18 Oktober, 2008

Melabur atau Spekulasi?

Beli saham tak semestinya bermakna melabur dalam saham

Sekarang ini, sesiapa sahaja yang membeli saham dianggap sebagai pelabur. Namun label pelabur yang diberikan tidak semestinya betul. Beli saham tak semestinya bermaksud melabur. Ada yang beli saham untuk tujuan spekulasi. Biasanya sesiapa yang membeli saham berasaskan spekulasi mengharapkan pergerakan saham dalam jangka pendek atas beberapa sebab.

Mungkin mereka menjangkakan ada berita positif yang akan diumumkan tidak lama lagi. Mungkin mereka melihat carta dan berasaskan analisis teknikal, meramalkan saham tertentu mempunyai momentum untuk naik lagi. Atau mereka mendengar khabar angin syarikat tersebut akan diambil alih dan membeli saham kerana harga tawaran selalunya lebih tinggi daripada harga semasa di pasaran.

Menurut Benjamin Graham dalam bukunya Intelligent Investor, mana-mana pelabur biasa (bukan profesional) yang membeli saham atas margin (hutang) sebenarnya melibatkan diri dalam spekulasi. Selain itu, beliau juga berkata sesiapa yang membeli saham ‘hangat’ kerana mengharapkan kenaikan harga hanya kerana saham tersebut popular sebenarnya terlibat dalam spekulasi dan mempertaruhkan wangnya.

Adakah spekulasi itu sesuatu yang negatif? Tidak semestinya. Cuma kegiatan spekulasi mengundang risiko yang lebih tinggi, iaitu potensi kerugian lebih besar. Namun kebarangkalian untung juga lebih tinggi. Selain itu spekulator memainkan peranan penting dalam sesuatu Bursa, iaitu dengan meningkatkan permintaan dan bekalan saham. Pendek kata, mereka menyediakan sumber kecairan yang amat dialu-alukan oleh Bursa dan juga pelabur lain. Tetapi spekulasi juga ada keburukan.

Kadangkala saham dijual beli sehingga ke tahap terlalu tinggi jauh melebihi nilai asas saham. Pelabur yang kurang maklum pula, apabila melihat harga saham naik sama-sama turut serta membeli saham sehinggalah kenaikan tidak dapat ditampung lagi dan saham tersebut jatuh secara menjunam. Pelabur yang paling teruk mengalami kesannya ialah mereka yang membeli pada tahap tertinggi. Lagi tinggi harga belian, lagi besar kerugian yang dialami. Jika anda mahu jadi spekulator dan mahu berdagang saham dalam jangka masa pendek dan sebagainya, terpulang kepada anda. Cuma jangan campurkan dana spekulasi dengan dana pelaburan. Selain itu, amalkan spekulasi bijak, iaitu spekulasi berasaskan maklumat dan ilmu pengetahuan dan ambil langkah untuk hadkan kerugian jika kerugian berlaku.

Nota: Rencana ini dipetik daripada buku saya yang akan diterbitkan awal tahun depan
.

15 Oktober, 2008

Baik Buruk Krisis Kewangan Dunia

Ada Hikmah dan Manfaat di Sebalik Kegawatan

Apabila sebut sahaja krisis, ramai yang mempunyai tanggapan negatif. Memang ini tidak menghairankan kerana krisis dikaitkan dengan kegawatan, masalah ekonomi, kesempitan kewangan dan tahap keuntungan syarikat yang lebih rendah. Berikut adalah berapa kesan krisis kewangan sedunia terhadap kita di Malaysia:

1. Harga saham jatuh. (Kalau anda masih banyak memegang saham) Ini perkara biasa. Harga saham jatuh kerana pelabur meramalkan penyusutan tahap keuntungan syarikat .

2. Nilai unit amanah jatuh. (Jika anda banyak melabur dalam unit amanah dan belum sempat menjual sebelum harga turun). Oleh kerana harga saham jatuh, sudah tentulah nilai unit amanah yang melabur dalam ekuiti juga jatuh sama.

3. Nilai rumah/hartanah yang anda miliki mungkin merosot sedikit...bergantung kepada lokasi dan jenis rumah.

4. Pertumbuhan ekonomi terjejas. Dari segi kesan individu bermakna orang ramai tidak akan menerima kenaikan gaji, bonus yang mereka terima lebih kecil atau tiada langsung bonus. Mungkin dalam kes yang teruk, ada pekerja yang terpaksa diberhentikan kerja, tetapi jumlahnya masih kecil di Malaysia.

5. Syarat pinjaman lebih ketat, terutamanya pinjaman kereta yang dulunya amat longgar.

Namun di sebalik kegawatan, ada juga hikmah dan manfaat krisis yang melanda dunia kali ini. Malah sesetengah manfaat adalah sama dengan keburukannya!

1. Harga saham jatuh. Pelabur yang mempunyai banyak tunai dan yakin dengan keupayaan ekonomi untuk pulih boleh membeli saham pada harga yang berpatutan.

2. Harga unit amanah jatuh. Pelabur bijak kini boleh membeli unit amanah terbaik pada harga yang rendah, sambil menantikan pemulihan ekonomi berlaku.

3. Nilai rumah/hartanah lebih rendah. Peluang untuk pelabur yang lebih suka melabur dalam hartanah untuk mendapatkan harga yang berpatutan.

4. Harga minyak turun. Faktor ini paling banyak memberi kesan terhadap rakyat.

5. Harga komoditi turun. Akan membantu mengekang inflasi yang mencecah tahap yang agak tinggi. Turut membantu syarikat yang menggunakan komoditi sebagai faktor pengeluaran.

6. Syarat pinjaman ketat. Ini mengelakkan pembeli kereta yang tidak mampu daripada mengambil pinjaman yang terlalu besar, kerana tindakan ini mungkin mengudang masalah pada masa depan.

Justeru sesuatu faktor itu mungkin positif atau negatif, bergantung kepada situasi, tanggapan dan kedudukan kewangan anda. Namun kefahaman tentang perkara ini penting untuk memastikan sesiapa yang terjerat akibat krisis kewangan kali ini untuk belajar daripada kesilapan, dan bersedia untuk mengambil kesempatan sekiranya kegawatan berlaku lagi pada masa depan.

12 Oktober, 2008

Jangan Jadi Hamba Kad Kredit

Gunakan Kad Tapi Elakkan Hutang

Kita kini sudah menjadi masyarakat ketagih hutang, dengan segala tarikan kebendaan yang sukar ditolak oleh orang ramai. Bank pula berkejar-kejar untuk memberikan kad kredit kepada umum untuk meluaskan perniagaan mereka. Merekalah yang paling banyak untung.

Cuba fikirkan, kenapa syarikat kad kredit berlumba-lumba nak memberikan anda kad kredit? Malah banyak juga yang langsung tak kenakan yuran tahunan. Mereka sebenarnya melabur dalam anda. Anda saham mereka yang akan memberikan pulangan terkompaun 15 - 18% setahun kepada mereka. Sebab itulah mereka memberikan pelbagai layanan istimewa dan mata ganjaran, dengan diskaun sini sana. Mereka sayangkan anda sebab anda lubuk emas mereka.

Tapi bagi orang yang bijak, mereka akan menggunakan kad kredit, tetapi akan bayar jumlah yang dipakai tepat pada masanya. Satu sen pun tak kena faedah. Ada banyak kad sekarang yang tidak mengenakan yuran. Anda boleh kutip mata ganjaran dan manfaatkan segala diskaun tetapi pastikan anda bayar tepat pada masanya.

Seorang eksekutif yang bekerja dalam syarikat kad kredit berkata pelanggan macam ni memang mereka tak suka, sebab untung mereka hanyalah potongan yang diperolehi daripada peniaga semasa anda membuat urus niaga. Jadi matlamat anda ialah untuk menjadi pelanggan yang kurang disenangi oleh bank. Jangan jadi lubuk emas mereka.

08 Oktober, 2008

Cara Menentukan Skim Cepat Kaya

Beberapa petua untuk mengesan skim pelaburan meragukan

1. Pulangan pelaburan sangat tinggi, biasanya lebih 20% dalam tempoh kurang daripada enam bulan. Lebih tinggi pulangan, lebih meragukan skim tersebut.

2. Orang yang mengajak anda melabur tidak dapat menerangkan dengan jelas tentang cara skim ini meraih pulangannya. Biasanya mereka akan memberikan gambaran kasar sahaja, seperti pelaburan luar pesisir (offshore), pelaburan menerusi internet dan pelaburan pulangan tinggi (high-yield investment).

3. Tiada dokumentasi urus niaga yang sahih dan mantap. Kadangkala pelaburan dikutip tanpa sebarang dokumen sokongan.

4. Dokumen tawaran dengan bahasa yang berbelit-belit dan tidak begitu tepat. Pengendali skim seolah-olah tidak boleh memberi penjelasan 'straight to the point'.

5. Pelabur perlu atau digalakkan mencari downline atau orang lain untuk sama-sama melabur. Jika anda melabur dalam unit amanah umpamanya, adakah syarikat unit amanah itu menyuruh anda mendapatkan pelabur lain untuknya?

6. Para penganjur utama skim tidak mempunyai alamat yang tetap atau sahih dan tidak mudah dihubungi. Kadangkala mereka hanya boleh dihubungi menerusi emel sahaja.

04 Oktober, 2008

Skim Cepat Kaya Kembali

Skim Cepat Kaya pasti kembali dalam bentuk berbeza;
Berwaspada terhadap peluang meraih habuan lumayan


Nampaknya skim cepat kaya yang memuncak pada tahun lepas kembali dalam bentuk berbeza. Seperti biasa, pulangan lumayan tetap akan ditawarkan, katakan 30% atau 40%, yang akan diperolehi untuk tempoh dua atau tiga bulan.

Pertamanya, kita perlu sedar bahawa pelaburan yang menjanjikan pulangan tetap seperti ini adalah haram kerana mempunyai unsur riba. Kedua, saya tak tahu pelaburan jenis apa yang boleh memberikan pulangan setinggi ini dalam tempoh yang begitu singkat. Warren Buffet yang merupakan pelabur tersohor di dunia pun mencatatkan pulangan lebih kurang 21% setahun. George Soros pun sepanjang tempoh penglibatannya dalam spekulasi dan dagangan hanya mencatat 31% setahun. Namun begitu beliau ada mencatatkan kerugian di akhir kariernya sebagai pengurus dana lindung nilai.

Faktor yang biasanya menarik pelabur ialah pada peringkat awal, penganjur skim ini akan membayar pulangan yang dijanjikan. Perkara ini akan diteruskan sehingga beberapa tahun selagi dana baru boleh dikumpulkan. Dalam variasi terbaru skim cepat kaya, penganjur mendakwa mereka dapat untung menerusi opsyen saham pekerja yang tidak dilaksanakan, pelaburan pulangan tinggi (high-yield investment) atau menerusi private placement (tawaran persendirian).

Pada hakikatnya, kita perlu bertanya, adakah orang yang menjual opsyen saham atau membuat placement ini begitu cetek pengetahuannya sehingga memberikan anda peluang untuk meraih 40%? Tak mungkin. Malah kalau ada untung 20% pun, sudah tentu ramai pihak berlumba-lumba untuk melibatkan diri dalam proses tersebut. Jadi alasan yang diberi tak masuk akal. Skim akan runtuh hanya apabila piramid tidak boleh ditampung lagi dan tiada dana baru yang boleh diperolehi, atau jika pelaburan risiko tinggi pihak penganjur mengalami kerugian. Tiada pelaburan yang boleh untung selama-lamanya dan menjamin keuntungan setiap masa.

Perkara yang menghairankan ialah pihak yang menjadi mangsa skim seperti ini bukan calang-calang orang, cuma kes selalunya dirahsiakan untuk menutup malu. Sikap tamak akan merugikan kita. Sentiasa ingat bahawa tidak ada pelaburan yang boleh menjamin keuntungan lumayan tetap. Jika pelaburan menjanjikan pulangan lumayan yang terjamin dalam tempoh yang singkat, kemungkinan besar skim ini adalah skim cepat kaya. Pelabur harus berwaspada.