17 Februari, 2010

Meninjau Petunjuk Ekonomi Penting

Petunjuk ekonomi tentukan suasana perniagaan

Bagi saya keadaan ekonomi amat penting dalam menentukan suasana perniagaan sesebuah negara. Jika anda bekerja dalam syarikat atau melabur dalam syarikat, anda sudah tentu prihatin tentang suasana perniagaan.

Petunjuk ekonomi paling penting sudah semestinya Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau Gross Domestic Product (GDP). Jika anda pernah belajar ekonomi, anda sudah tahu apakah komponennya. Jika tidak, anda boleh membuat pencarian di Internet untuk melihat bagaimana ia dikira.

Secara ringkasnya, KDNK menentukan perkembangan atau penguncupan ekonomi negara. Biasanya KDNK diumumkan secara suku tahunan. Jika KDNK negatif untuk dua suku berturut-turut, seperti pada 2009, maka sesebuah negara dikatakan mengalami kemelesetan.

Dalam keadaan semasa, Malaysia baru sahaja keluar dari kemelesetan, dan KDNK Malaysia dijangka mencapai angka positif pada tahun ini.

Satu lagi petunjuk ekonomi penting ialah kadar faedah. Walaupun kita sebagai pelabur patuh syariah tidak mahu menggunakan kadar faedah sebagai penanda aras, kita terpaksa mengikuti perkembangannya kerana kadar pembiayaan asas juga ditentukan berasaskan overnighy policy rate (OPR) atau kadar dasar semalaman yang ditetapkan oleh BNM.

Jika mahu melonggarkan dasar wang, BNM akan menurunkan kadar faedah. Sebab itulah kadar OPR sekarang amat rendah, kerana BNM mengamalkan dasar yang longgar untuk merangsangkan ekonomi.

Sekiranya berlaku inflasi yang tinggi, maka satu daripada langkah yang boleh diambil oleh BNM ialah menaikkan kadar OPR untuk mengekang inflasi.

Bercakap tentang inflasi pula, sememangnya ia merupakan salah satu lagi pengukur ekonomi yang diwakili oleh indeks harga pengguna. Indeks ini terdiri daripada sekumpulan barangan pengguna yang diberikan pemberat tertentu.

Kadar inflasi melonjak tinggi pada 2008, iaitu semasa berlaku kenaikan ketara harga komoditi. Kada inflasi telah naik melebihi 7% tetapi pada 2009 ia telah kembali menurun ke tahap di bawah 4%.

Dari sudut perniagaan, kadar KDNK yang lebih tinggi umumnya lebih positif bagi perniagaan. Manakala kadar OPR yang rendah lebih positif bagi perniagaan kerana kadar faedah yang rendah menghasilkan kos pembiayaan rendah. Sementara itu kadar inflasi yang rendah umumnya lebih stabil dan baik terutamanya bagi syarikat perniagaan kerana kos pengeluaran dapat dikawal.

Walau apa pun, kesan ekonomi kepada syarikat atau industri anda mungkin berbeza-beza. Sebagai contoh, apabila kenaikan harga komoditi dulu, syarikat ladang kelapa sawit dan industri minyak dan gas mendapat untung besar, sedangkan industri yang bergantung kepada input minyak sawit dan minyak seperti pengeluaran makanan dan penerbangan menghadapi masalah.

Jadi jika anda seorang pelabur, anda boleh gunakan petunjuk ekonomi atau ramalan ekonomi untuk melihat syarikat mana yang dapat memanfaatkan suasana ekonomi yang dijangka berlaku dalam tempoh yang mendatang. Gunakan petunjuk ekonomi sebagai salah satu daripada senjata analisis anda.

13 Februari, 2010

Adakah volum dagangan penting?

Amat penting bagi dagangan jangka pendek

Volum dagangan, iaitu berapa banyak saham yang diperdagangkan setiap hari, menunjukkan tahap minat pelabur terhadap sesuatu saham.

Ada saham yang volumnya sentiasa tinggi, ini termasuk saham-saham besar yang terkenal dan juga saham-saham kecil popular yang menjadi kegemaran spekulator.

Volum amat penting jika anda berdagang dalam jangka pendek kerana dengan volum yang tinggi, anda akan mendapat kepastian bahawa wujud pembeli jika anda mahu menjual, tidak kiralah sama ada kerana mengambil untung atau untuk mengehadkan kerugian.

Kalau tak ada volum, apabila anda hendak menjual, anda mungkin perlu menjual pada harga yang jauh lebih rendah, iaitu pada tahap di mana terdapat bidder. Sebab itulah volum dagangan sangat penting.

Tetapi bagi pelabur yang lebih mengutamakan fundamentals seperti saya, volum dagangan tidaklah penting (melainkan saham itu langsung tiada volum). Ini kerana beliau dan jualan boleh dibuat secara perlahan-lahan dalam jangka masa tertentu.

Lagipun sesuatu saham yang volumnya rendah pada masa tertentu mungkin meningkat dengan ketara pada masa depan disebabkan peningkatan prestasi atau populariti. Cuba kita lihat graf di bawah:

Dipetik daripada Bursa Station

Kita dapat perhatikan di sini bahawa tahun 2008 volum dagangan Supermax sangat rendah, tetapi apabila prestasinya mula menyerlah, volum dagangan juga kian meningkat.

Malah saya ada membeli dan menjual saham yang volumnya rendah apabila membeli dan masih rendah apabila saya jual, tanpa sebarang masalah, cuma proses ini saya lakukan dalam dua tiga transaksi bagi belian dan juga jualan.

Sebab itu saya katakan bahawa bagi saya sebagai pelabur, volum tidak penting tetapi jika anda seorang pedagang, adalah lebih baik jika anda hanya menjual beli saham yang mempunyai volum dagangan yang menckupi.

07 Februari, 2010

Saham Terkenal atau Saham Kurang Dikenali?

Pilihan bergantung kepada risiko yang sanggup anda tanggung dan pulangan yang anda sasarkan

Apabila saham Maxis disenaraikan semula baru-baru ini, timbul minat di kalangan pelabur untuk mendapatkan sahamnya menerusi IPO dan menerusi pasaran terbuka.

Forum pelaburan, laman berita dan juga blog pelaburan kerap menceritakan tentang saham ini. Malah ada juga pembaca blog ini yang bertanya saya mengenai baik buruk membeli saham Maxis.

Fenomena ini memang satu perkara biasa. Maklumlah Maxis syarikat besar dan juga terkenal. Perkara yang sama dilihat dengan saham besar dan terkenal lain. Saham seperti Tenaga, Telekom, Maybank, IOI, Gamuda dan beberapa saham besar lain sering menjadi bahan liputan dan perbualan.

Kebanyakan syarikat brokerage ada meliputi saham ini. Kekuatan dan kelemahannya diketahui ramai. Volumnya dagangannya juga besar.

Tetapi patutkah kita sebagai pelabur kecil memilih saham-saham ini. Jawapannya ialah bergantung kepada sasaran anda.

Tidak dinafikan bahawa saham-saham ini kukuh, tetapi segala maklumat mengenainya sudah di 'priced in'. Ini bermakna adalah susah untuk mencatatkan keuntungan lebih besar daripada normal daripada saham-saham ini.

Di samping itu, pertumbuhan saham besar juga tidak begitu pantas, ini kerana pasarannya sudah matang dan pertumbuhan kalau dicapai pun adalah pada kadar normal sahaja.

Tetapi perniagaannya mantap dan pelabur yakin bahawa kalau pun ada masalah, syarikat tersebut dengan rekod pencapaian lama yang kukuh, mampu bertahan dan pulih daripadanya.

Jika anda membeli saham-saham besar, pulangan yang anda perolehi adalah kenaikan harga normal dan juga hasil dividen yang dibayar. Adalah sukar untuk menggandakan wang anda dalam masa tiga hingga lima tahun.

Sebaliknya bagi saham berkualiti yang kurang terkenal, kebanyakan syarikat penganalisis belum membuat coverage terhadapnya. Justeru terdapat potensi bahawa saham tersebut undervalued kerana kurang mendapat perhatian.

Selain itu, potensi pertumbuhannya juga masih luas, sama ada kerana industri masih di peringkat pertumbuhan, atau syarikat masih lagi menguasai bahagian pasaran kecil dalam pasaran yang amat besar.

Tetapi risiko membeli saham seperti ini lazimnya lebih tinggi dan volum dagangannya lebih rendah. Di samping itu, bagi syarikat yang kurang terkenal, anda kena rajin mengumpulkan maklumat mengenai syarikat.

Saya sendiri lebih suka melabur dalam syarikat yang kurang terkenal, dan memegangnya sehingga ia menjadi terkenal. Selepas menjadi terkenal, saya jual apabila rasa harganya menarik dan tidak lagi melabur dalam saham itu, melainkan berlaku kejatuhan ketara.

Ada banyak syarikat yang dulu kurang terkenal, tetapi sekarang sudah menjadi saham besar atau gergasi seperti KPJ Healthcare, DiGi dan Supermax Corporation. Malah jika dilihat Supermax, hanya setahun lepas siapa hiraukan tentang Supermax? Sekarang ini ramai orang nak 'main' saham ini.

Terpulang kepada anda menentukan jenis saham yang menjadi pilihan, bergantung kepada risiko-pulangan yang sesuai dengan anda.

Cuma apa yang saya ingin tekankan di sini ialah pertama, pilihan pelaburan tidak hanya terhad kepada nama-nama besar sahaja, dan kedua saham besar tidak semestinya saham yang bagus.

03 Februari, 2010

Berapa lama pegang kalau saham jatuh?

Keputusan jual saham bergantung kepada strategi anda

Sejak semingu dua lepas kita dapati pasaran saham telah jatuh. Ada seorang ahli forum Bicara Jutawan yang bertanya berapa banyak kejatuhan harga yang boleh kita tanggung sebelum menjual saham. Maksud beliau ialah jika harga saham jatuh patutkah kita jual dulu atau kita terus pegang?

Ini satu soalan yang sangat baik dan relevan. Pada pendapat saya, kita boleh gunakan tiga pendekatan.

1. Pegang selagi fundamentals kukuh dan anda rasa saham undervalued. Dalam jangka panjang, jika pendapatan menepati sasaran untuk tempoh yang mendatang, kemungkinan besar harga saham akan mampu bertahan dan akan naik semula apabila sentimen pasaran kembali positif.

2. Jual walaupun fundamentals syarikat kukuh, kerana anda berpendapat fundamentals bagi pasaran atau ekonomi secara keseluruhannya agak lemah. Dalam kes ini, anda mengutamakan keadaan makro di mana anda merasakan bahawa situasi makro pasaran dan ekonomi akan mengatasi kekuatan saham tersebut buat sementara waktu.

3. Tetapkan stop loss pada xx% (terpulang kepada anda) dan jual jika mencapai takat ini tak kira apa betapa kuat atau lemah fundamentals. Kaedah ini lebih menjurus kepada strategi dagangan, tetapi boleh digunakan oleh pelabur jangka panjang juga. Dalam keadaan ini, kita mengaku bahawa kita sebagai pelabur kecil tidak mempunyai maklumat orang dalam atau maklumat lengkap mengenai syarikat yang dilaburkan. Justeru untuk mengelakkan kerugian besar, kita menetapkan stop loss untuk melindungi modal anda.

Ada sesetengah pelabur menggunakan satu strategi sahaja. Saya pula bersifat lebih fleksibel dan menetapkan strategi berasaskan saham yang dibeli.

Sebagai contoh, jika saya beli Mamee Double Decker, saya menggunakan kaedah pertama kerana kekuatan syarikat dan keuntungannya serta margin of safety yang diberikan.

Sebaliknya jika saya beli saham syarikat keluli seperti Kinsteel atau Masteel, saya mungkin menggunakan kaedah kedua kerana berpendapat keadaan ekonomi akan mempengaruhi permintaan bagi sektor ini.

Akhir sekali jika saya beli saham seperti Green Packet, saya akan gunakan strategi ketiga kerana walaupun saham ini berpotensi untuk naik, kebarangkalian penurunan ketara juga tinggi, maka saya tetapkan stop loss untuk hadkan kerugian.

Tetapkan strategi anda apabila membeli, dan kemudian ikut strategi tersebut dengan yakin dan berdisiplin.

01 Februari, 2010

Potensi Perkembangan Pelikan International

Syarikat alatulis antarabangsa dengan jenama kukuh

Jenama alatulis Pelikan mungkin tidak asing bagi anda tetapi ramai yang mungkin tidak tahu bahawa mereka boleh melabur dalam jenama antarabangsa ini di Malaysia.

Pelikan International dulunya merupakan Diperdana Holdings tetapi selepas pengambilalihan berbalik (reverse takeover) yang dilakukan pada 2004 menerusi pengambil alilhan Pelikan Holdings A.G dan Pelikan Japan, syarikat ini ditukar nama kepada Pelikan International dengan perniagaan utama dalam bidang alatulis.

Syarikat ini mempunyai operasi di serata dunia dan juga 25 pejabat jualan dan pemasaran yang dimiliki oleh Syarikat. Antara produk syarikat termasuk alatulis mewah, alatulis sekolah, dakwat mesin cetak dan peralatan pejabat.

Aset bersihnya ialah RM1.71 sesaham. Tahap keuntungan syarikat ialah seperti berikut:

2009 15 sen (anggaran)
2008 10.7 sen
2007 32.9 sen
2006 30.0 sen
2005 28.9 sen

Berikut ialah carta saham Pelikan:

Dipetik daripada Bursa Station


Dapat dilihat daripada keuntungan yang lebih rendah dalam tempoh dua tahun terbaru bahawa syarikat ini mengalami kesan kegawatan di pasaran utamanya di Jerman. Namun begitu, apabila kegawatan beransur-ansur pulih, keuntungan dijangka meningkat kembali.

Harga sahamnya telah kembali pulih seiring dengan pemulihan pasaran tetapi turun sedikit dalam tempoh terdekat. Pelikan kini sedang dalam proses mengambil alih syarikat alatulis Herlitz AG yang dijangka selesai pada bulan Mac.

Berasaskan harga semasa RM1.30, Pelikan tidaklah begitu undervalued jika dibandingkan dengan keuntngan yang diunjurkan tahun 2009, tetapi jika segala ramalan pengurusan menjadi, keuntungan dijangka meningkat dengan ketara tahun depan.

OSK Research ada menetapkan penarafan 'buy' untuk saham ini. Seperti biasa, pelabur dinasihatkan membuat kajian sendiri sebelum melabur.