Belanja pendidikan kini bukannya murah. Kalau prestasi akademik anak cemerlang dan dia layak menerima biasiswa, maka segala masalah selesai. Tetapi persaingan amat sengit. Kalau masuk universiti tempatan pun kena bayar yuran. Inikan pula kalau tak dapat tempat, yuran institusi swasta jauh lebih mahal. Tetapi dengan segala perbelanjaan hidup yang perlu ditanggung, mungkin ramai orang rasa berat untuk menabung bagi pendidikan anak, lebih-lebih lagi kalau ramai anak. Walau apa pun saya rasa kita harus mencuba.
Ada beberapa pilihan yang boleh dipertimbangkan:
1. Skim SSPN
2. Skim Insurans/Takaful/Bank
3. Amanah Saham Didik
4. Amanah Saham Wawasan
Pilihan mana yang digunakan bergantung kepada kedudukan kewangan anda.
Skim SSPN
Skim ini menawarkan beberapa keistimewaan termasuk:
- Layak memohon pinjaman pendidikan PTPTN dengan syarat berikut:
Ibu bapa berpendapatan lebih RM2,000 sebulan perlu mempunyai tabungan tidak kurang RM3,000; Ibu bapa berpendapatan keluarga tidak lebih RM2,000 perlu mempunyai tabungan tidak kurang RM500. (Buat masa ini kedua-dua syarat dikecualikan) - Pelepasan cukai ke atas simpanan sehingga RM3,000 setahun;
- Manfaat perlindungan insurans sehingga RM50,000 serta pampasan/khairat kematian diberi secara percuma untuk simpanan RM1,000 dan ke atas;
- Pemberian Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak **; Simpanan serendah RM20 pada bila-bila masa dan dijamin oleh Kerajaan;
- Kadar dividen yang berpatutan dan dikecualikan daripada cukai pendapatan;
- Keluarga berpendapatan tidak lebihi RM2,000 sebulan layak menerima Geran Sepadan apabila anak diterima masuk ke IPT
- Tidak boleh mengeluarkan wang sesuka hati (dari sudut lain boleh dianggap satu kelebihan kerana memastikan wang tidak disentuh).
- Dividen rendah antara 3 - 4%.
Skim Tabungan Insurans/Takaful/Bank
Skim ini biasanya memberikan lebih banyak perlindungan insurans/takaful. Ini manfaat utamanya. Ada yang menawarkan takaful kesihatan dan sebagainya. Namun begitu dividen yang diberikan adalah rendah dan kedua jika anda mahu mengeluarkan wang lebih awal, anda mungkin rugi. Tetapi satu manfaat besar skim ini ialah jika anda meninggal dunia, anak anda akan menerima jumlah tabungan sasaran yang ditetapkan, tanpa perlu membayar premium bulanan. Jadi skim ini memberikan anda kepastian.
Skim Amanah Saham Didik
Skim ini tiada manfaat perlindungan, tetapi memberikan pulangan yang tinggi iaitu lebih kurang 7% setahun. Satu lagi cirinya ialah wang boleh dikeluarkan bila-bila masa, jadi kaedah simpanan memerlukan disiplin. Namun begitu Amanah Saham Didik kadangkala habis dilanggan dan baru-baru ini peruntukannya telah ditambah. Jadi ada kalanya penabung tidak dapat menambahkan peruntukan mereka.
Skim Amanah Saham Wawasan
Sama seperti amanah saham didik, cuma peruntukan bagi Bumiputera selalunya tidak pernah habis, jadi pelabur boleh menambahkan tabungan secara terus menerus dalam ASW. Seperti skim amanah saham didik, disiplin diperlukan kerana wang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa.
Perbandingan
- Simpanan bulanan RM100 pada kadar dividen terkompaun purata 4% selama 18 tahun dalam SSPN akan menghasilkan RM31,763
- Simpanan bulanan RM100 pada kadar dividen terkompaun purata 7% dalam ASD/ASW selama 18 tahun akan menghasilkan RM43,423.
Nota: Pembaca dijemput menambah pengalaman sendiri untuk kebaikan bersama. Sila beritahu jika ada sebarang kesilapan maklumat atau pengiraan.