Tunai aset paling selamat tetapi pulangan tunai juga paling rendah
Orang putih kata Cash is King, tetapi pepatah Inggeris ini benar sehingga tahap tertentu sahaja. Tunai dan aset setaranya adalah aset yang boleh dikatakan selamat, tetapi mempunyai beberapa kelemahan jika tidak digunakan dengan bijak.
Sesetengah orang langsung tidak melabur dan hanya membuat tabungan dalam bentuk tunai. Tiada masalah dengan pendirian konservatif seperti ini jika anda seorang yang berdisiplin, tetapi anda perlu maklum tentang beberapa kelemahan jika sebahagian besar aset anda adalah dalam bentuk tunai.
Risiko pertama dan paling besar ialah tidak ramai orang yang benar-benar berdisiplin. Biasanya tunai lebihan ini akan mencari jalan keluar daripada tangan kita untuk ditukarkan kepada barangan tidak produktif atau dimasukkan ke dalam skim 'pelaburan' yang didakwa boleh memberikan pulangan pantas tetapi akhirnya merugikan.
Saya pernah melihat beberapa kes seperti ini di mana aset yang kukuh, seperti tanah, dijual untuk menerima tunai, dan akhirnya tunai tersebut digunakan untuk membeli barang yang menyusut nilainya.
Kadang kala wang habuan jualan aset tersebut digunakan untuk membuka perniagaan tanpa penyelidikan terperinci atau melabur dalam 'skim pulangan tinggi' yang menimbulkan kerugian besar.
Hakikatnya, jika tanah tersebut tidak dijual, pemegangnya boleh menjadi jutawan aset sekarang, tetapi beliau rugi besar selepas tunai tersebut digunakan untuk tujuan lain.
Malah kita biasa juga mendengar cerita bagaimana wang KWSP boleh lenyap dalam masa beberapa bulan sahaja selepas dikeluarkan kerana pelbagai bentuk perbelanjaan atas barangan atau aset yang menyusut nilainya.
Di samping itu, banyak juga cerita di media sosial mengenai orang yang menang loteri dan kemudian jatuh miskin kembali dalam masa beberapa tahun.
Faktor risiko kedua kepada tunai ialah nilainya mungkin terhakis dalam keadaan inflasi, iaitu berlakunya kenaikan harga barang. Ini bermakna nilai wang yang sama mempunyai kuasa beli lebih rendah berbanding tahun lepas.
Faktor ketiga ialah tunai memberikan pulangan paling rendah, setimpal dengan risikonya yang rendah. Dalam jangka panjang, seorang yang bijak melabur akan mengumpulkan jumlah aset yang jauh lebih besar dengan memanfaatkan pulangan terkompaun.
Tunai perlu diuruskan dengan teliti dan diimbangi supaya tidak terlalu sedikit sehingga menjejaskan kehidupan harian atau keupayaan kita mengambil kesempatan daripada peluang pelaburan, tetapi tidak terlalu banyak sehingga peruntukan aset kita menjadi tidak seimbang.
Kesimpulannya, tabungan tunai bulanan ialah sesuatu yang amat penting dilakukan. Ini tidak dinafikan. Tetapi saya mencadangkan agar tidak menyimpan semua aset dalam bentuk tunai dan setaranya, kerana tunai:
- Mendorong belanja atas aset dan produk yang tidak meningkat nilai
- Lazimnya memberikan pulangan paling rendah.
- Boleh terhakis nilai dalam keadaan inflasi.
Gunakan tunai dengan bijak dalam usaha anda membina aset demi mencapai kebebasan kewangan. Jutawan tidak semestinya memiliki tunai sejuta ringgit. Jutawan dari segi nilai aset bersih juga tetap jutawan.
Nota: Secara peribadi, saya akan memegang lebih tunai apabila pulangan pelaburan (yield) adalah rendah, (apabila harga aset sangat tinggi), dan memegang kurang tunai apabila pulangan pelaburan adalah tinggi, (apabila harga aset adalah rendah).