18 Oktober, 2008

Melabur atau Spekulasi?

Beli saham tak semestinya bermakna melabur dalam saham

Sekarang ini, sesiapa sahaja yang membeli saham dianggap sebagai pelabur. Namun label pelabur yang diberikan tidak semestinya betul. Beli saham tak semestinya bermaksud melabur. Ada yang beli saham untuk tujuan spekulasi. Biasanya sesiapa yang membeli saham berasaskan spekulasi mengharapkan pergerakan saham dalam jangka pendek atas beberapa sebab.

Mungkin mereka menjangkakan ada berita positif yang akan diumumkan tidak lama lagi. Mungkin mereka melihat carta dan berasaskan analisis teknikal, meramalkan saham tertentu mempunyai momentum untuk naik lagi. Atau mereka mendengar khabar angin syarikat tersebut akan diambil alih dan membeli saham kerana harga tawaran selalunya lebih tinggi daripada harga semasa di pasaran.

Menurut Benjamin Graham dalam bukunya Intelligent Investor, mana-mana pelabur biasa (bukan profesional) yang membeli saham atas margin (hutang) sebenarnya melibatkan diri dalam spekulasi. Selain itu, beliau juga berkata sesiapa yang membeli saham ‘hangat’ kerana mengharapkan kenaikan harga hanya kerana saham tersebut popular sebenarnya terlibat dalam spekulasi dan mempertaruhkan wangnya.

Adakah spekulasi itu sesuatu yang negatif? Tidak semestinya. Cuma kegiatan spekulasi mengundang risiko yang lebih tinggi, iaitu potensi kerugian lebih besar. Namun kebarangkalian untung juga lebih tinggi. Selain itu spekulator memainkan peranan penting dalam sesuatu Bursa, iaitu dengan meningkatkan permintaan dan bekalan saham. Pendek kata, mereka menyediakan sumber kecairan yang amat dialu-alukan oleh Bursa dan juga pelabur lain. Tetapi spekulasi juga ada keburukan.

Kadangkala saham dijual beli sehingga ke tahap terlalu tinggi jauh melebihi nilai asas saham. Pelabur yang kurang maklum pula, apabila melihat harga saham naik sama-sama turut serta membeli saham sehinggalah kenaikan tidak dapat ditampung lagi dan saham tersebut jatuh secara menjunam. Pelabur yang paling teruk mengalami kesannya ialah mereka yang membeli pada tahap tertinggi. Lagi tinggi harga belian, lagi besar kerugian yang dialami. Jika anda mahu jadi spekulator dan mahu berdagang saham dalam jangka masa pendek dan sebagainya, terpulang kepada anda. Cuma jangan campurkan dana spekulasi dengan dana pelaburan. Selain itu, amalkan spekulasi bijak, iaitu spekulasi berasaskan maklumat dan ilmu pengetahuan dan ambil langkah untuk hadkan kerugian jika kerugian berlaku.

Nota: Rencana ini dipetik daripada buku saya yang akan diterbitkan awal tahun depan
.

Tiada ulasan: