22 Julai, 2014

Kesan Kenaikan Kadar Ke Atas Pelabur dan Individu

Walaupun kenaikan kadar membabitkan peningkatan kos kepada banyak pihak, ia perlu untuk tangani kenaikan harga aset dan barang dan mengawal kadar hutang isi rumah.

Pada tahun ini, Malaysia menghadapi banyak cabaran, termasuk pesawat yang hilang dan terhempas, masalah keselamatan di perairan Sabah, cuaca panas yang menyebabkan kekurangan air di sesetengah tempat dan juga kemelut lain dari segi politik dan hubungan antara kaum.

Bagaimanapun, walaupun semua peristiwa ini meninggalkan kesan mendalam untuk tempoh tertentu, tiada yang memberikan impak lebih meluas kepada orang ramai berbanding keputusan BNM untuk menaikkan kadar Overnight Policy Rate (OPR) sebanyak 0.25%.

Sememangnya kalau boleh kita mahukan dasar kewangan dan penciptaan wang yang tidak berasaskan kadar faedah dan menerusi cara yang patuh syariah, tetapi inilah hakikat dunia semasa. Justeru ulasan ini hanya menyatakan kesan keputusan BNM berasaskan realiti yang kita hadapi di Malaysia.

Apakah Kesannya?

Pertama sekali, perubahan OPR itu akan dirasai oleh orang ramai menerusi Base Lending Rate / Base Financing Rate (BLR/BFR), iaitu Kadar Pinjaman Asas / Kadar Pembiayaan Asas yang ditetapkan oleh Bank.

Selepas BNM menaikkan OPR daripada 3% kepada 3.25%, Bank pula menyusul dengan menaikkan BLR/BFR masing-masing daripada 6.60% kepada 6.85%.

Kadar tersebut dijadikan asas bagi pengiraan kadar pembiayaan perumahan, pembiayaan perniagaan dan pembiayaan peribadi yang diambil berasaskan kadar berubah, dan juga asas bagi menetapkan kadar baru bagi pembiayaan kereta dan pembiayaan berkadar tetap.

Ini bermakna jika anda mempunyai pinjaman perubahan atau pinjaman peribadi berasaskan kadar berubah, anda akan merasai kesannya menerusi ansuran bulanan yang bertambah sedikit, atau jika ansuran tidak ditambah, maka tempoh pembayaran balik akan menjadi semakin panjang.

Kesan secara tidak langsung ialah ia akan menaikkan kos membeli hartanah atau aset lain menerusi pinjaman, lantas mengurangkan sedikit permintaan terhadap banyak aset yang harganya telah naik ke tahap di mana ia tidak lagi mampu dimiliki oleh kebanyakan orang.

Satu lagi kesan ialah ia mungkin menimbulkan masalah bagi orang yang banyak berhutang. Kadar yang rendah telah menyebabkan kelonggaran dari segi pemberian pinjaman. Mungkin kenaikan ini bertujuan mengurangkan sedikit tahap pemberian pinjaman.

Bagi syarikat perniagaan pula, kos perniagaan mereka akan meningkat sedikit, terutamanya bagi syarikat yang banyak menggunakan modal hutang dan/atau yang banyak menggunakan pembiayaan jangka pendek.

Maksudnya ialah bagi syarikat yang banyak hutang, ia mungkin mengurangkan sedikit tahap keuntungannya, kerana perlu menolak kos pembiayaan yang lebih tinggi.

Mengapa Naikkan Kadar Jika Kos Bertambah?

Sebab utamanya ialah mengelakkan berlakunya masalah besar jika kenaikan harga aset dan peningkatan kadar hutang isi rumah dibiarkan berlarutan ke paras terlalu tinggi.  Jika tiada tindakan diambil, mungkin sampai satu tahap di mana ketidakseimbangan serius mungkin berlaku.

Pendek kata kadar yang terlalu rendah boleh menyebabkan orang ramai dan syarikat lebih berminat meminjam wang untuk kegiatan spekulasi daripada melakukan aktiviti yang menambah nilai. Pada pendapat saya ini sudah dilihat dengan ketara sekarang ini.

Tetapi usaha mengekang juga tidak boleh dilakukan secara mendadak kerana kenaikan terlalu tinggi terlalu cepat juga boleh menjejaskan kegiatan ekonomi. Justeru, langkah imbangan ini perlu dilakukan dengan sangat teliti oleh BNM.

Siapa Yang Mendapat Manfaat?

Dalam kitaran kenaikan kadar, biasanya penabung (yang menabung di Bank) akan mendapat kadar yang lebih tinggi.  Mereka yang tiada hutang juga tidak merasai kesannya.  Begitu juga mereka yang telah menukar aset mereka kepada tunai secara beransur-ansur.

Kesimpulan Bagi Pelabur

Bagi seorang pelabur, situasi transition daripada dasar wang longgar kepada dasar wang lebih ketat ini ialah sesuatu yang perlu diimbangi dengan teliti. Walau apa pun, adalah kurang bijak memasuki tempoh ini dengan semua dana anda fully invested (dilaburkan sepenuhnya). 

Nisbah tertentu aset perlu dipegang dalam bentuk tunai untuk melindungi dan juga mengambil kesempatan sekiranya berlaku kejatuhan harga. Tetapi pegangan semua tunai juga kurang bijak kerana kenaikan harga aset tertentu masih boleh berlaku, terutamanya saham yang mencatatkan prestasi baik.

Pendek kata dalam keadaan ini, pelabur perlu bijak menguruskan asetnya agar mempunyai tunai yang cukup untuk mengambil kesempatan, tetapi tetap memegang aset yang masih berpotensi mencatatkan prestasi yang baik dalam keadaan semasa.

Tiada ulasan: