25 Januari, 2012

Bersabar Sehingga Peluang Muncul

Tetapi melabur jumlah besar apabila terdapat nilai yang hebat

Salah satu daripada falsafah pelaburan Warren Buffet ialah menunggu sehingga terdapat nilai yang hebat sebelum membeli saham.  Tetapi apabila peluang tersebut muncul, beliau akan melabur dengan jumlah yang besar.

Walaupun pelabur biasa seperti kita digalakkan mempunyai portfolio yang terpelbagai untuk melindungi risiko, pelabur tersohor ini sebaliknya menggunakan portfolio yang tertumpu (concentrated portfolio).

Bagi Warren Buffet, risiko dilindungi dengan pengetahuannya tentang syarikat, analisis yang dilakukan terhadap saham dan juga margin of safety kerana membeli saham pada harga yang lebih rendah daripada nilai sebenar syarikat tersebut.

Bagi kita memang amat mencabar untuk mengamalkan falsafah pelaburan sebegini.  Pertama sekali ternyata sukar untuk menunggu sehingga nilai yang hebat diperolehi.  Lazimnya apabila pelabur sudah tertarik dengan sesuatu saham, mereka tergerak hati untuk membelinya serta-merta.

Mungkin satu cara kita boleh memanfaatkan kaedah pelaburan ini ialah dengan mempunyai sekumpulan saham dalam senarai yang dianggap mantap dan kukuh dan menilai setiap satu daripadanya dari segi fundamental. Kemudian kita tetapkan harga yang sesuai dan berpatutan untuk dibeli.

Jika sudah ada saham yang memenuhi kriteria, maka kita boleh terus membeli tetapi jika tidak, kita tunggu sehingga salah satunya daripadanya mencapai kriteria yang ditetapkan.

Sementara itu membeli dalam jumlah besar dari segi peratus portfolio keseluruhan adalah sesuatu yang hanya patut dilakukan jika pelabur selesa dengan kaedah concentrated portfolio.

Saya sendiri pun sebelum ini lebih suka mempelbagaikan saham dengan memegang pelbagai jenis saham dengan matlamat untuk mengurangkan risiko.

Tetapi kini saya mengubah sedikit taktik di mana saya akan membahagikan pelaburan, iaitu sebahagiannya dalam unit amanah yang memang terpelbagai pelaburannnya manakala portfolio saham dilaburkan secara tertumpu dalam hanya segelintir syarikat yang benar-benar undervalued tetapi dalam jumlah yang besar.

Kesabaran untuk menunggu sehingga peluang benar-benar hebat muncul memang boleh dicontohi tetapi kaedah concentrated portfolio hendaklah dipertimbangkan dengan teliti, dan diamalkan hanya jika pelabur selesa.

Salah seorang pengurus dana terbaik masa kini, Ken Fisher, mencadangkan agar pelabur hanya memegang maksimum 5% daripada portfolio mereka dalam sesuatu saham. Pendek kata beliau lebih suka mempelbagaikan saham.

Pelaburan juga membabitkan keselesaan menanggung risiko. Justeru terpulang kepada pelabur untuk menggunakan portfolio tertumpu atau portfolio terpelbagai, berasaskan keyakinan mereka memilih saham.


Tiada ulasan: