31 Januari, 2012

Prestasai Dana Islam Terbaik - 5 Tahun

Kenanga Syariah Growth masih unggul untuk tempoh 5 tahun

Kita tinjau prestasi 20 Dana Ekuiti Patuh Syariah Malaysia yang terbaik sehingga Januari 2012.  Prestasi disusun mengikut pulangan terkompaun tahunan untuk tempoh 5 tahun

Dipetik daripada Laman Web Morningstar

Daripada carta kita dapat lihat bahawa dua dana daripada Kenanga mencatatkan prestasi terbaik untuk tempoh 5 tahun, manakala CIMB Islamic Dali Growth mendapat tempat ketiga.

Kita dapati bahawa sembilan dana mencatatkan pulangan terkompaun lebih daripada 10% untuk tempoh 5 tahun, satu pencapaian yang boleh dianggap sebagai amat memuaskan.

Sebagai perbandingan, kita cuba lihat pula prestasi Indeks Emas Syariah (biru) dan FBM KLCI (merah) sebagai tanda aras untuk tempoh yang sama.

 Dipetik daripada Bursastation.com


Garis biru di atas menunjukkan Indeks Emas Syariah yang mencatatkan pulangan mutlak 31.3% atau pulangan terkompaun tahunan sebanyak 5.56%.

Indeks tersebut menjadi penanda aras kebanyakan dana yang patuh syariah. Ini bermakna banyak juga dana yang berjaya mengatasi indeks penanda aras masing-masing.

Perlu diingat bahawa pulangan yang diberikan adalah tidak termasuk caj jualan, iaitu 2% bagi pembelian menerusi Internet atau 5 - 6% bagi pembelian menerusi perunding unit amanah.

Nota:  Sebagai contoh, pulangan Kenanga Syariah Growth adalah kira-kira 14.9% jika mengambil kira caj jualan 5% dan kira-kira 15.2% jika mengambil kira caj jualan 2%.  Pengiraan hanya boleh dibuat menggunakan mesin pengira kewangan.

25 Januari, 2012

Bersabar Sehingga Peluang Muncul

Tetapi melabur jumlah besar apabila terdapat nilai yang hebat

Salah satu daripada falsafah pelaburan Warren Buffet ialah menunggu sehingga terdapat nilai yang hebat sebelum membeli saham.  Tetapi apabila peluang tersebut muncul, beliau akan melabur dengan jumlah yang besar.

Walaupun pelabur biasa seperti kita digalakkan mempunyai portfolio yang terpelbagai untuk melindungi risiko, pelabur tersohor ini sebaliknya menggunakan portfolio yang tertumpu (concentrated portfolio).

Bagi Warren Buffet, risiko dilindungi dengan pengetahuannya tentang syarikat, analisis yang dilakukan terhadap saham dan juga margin of safety kerana membeli saham pada harga yang lebih rendah daripada nilai sebenar syarikat tersebut.

Bagi kita memang amat mencabar untuk mengamalkan falsafah pelaburan sebegini.  Pertama sekali ternyata sukar untuk menunggu sehingga nilai yang hebat diperolehi.  Lazimnya apabila pelabur sudah tertarik dengan sesuatu saham, mereka tergerak hati untuk membelinya serta-merta.

Mungkin satu cara kita boleh memanfaatkan kaedah pelaburan ini ialah dengan mempunyai sekumpulan saham dalam senarai yang dianggap mantap dan kukuh dan menilai setiap satu daripadanya dari segi fundamental. Kemudian kita tetapkan harga yang sesuai dan berpatutan untuk dibeli.

Jika sudah ada saham yang memenuhi kriteria, maka kita boleh terus membeli tetapi jika tidak, kita tunggu sehingga salah satunya daripadanya mencapai kriteria yang ditetapkan.

Sementara itu membeli dalam jumlah besar dari segi peratus portfolio keseluruhan adalah sesuatu yang hanya patut dilakukan jika pelabur selesa dengan kaedah concentrated portfolio.

Saya sendiri pun sebelum ini lebih suka mempelbagaikan saham dengan memegang pelbagai jenis saham dengan matlamat untuk mengurangkan risiko.

Tetapi kini saya mengubah sedikit taktik di mana saya akan membahagikan pelaburan, iaitu sebahagiannya dalam unit amanah yang memang terpelbagai pelaburannnya manakala portfolio saham dilaburkan secara tertumpu dalam hanya segelintir syarikat yang benar-benar undervalued tetapi dalam jumlah yang besar.

Kesabaran untuk menunggu sehingga peluang benar-benar hebat muncul memang boleh dicontohi tetapi kaedah concentrated portfolio hendaklah dipertimbangkan dengan teliti, dan diamalkan hanya jika pelabur selesa.

Salah seorang pengurus dana terbaik masa kini, Ken Fisher, mencadangkan agar pelabur hanya memegang maksimum 5% daripada portfolio mereka dalam sesuatu saham. Pendek kata beliau lebih suka mempelbagaikan saham.

Pelaburan juga membabitkan keselesaan menanggung risiko. Justeru terpulang kepada pelabur untuk menggunakan portfolio tertumpu atau portfolio terpelbagai, berasaskan keyakinan mereka memilih saham.


16 Januari, 2012

14 Tahun Bekerja Dari Rumah

Pejabat di rumah kini satu alternatif yang berdaya maju

Tahun ini masuk tahun ke-14 saya menjalankan perniagaan dari rumah.  Walaupun pada mulanya bekerja dari rumah ini kurang glamor dan ramai yang sangsi sama ada kita betul-betul bekerja, situasi di alaf baru ini sudah berubah, terutamanya dengan meledaknya perniagaan  Internet, menjadikan kerja dari rumah satu alternatif yang diterima.



Saya rasa adalah mustahil untuk mengendalikan perniagaan besar di rumah, tetapi perniagaan kecil dengan untung yang agak memuaskan boleh diusahakan, terutamanya perniagaan berkaitan dengan perkhidmatan dan tidak semestinya bisnes Internet sahaja.

Selain daripada berniaga, syarikat korporat di negara Barat juga ada yang menganjurkan skim di mana kakitangan mereka boleh bekerja dari rumah untuk beberapa hari dalam seminggu.  Ini amat berguna terutamanya bagi kaum ibu yang boleh menguruskan hal-ehwal rumah mereka sambil bekerja.

Kerja dari rumah ini bukan untuk kaum wanita sahaja.  Tidak ada masalah langsung bagi lelaki untuk melakukannya juga.  Saya sendiri sentiasa bersama anak-anak, yang suka bermain di dalam pejabat saya dan telah melihat mereka membesar.  Di samping itu, di kiri kanan saya setiap hari ada sahaja kucing yang masuk dan lepak dalam 'office' sambil saya bekerja.



Jangan anggap kerja di rumah ini relaks sahaja.  Setiap hari saya menghadapi beberapa 'deadline' dan tidak pernah ambil cuti sakit untuk satu hari penuh (separuh hari ada).  Bukan tak pernah sakit tetapi buat kerja juga kerana tak mahu menghampakan pelanggan.

Setiap hari memang kerja sampai malam, kadangkala antara sampai pukul 12, tetapi yang 'best' saya lazimnya sempat tidur sejam selepas makan dan juga meluangkan masa 1 - 2 jam untuk bersenam pada waktu petang sebelum menyambung kerja pada waktu malam.

Kerja dari rumah bukan untuk semua orang.  Ramai yang suka pergi ke pejabat korporat untuk berinteraksi dengan rakan sepejabat dan pihak lain.  Apabila kerja dari rumah, interaksi kebanyakannya adalah dengan pelanggan, dan sebahagian besar menerusi telefon dan emel sahaja.  Tetapi kelebihannya ialah kita tidak perlu melayan kerenah politik pejabat dan tak perlu mengagumkan atau 'impress' sesiapa kecuali pelanggan.

Setiap hari saya tak perlu meredah kesesakan lalu lintas di KL. Sekali-sekala apabila saya ada urusan luar yang menyebabkan saya terpaksa balik jam 6.00 petang dan ke atas, saya terkena juga 'jam' dan pada waktu itu saya rasa bersyukur tak perlu melaluinya setiap hari.

Sekarang ini terdapat banyak juga perkhidmatan yang menawarkan alamat pejabat di bangunan berprestij dengan perkhidmatan menjawab telefon dikongsi bersama di mana anda membayar  sejumlah kecil sahaja sebulan untuk mendapatkan alamat ini supaya nampak hebat di mata pelanggan, pembekal dan pembiaya.

Tapi saya tak perlu semua ini kerana pelanggan saya memang tahu saya bekerja dari rumah dan mereka ini termasuk syarikat multinasional dan syarikat tersenarai.  Mereka bukan nak lihat pejabat korporat atau ciri luaran. Mereka hanya mahukan kerja yang bermutu tinggi dan disiapkan tepat pada masanya.

Bukan semuanya 'best' tentang bekerja dari rumah.  Kadangkala ada pihak yang bagai kurang percaya kita sebenarnya bekerja.  Selain itu, pernah sebuah bank Islam asing menolak permohonan pembiayaan saya kerana kurang senang saya bekerja dari rumah. Tetapi tidak mengapa sebab ada bank lain yang sudah lama berurusan dengan saya yang sanggup memberikan pembiayaan.

Walau apa pun, memulakan perniagaan dari rumah adalah alternatif yang berdaya maju.atau viable. Terutamanya jika anda baru memulakan perniagaan dan mahu melihat sama ada perniagaan ini ada potensi.  Jika perniagaan makin pesat, bolehlah mula cari pejabat atau kedai untuk disewa.

Di kalangan rakan dan saudara, ada seorang kontraktor binaan yang juga mempunyai pejabat dari rumah. Beliau pun macam saya juga, tidak sanggup bersaing di alam korporat.  Sementara itu, peguam saya juga semakin kerap menghabiskan masa bekerja dari rumah, walaupun ada pejabat di sendiri.  Di samping itu, saya juga mengenali beberapa pengusaha Internet yang bekerja dari rumah.

Bagi saya, walaupun sekarang memang sudah mampu sewa pejabat, saya tidak akan melakukannya buat masa ini selagi ada ruang yang cukup dalam rumah untuk menempatkan kakitangan. Bekerja dari rumah ialah satu pilihan gaya hidup peribadi yang mungkin sesuai dengan segelintir orang yang bosan dengan kerenah dunia korporat dan keadaan lalu-lintas yang sesak.

08 Januari, 2012

Tinjauan Harga Komoditi Penting Pada 2011

Harga Komoditi Tinggi Dijangka Fenomena Berkekalan

Dengan berakhirnya tahun 2011, kita tinjau pula kedudukan harga tiga komoditi yang amat penting bagi ekonomi atau rakyat Malaysia.

Minyak Mentah
Dipetik daripada laman oil-price.net
Walaupun keadaan ekonomi tidak begitu kukuh pada 2011, harga minyak mentah terus ditutup pada paras lebih RM100.  Perkembangan ini menunjukkan bahawa harga minyak tidak mungkin turun kepada harga lebih rendah dan kita sebagai pengguna dan syarikat yang menggunakan minyak mentah sebagai input harus akur dan membiasakan diri dengan harga minyak tinggi dalam jangka panjang.

Harga minyak RON 95 ditetapkan oleh kerajaan tetapi subsidi yang perlu dibayar oleh kerajaan meningkat dan secara tidak langsung mempengaruhi kesejahteraan kita juga.  Saya pernah katakan sebelum ini bahawa subsidi ini tidak boleh dikekalkan dalam jangka panjang, terutamanya jika harga minyak terus naik dalam tempoh terdekat.

Minyak Sawit Mentah
Dipetik daripada laman web MPOB

Sementara itu harga minyak sawit mentah berada pada paras lebih RM3,100, iaitu paras yang tetap tinggi walaupun tidak setinggi harga lebih RM4,000 pada awal tahun. Prestasi seperti ini walaupun dalam ekonomi lemah menunnjukkan permintaan untuk minyak sawit tetap kukuh dan berkekalan.

Kesannya ialah kenaikan harga makanan kerana minyak sawit digunakan sebagai input dalam banyak bahan makanan.  Ini satu perkembangan baik bagi Malaysia kerana negara kita mempunyai industri sawit yang pesat, tetapi kesannya ialah kenaikan harga bahan makanan yang dijangka kekal.

Emas
Dipetik daripada laman web World Gold Council

Harga emas telah mencatatkan peningkatan ketara sehingga tengah tahun, iaitu daripada USD1,350 kepada USD1,900 menyebabkan ramai orang yang teruja dengan emas.  Sebenarnya emas telah meningkat selama lebih 10 tahun pada kadar yang mengagumkan, terutamanya kerana dekad pertama alaf baru dipenuhi dengan pelbagai cabaran ekonomi.

Emas dilihat sebagai pelaburan selamat dan masih banyak pihak mahu mata wang kertas kembali kepada 'gold standard'.  Tetapi kenaikan terlalu cepat dan terlalu tinggi menyebabkan harga turun kembali dan sejak dua bulan lepas berada di sekitar USD1,600.

Pada 2012, jika kegawatan di Eropah terus menjejaskan ekonomi dunia, harga minyak dan minyak sawit barangkali akan mendatar atau turun dan harga emas mungkin (tetapi tidak semestinya) naik.  Tetapi jika ekonomi kian pulih, harga minyak dan minyak sawit kemungkinan besar akan meningkat.

Tetapi itulah dilema bagi kita, ekonomi yang semakin kukuh akan menyebabkan harga barangan yang menggunakan input komoditi untuk turut sama naik, menjejaskan kuasa beli kita.

02 Januari, 2012

Imbasan Pasaran Saham 2011

Prestasi pasaran 2011 terumbang-ambing, tidak sebaik yang dijangka
pada awal tahun tetapi tidak seburuk yang disangka pada tengah tahun


Tirai tahun 2011 telah ditutup dan dalam tahun di mana beberapa kejutan luar berlaku, termasuk bencana alam Jepun, pergolakan beberapa negara Arab dan juga krisis hutang Eropah serta kemelut had hutang Amerika, pasaran Malaysia tidak mencatatkan prestasi yang terlalu buruk, walaupun telah jatuh pada pertengahan tahun.

Malah, definisi bear market pun belum lagi dapat diguna pakai kerana saham tidak jatuh lebih daripada 20%.  Berikut adalah prestasi tiga indeks berbeza untuk melihat segmen mana yang naik atau turun: Nota: Semua carta dipetik daripada Bursa Station.

FBM KLCI

FBM KLCI ditutup hampir di paras yang sama berbanding awal tahun tetapi pada pendapat saya ini agak mengelirukan kerana saham-saham indeks telah 'ditolak' naik, sehingga pada 15 minit terakhir Jumaat lepas, indeks naik 20 mata secara tiba-tiba, sesuatu yang agak janggal.

Perlu diingat bahawa prestasi pelbagai dana mungkin bergantung kepada harga saham tertentu dan mungkin saham-saham ini ditolak naik untuk menunjukkan prestasi yang lebih baik pada akhir tahun. Kita hanya akan tahu sama ada kenaikan ini kekal  pada bulan Januari, mungkin selepas Tahun Baru Cina.


 FBM Emas Syariah

Prestasi Emas Syariah (merangkumi semua saham patuh Syariah) juga naik, kerana indeks ini juga mengandungi saham-saham besar yang saya sebutkan tadi.  Indeks Emas Syariah ditutup lebih tinggi pada akhir tahun walaupun telah jatuh dengan ketara pada pertengahan tahun.


FBM Small Cap

Sementara itu, FBM Small Cap, yang meliputi semua saham di luar 100 saham bermodal terbesar di Bursa Malaysia, menunjukkan prestasi yang kurang baik dengan penurunan sebanyak 9%.  Bagi saya inilah yang menggambarkan keadaan sebahagian besar saham di BSKL..


FBM KLCI vs Small Cap

Jika dilihat daripada carta perbandingan antara FBM KLCI dan FBM Small Cap. Prestasi kedua-duanya hampir menjejaki satu sama lain sehingga bulam Mei apabila prestasi FBM KLCI mula mengatasi prestasi FBM Small Cap.

Pada pendapat saya buat masa ini saham-saham besar adalah tidak undervalued kerana kenaikan agak besar yang berlaku pada suku ketiga tahun ini.  Sebaliknya saham small cap yang belum naik lagi nampak mempunyai potensi..

Namun begitu kenaikan harga tidak semestinya mencerminkan nilai kerana pada tahun depan pilihan raya akan diadakan dan kemungkinan harga saham-saham besar 'disokong' oleh dana-dana tertentu. Terpulang kepada pelabur memilih berasaskan gaya pelaburan masing-masing.

Secara peribadi pula, tahun ini saya akan lebih memberi tumpuan kepada saham small cap undervalued yang mempunyai P/E yang rendah tetapi Pulangan atas Ekuiti (ROE) yang tinggi dengan unjuran tempoh pegangan antara dua hingga lima tahun.