18 Januari, 2016

Bagaimana Untuk Membuat Penilaian Jika Anda Nak Beli Kedai Mamak Dekat Rumah Anda?

Apa yang akan anda lakukan jika anda berhasrat untuk membeli sebuah bisnes yang ingin anda kendalikan sendiri dan pada suatu hari, Zaman, pemilik kedai mamak bernama Zaman Maju membuat keputusan untuk menjualnya kepada anda?

Perkara paling penting untuk dilakukan ialah untuk menentukan berapakah harga yang sesuai untuk membeli perniagaan tersebut daripada Zaman. Untuk menentukan harga belian yang sesuai, anda perlu meninjau beberapa perkara seperti:
  1. Jumlah jualan yang dicatatkan.
  2. Potensi untuk meningkatkan jualan.
  3. Untung bersih yang diraih dan margin keuntungan.
  4. Rekod presasi untung syarikat dalam tempoh 3-10 tahun lepas.
  5. Potensi perniagaan untuk meningkatkan untung.
  6. Tahap hutang bisnes tersebut kepada pembekal.
  7. Produk yang dijual serta kualiti produk tersebut.
  8. Pengurus kedai dan pekerjanya dan kualiti mereka.
  9. Nilai aset bersih dan aliran tunai perniagaan.
  10. Pandangan penduduk sekitar tentang restoran tersebut.
Pendek kata anda perlu menilai prestasi masa lepas menerusi akaun syarikat, meninjau kualiti perniagaan dengan mengkaji produk yang ditawarkan dan juga perlu mengkaji operasi syarikat dari sudut sumber manusia dan sebagainya.

Tetapi persoalannya ialah mengapa apabila anda membeli saham (yang merupakan pemilikan sebahagian dalam syarikat tersenarai) di Bursa Malaysia seperti  TNB, Petronas, Felda, Malakoff, Sime Darby, XOX Bhd dan banyak lagi saham lain, ada yang langsung tidak kisah tentang operasi perniagaannya?

Hakikat bahawa saham tersebut boleh dibeli hari ini dan dijual semula hari ini juga bermakna tujuan asal untuk melabur saham, iaitu memiliki sesebuah syarikat perniagaan yang meraih untung, tidak lagi wujud di kalangan sebahagian besar pelabur.

Fenomena yang wujud sekarang ialah main saham. Mungkin anda menganggap saham sebagai permainan tetapi saham yang anda beli itu sebenarnya sebuah entiti perniagaan yang merupakan sumber pendapatan bagi ramai orang dan dilanggan oleh ramai pelanggan.

Biasanya pelabur mula sedar tentang perkara ini hanya apabila mereka rugi dan tercari-cari apakah sebabnya. Barulah mereka mula berminat untuk mengetahui serba sedikit tentang syarikat tersebut untuk melihat sama ada saham syarikat boleh naik kembali.

Tetapi pada waktu itu mungkin sudah terlambat untuk saham tersebut, tetapi tidak terlambat untuk semua pelaburan lain yang boleh dibuat pada masa depan. Lebih cepat anda sedar bahawa saham itu adalah pemilikan dalam perniagaan, lebih hampir anda kepada matlamat untuk menjadi seorang pelabur bijak.


Razali Razman ialah penulis ebook Panduan Asas Saham dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan serta buku Panduan Bijak MelaburPetua Pelabur Tersohor dan Panduan Pelaburan Unit Amanah. Klik pada mana-mana tajuk buku untuk maklumat lanjut mengenai kandungan dan kaedah pembelian. Untuk perkhidmatan bimbingan peribadi, klik Bimbingan Peribadi.  

PERCUMA: Risalah 16 Sifat Value Investor Hebat 

Untuk mendapatkan eRisalah percuma ini, pergi ke laman Facebook Labur Niaga dan tekan butang Like serta maklumkan saya pada bahagian ulasan (comment). Saya akan hantarkan fail menerusi Facebook Messenger. Jika tiada akaun Facebook, anda boleh emel saya di razali@laburniaga.com dan saya akan menghantarnya menerusi emel.
 

Tiada ulasan: