08 Januari, 2012

Tinjauan Harga Komoditi Penting Pada 2011

Harga Komoditi Tinggi Dijangka Fenomena Berkekalan

Dengan berakhirnya tahun 2011, kita tinjau pula kedudukan harga tiga komoditi yang amat penting bagi ekonomi atau rakyat Malaysia.

Minyak Mentah
Dipetik daripada laman oil-price.net
Walaupun keadaan ekonomi tidak begitu kukuh pada 2011, harga minyak mentah terus ditutup pada paras lebih RM100.  Perkembangan ini menunjukkan bahawa harga minyak tidak mungkin turun kepada harga lebih rendah dan kita sebagai pengguna dan syarikat yang menggunakan minyak mentah sebagai input harus akur dan membiasakan diri dengan harga minyak tinggi dalam jangka panjang.

Harga minyak RON 95 ditetapkan oleh kerajaan tetapi subsidi yang perlu dibayar oleh kerajaan meningkat dan secara tidak langsung mempengaruhi kesejahteraan kita juga.  Saya pernah katakan sebelum ini bahawa subsidi ini tidak boleh dikekalkan dalam jangka panjang, terutamanya jika harga minyak terus naik dalam tempoh terdekat.

Minyak Sawit Mentah
Dipetik daripada laman web MPOB

Sementara itu harga minyak sawit mentah berada pada paras lebih RM3,100, iaitu paras yang tetap tinggi walaupun tidak setinggi harga lebih RM4,000 pada awal tahun. Prestasi seperti ini walaupun dalam ekonomi lemah menunnjukkan permintaan untuk minyak sawit tetap kukuh dan berkekalan.

Kesannya ialah kenaikan harga makanan kerana minyak sawit digunakan sebagai input dalam banyak bahan makanan.  Ini satu perkembangan baik bagi Malaysia kerana negara kita mempunyai industri sawit yang pesat, tetapi kesannya ialah kenaikan harga bahan makanan yang dijangka kekal.

Emas
Dipetik daripada laman web World Gold Council

Harga emas telah mencatatkan peningkatan ketara sehingga tengah tahun, iaitu daripada USD1,350 kepada USD1,900 menyebabkan ramai orang yang teruja dengan emas.  Sebenarnya emas telah meningkat selama lebih 10 tahun pada kadar yang mengagumkan, terutamanya kerana dekad pertama alaf baru dipenuhi dengan pelbagai cabaran ekonomi.

Emas dilihat sebagai pelaburan selamat dan masih banyak pihak mahu mata wang kertas kembali kepada 'gold standard'.  Tetapi kenaikan terlalu cepat dan terlalu tinggi menyebabkan harga turun kembali dan sejak dua bulan lepas berada di sekitar USD1,600.

Pada 2012, jika kegawatan di Eropah terus menjejaskan ekonomi dunia, harga minyak dan minyak sawit barangkali akan mendatar atau turun dan harga emas mungkin (tetapi tidak semestinya) naik.  Tetapi jika ekonomi kian pulih, harga minyak dan minyak sawit kemungkinan besar akan meningkat.

Tetapi itulah dilema bagi kita, ekonomi yang semakin kukuh akan menyebabkan harga barangan yang menggunakan input komoditi untuk turut sama naik, menjejaskan kuasa beli kita.

Tiada ulasan: