4.42 yang diramalkan oleh OSK.

Jika paras untung seperti yang diramalkan, mungkin saham akan naik lagi.  Risikonya ialah jika untung masa depan tidak sehebat untung yang diramalkan, mungkin harga saham ini akan terjejas.


CBIP Holdings

CB Industrial Products (CBIP) ialah sebuah syarikat yang terlibat dalam pembinaan loji pemprosesan minyak sawit dan khidmat kejuruteraan dan alat ganti yang berkaitan.  Syarikat menyediakan perkhidmatan kepada ladang-ladang kelapa sawit dan juga memiliki ladang kelapa sawit.

Saya ada menulis tentang CBIP pada posting 21 Mac 2011.  Harganya pada waktu itu ialah kira-kira RM3.84.  (RM1.92 selepas mengambil kira terbitan saham bonus). Berikut adalah graf CBIP untuk tempoh dua tahun:

Dipetik daripada Bursa Malaysia

Ternyata saham CBIP telah naik seiring dengan kenaikan syarikat-syarikat perladangan kelapa sawit, terutamanya kerana harga CPO yang kekal tinggi.

Pada akhir tahun lepas, syarikat mencatatkan EPS 77 sen, tetapi selepas mengambil kira terbitan bonus 1 untuk 1 yang dilaksanakan baru-baru ini, EPS tersebut ialah 43 sen. Namun begitu, EPS ini lebih tinggi sedikit daripada biasa kerana pada suku terakhir terdapat item untung luar biasa yang tidak mungkin berulang pada tahun depan.

Walau apa pun, bagi CBIP, saya rasa harganya masih berpatutan jika paras untung dapat dikekalkan tahun ini.  Bagi saham ini, adalah lebih baik untuk tunggu dan lihat keputusan bagi suku berakhir 31 Mac, yang akan diumumkan sebulan lagi, sebelum menentukan untuk menjual dan ambil untung atau memegang untuk menantikan kenaikan harga lanjut.

Bagi saya jika EPS lebih 35 sen untuk seluruh tahun dapat diunjurkan menerusi keputusan pada suku pertama, maka saham ini rasanya boleh terus dipegang.


Malayan Flour Mills

Saya telah menulis tentang Malayan Flour Mills (MFM) pada 3 Mac 2010.  Syarikat ini adalah sebuah pengilang tepung, pengeluar makanan ternakan dan penternak ayam itik.

Pada waktu itu harganya ialah  RM5.22, sebelum mengambil kira segala terbitan bonus, waran dan terbitan hak yang dilaksanakan baru-baru. Jika mengambil kira semua terbitan di atas, harganya ialah lebih kurang RM1.30 pada masa itu.

Berikut adalah carta  MFM untuk tempoh dua tahun. 

Dipetik daripada Bursastation

Apabila kita meninjau prestasi EPS MFM, kita dapati bahawa keputusan 2011 (79 sen) adalah lebih baik daripada 2010 (75 sen).  Tetapi angka ini adalah sebelum segala terbitan bonus dan terbitan hak yang dilaksanakan.

Persoalan sama ada untuk menjual saham ini atau tidak akan lebih jelas selepas prestasi suku tahun berakhir 31 Mac, yang akan memberikan EPS berasaskan jumlah saham baru yang ada di pasaran.  Selepas itu barulah kita dapat membuat penilaian lebih tepat sama ada syarikat ini berpotensi untuk berkembang.

Namun begitu, adalah munasabah juga bagi sesetengah pelabur untuk mengambil untung, terutamanya apabila saham telah mencecah RM2.00 kerana keuntungan besar yang diraih dan juga untuk dilaburkan semula dalam saham lain yang lebih berpotensi untuk naik.


Kesimpulan

Persoalan untuk jual saham yang telah naik bergantung kepada pandangan kita tentang prestasi masa depan syarikat, iaitu bolehkah syarikat terus meningkatkan keuntungan.  Jika unjuran keuntungan terus positif, kita boleh pegang, tetapi jika keuntungan telah sampai ke puncak dan mungkin turun untuk tempoh dua atau tiga tahun akan datang, maka wajar bagi kita untuk jual.

Di samping itu satu lagi faktor ialah sama ada kita telah mengenal pasti satu peluang lain yang lebih baik.  Jika ada, maka kita ramalkan saham mana, sama ada saham sedia atau peluang baru, yang dijangka naik pada kadar yang lebih tinggi (peratus kenaikan) dan kemudian buat keputusan untuk menjual atau terus memegang saham yang sedia ada.


23 April, 2012

E-Majalah Pemikir Kaya

Rakan saya, Khairulnahar Jamaluddin aka Thinkerich, penulis buku Bajet Wang ada menerbitkan sebuah majalah motivasi dan kewangan percuma bertajuk e-majalah pemikir kaya.  Saya ada menyumbang artikel mengenai pelaburan di dalam majalah ini.

Klik sini untuk  mendaftar di laman web beliau untuk  mendapatkan majalah ini secara percuma.



18 April, 2012

Sabar Dalam Perniagaan & Kerjaya

Sabar separuh daripada iman tetapi amat sukar diamalkan

Dalam kerjaya atau perniagaan, kita telah dan akan banyak menghadapi situasi yang menguji kesabaran kita. Berurusan dengan manusia dengan pelbagai ragam dan kerenah bukannya senang.

Perhubungan dengan rakan sekerja, orang bawahan dan bos pasti menimbulkan konflik dan masalah.  Dalam banyak keadaan kita perlu bersabar terutamanya jika orang bawahan selalu buat hal dan bos pula sering mendesak.

Begitu juga jika kita mengendalikan perniagaan kecil atau bekerja dalam syarikat kecil. Memang kita bukan 'priority' utama bagi pelanggan, pembekal, agensi kerajaan dan institusi kewangan.  Keperluan dan kehendak anda jarang disegerakan.

Sebagai contoh, apabila berurusan dengan bank dalam hal ehwal pembiayaan, anda sebenarnya tertakluk kepada 'budi bicara' mereka, sedangkan dalam iklan atau risalah, mereka kata anda amat dihargai. Begitu juga apabila berurusan dengan agensi kerajaan.

Walau apa pun, anda perlu 'push' mereka dan mengetengahkan kes anda.  Tidak ada jalan lain kerana lazimnya organisasi besar tiada urgency dan anda perlu bersabar dan terus membuat pertanyaan susulan dengan cara yang baik.

Apabila berurusan dengan pelanggan pula, terutamanya pelanggan yang amat besar, memang anda perlu bersabar.  Mereka tidak perlu menjawab komunikasi anda tetapi anda perlu menjawab komunikasi seperti emel daripada mereka dengan serta-merta.

Mereka lambat atau berat menjawab bukan kerana tidak hormat atau sebagainya, cuma anda tidak begitu penting dalam urusan mereka.

Tetapi lebih banyak kesabaran diperlukan apabila berurusan dengan orang yang memang tidak bermoral dan beretika.  Mereka tidak  mengotakan apa yang mereka kata.  Dokumen yang ditandangani pun kadangkala tiada makna apa-apa.

Tahap kesabaran lebih tinggi lagi diperlukan apabila berurusan dengan orang yang pandai putar-belit.  Semalam cakap satu dan hari ini pula cakap lain.  Akhirnya tahap kesabaran yang paling tinggi diperlukan apabila berhadapan dengan orang yang menipu bulat-bulat.  

Walau apa pun situasi, kita perlu bersabar.  Memang sukar kerana dalam keadaan ini kita rasa seperti nak melenting sahaja dan inilah juga merupakan salah satu kelemahan saya.  Anggap sebagai ujian daripada Allah.  Lagipun kesabaran akan memberikan ketenangan dan manfaat di dunia dan akhirat

Kalau anda ada masa sejam, cuba dengar ceramah berikut daripada Mufti Ismail Menk dari Zimbabwe mengenai kesabaran.




Apabila menghadapi dugaan, kerenah atau 'roadblock', pada pendapat saya kita perlu sabar tetapi terus 'push' atau terus berusaha untuk mengenepikan rintangan, sehingga matlamat dicapai. Ini perlu dilakukan walaupun kita terpaksa berurusan dengan orang yang tidak menghormati kita.

Jika membabitkan pelanggan perniagaan, selesaikan masalah dahulu dengan mereka dan jangan berurusan lagi dengan mereka jika kerenah yang dibuat terlalu berat.  Tetapi jika perkara kecil, sabar saja dan terus berurusan dengan mereka.  Apa nak buat, kita perlu cari makan! 

Sebaliknya jika membabitkan urusan sekali seperti jual beli hartanah atau urusan pinjaman bank, terus berusaha dan tunjukkan anda serius dan pasti akhirnya satu jalan penyelesaian akan terbuka kepada anda.

Kesabaran ternyata satu sifat yang amat penting dalam perniagaan dan kerjaya. 

Nota:  Saya menulis posting kali ini pertama sekali untuk diri sendiri supaya mengelakkan diri daripada 'melenting' dan kedua untuk pembaca.  Bila dah nasihatkan orang lain untuk bersabar, tentulah kita sendiri perlu mengamalkannya terlebih dahulu.

11 April, 2012

Pilihan Pembiayaan Modal Kerja Islam

Boleh terangkan tentang pembiayaan modal kerja dalam perbankan Islam? Bagaimanakah produk yang ditawarkan? Adakah murabahah, mudharabah, musyarakah termasuk dalam kategori pembiayaan modal kerja?

Bagi pembiayaan modal kerja, kemudahan yang ditawarkan adalah mirip overdraf perbankan konvensional tetapi diubah untuk mematuhi keperluan syariah dan ciri kemudahan adalah berbeza di antara bank.

Saya dapati ada pelbagai kontrak yang digunakan, termasuk Bai Al' Inah, Bai Murabahah dan Bai Bithaman Ajil. Semuanya menggunakan konsep jualan dan bayaran balik tertunda, dan bukannya Mudarabah atau Musyarakah.  Berikut adalah maklumat yang saya kumpulkan daripada beberapa Bank.

CIMB

Term Financing-i
Menggunakan konsep Bai' Bithaman Ajil atau Bai' Al' Inah dan disediakan untuk perusahaan dan syarikat perniagaan. Untuk pembelian aset tetap, modal, modal kerja, pembiayaan penyambung dan segala tujuan lain. Ditawarkan pada kadar untung tetap atau berubah.

Cash Line-i
Untuk modal kerja jangka pendek, kemudahan ini ditawarkan dengan kadar siling yang ditetapkan. Produk menggunakan konsep Bai Bithaman Ajil and Bai Al' Inah.  Tiada yuran dikenakan bagi bahagian pembiayaan yang tidak digunakan.
 
Bank Muamalat

Murabahabah Working Capital Finance
MWCF-i boleh digunakan oleh pelanggan untuk beli barang dagangan dan juga bahan mentah.  Kemudahan ini diberikan utnuk membiayai keperluan modal kerja jangka pendek di mana Bank membelikan produk dan pelanggan membayar balik secara tertunda.


Maybank

Produk Maybank dinamalan Cash Line-i seperti CIMB tetapi mengggunakan konsep Murabahah sepertu Bank Muamalat. Membolehkan pelanggan memanfaatkan pembiayaan untuk membeli barangan untuk perniagaan mereka.

OCBC Al Amin

Juga menggunakan nama Cash Line-i tetapi menggunakan kontrak Al' Inah.  Digunakan untuk membiayai modal kerja untuk jangka pendek

Al Rajhi

Produk paling hampir dengan pembayaan modal kerja dinamakan structured commodity financing, digunakan untuk membeli barangan khusus di mana bank membiayai dulu perbelanjaan tersebut dan pembeli membayar balik secara ansuran.  Kontrak Bai Bithaman Ajil digunakan.

Secara peribadi, saya akan memilih produk yang menggunakan konsep Murabahah dan mengelakkan Al' Inah.  Murabahah ialah satu kontrak jual beli dengan elemen bayaran tertunda.  Ini bermakna pembeli meminta Bank untuk membeli aset pada kos (harga belian) dan sebagai balasan Bank akan menjual aset kepada pembeli pada margin untung yang dipersetujui di dalam harga jualan. Harga jualan seterusnya perlu dibayar secara tertunda,

Secara kesimpulannya, jika  membiayai operasi perniagaan, lazimnya kontrak yang digunakan adalah kontrak jual beli seperti yang disebutkan di atas. Ada juga bank yang menggunakan konsep ijarah untuk membeli aset besar terkhusus (bukan untuk modal kerja).

Sila hubungi Bank untuk maklumat lanjut.  Kalau tak silap saya, aliran tunai perniagaan anda menjadi antara faktor paling penting untuk menentukan sama ada pembiayaan diberikan atau tidak. 

Nota: Saya tidak mempunyai kelayakan khusus dalam kewangan Islam tetapi telah menyelidik maklumat untuk membantu pembaca. Harap maklumat ini dapat membantu. Jika ada kesilapan sila betulkan.


04 April, 2012

Ilmu Yang Perlu Diketahui Sebelum Berniaga

Lebih teliti persediaan yang dibuat, lebih rendah peluang kegagalan

Bukan mudah untuk memulakan perniagaan.  Seorang yang mahir bekerja dalam sesuatu bidang tidak semestinya boleh berniaga dalam bidang tersebut. Contohnya, seorang tukang masak yang hebat tidak semestinya berjaya jika membuka rangkaian restoran. Seorang akauntan berwibawa tidak pasti untung jika membuka firma perakaunan. Seorang doktor yang cemerlang tidak semestinya berjaya jika membuka klinik sendiri.

Kemahiran khusus dalam bidang yang diceburi akan memberikan sedikit kelebihan, tetapi biasanya pelbagai ilmu lain yang diperlukan untuk menjayakan sesebuah perniagaan.  Kita sedia maklum bahawa lebih banyak perniagaan baru yang gagal daripada berjaya. Untuk memastikan kita adalah antara yang berjaya, berikut adalah beberapa bidang ilmu dan kemahiran yang perlu ditimba:

1.  Pengetahuan Mengenai Industri

Maklumat ini penting untuk mengetahui siapakah pesaing dan siapakah bakal pelanggan kita, walaupun perniagaan kita amat kecil.  Bolehkah kita memasuki pasaran sasaran kita dan merebut pelanggan daripada pesaing? Adakah industri kita akan terus berkembang?  Bolehkah pesaing lain masuk dalam industri dengan mudah?  Apakah kelebihan kita berbanding pesaing?  Semua soalan ini perlu dijawab dengan teliti sebelum bermula

2.  Perakaunan dan Pentadbiran

Kita perlu mengetahui maklumat asas tentang perakaunan, walaupun jika kita 'outsource' fungsi perakaunan kita.  Ini kerana faktor yang membabitkan pengiraan untung rugi seperti titik pulang modal, penetapan harga, kos tetap dan berubah, anggaran untung kasar dan untung bersih semuanya perlu dipertimbangkan untuk menentukan sama ada perniagaan berdaya maju sebelum perniagaan dibuka.

Selain itu hal ehwal pentadbiran juga penting. Contohnya, bolehkah dan mampukah  kita menggaji pekerja? Kita juga perlu fasih tentang selok-belok segala pendaftaran yang perlu dibuat dengan agensi kerajaan dan juga urusan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).  Saya pernah melihat syarikat menghadapi masalah besar kerana mengabaikan urusan dengan LHDN.

3.  Modal dan Aliran Tunai

Apakah sumber pembiayaan kita dan adakah aliran tunai kita dapat menampung operasi perniagaan sehinggalah perniagaan berdaya maju dan dapat pulang modal dengan sendiri?  Adakah kita mempunyai modal kerja yang secukupnya untuk meneruskan perniagaan sekiranya tempoh pulang modal dilengahkan? Kadangkala sesuatu perniagaan itu lingkup walaupun bisnes mula berkembang.  Ini kerana perniagaan tersebut hanya memerlukan setahun lagi untuk pulang modal, sedangkan mereka sudah kehabisan modal dan aliran tunai .

4.  Jualan dan Pemasaran

Ini adalah faktor yang mungkin paling kurang diberi perhatian, terutamanya oleh mereka yang pakar dalam sesuatu bidang yang membuat keputusan untuk membuka perniagaan sendiri.  Usahawan perlu menjual dan kemahiran menjual adalah sesuatu yang amat sukar dipelajari oleh sesetengah orang.  Saya sendiri mempunyai kelemahan dalam bidang ini.

Pemasaran pula membabitkan usaha membawa produk dan perkhidmatan anda ke pasaran, dan termasuk promosi dan penetapan harga.  Pendek kata, selain daripada berupaya membekalkan produk dan perkhidmatan, seorang usahawan baru perlu menetapkan minda untuk sentiasa mempromosi perniagaannya dalam segala  keadaaan, sama ada dalam dunia sebenar, laman web, blog laman sosial dan sebagainya.

5.  Perkhidmatan Pelanggan

Bidang ini juga sering menimbulkan kerumitan yang tidak diduga.   Jika dulu apabila bekerja dengan orang lain, ada jabatan lain yang mengendalikan kerenah pelanggan.  Tetapi sekarang ini usahawan sendiri bertanggungjawab dan perlu menyelesaikannya jika kakitangan beliau tidak mampu. Justeru, kemahiran perhubungan peribadi juga perlu dibina sekiranya perniagaan melibatkan interaksi yang kerap dengan pelanggan, sama ada sebelum atau selepas jualan.

Sebenarnya, transformasi daripada seorang pekerja mahir atau perunding pakar kepada usahawan bukannya mudah dan bukan untuk semua orang.  Pertimbangkan sama ada anda sanggup mempelajari ilmu berniaga dan melayan segala masalah yang pasti timbul apabila menjalankan perniagaan. 

Tetapi bagi yang sanggup menghadapi segala kerumitan, risiko dan cabaran pada peringkat awal perniagaan,  mereka berpotensi meraih pulangan yang lumayan dan kepuasan membina sesuatu yang diusahakan sendiri apabila perniagaan sudah mula berdaya maju.