29 Jun, 2014

Terlalu Banyak Bufet Mengundang Buncit dan Menjejaskan Bajet

Makan berlebihan semasa berbuka dan sahur jejas manfaat puasa

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada semua pembaca blog. Semoga kita memenuhi bulan Ramadan yang mulia ini dengan ibadah selain daripada mengambil kesempatan daripada manfaat berpuasa.

Walaupun terdapat justifikasi tentang manfaat berpuasa, seperti merasai apa yang dirasai oleh yang serba kekurangan, membuang toksin daripada badan, mengurangkan kolesterol dan sebagainya, tujuan utama kita berpuasa adalah semata-mata kerana Allah Taala. 

Tetapi ini tidak pula menafikan segala manfaat berpuasa.  Malangnya segala kelebihan ini mungkin disia-siakan dengan amalan kita semasa berbuka.

Kalau sebelum ini saya ada menulis tentang (Warren) Buffett, kali ini saya nak sentuh sedikit tentang Bufet pula. Sebulan sebelum Ramadan kita sudah melihat pelbagai promosi untuk hidangan bufet dipaparkan.  Saban tahun harganya semakin mahal, sehingga harga RM100 sekepala tidak lagi menghairankan.

Kalau antara tujuan berpuasa ialah untuk merasai apa yang dirasai oleh orang miskin, adakah berbuka puasa dengan berbelanja besar dan makan sepuas hati memenuhi tujuan tersebut?

Jika salah satu daripada manfaat puasa ialah untuk mengeluarkan toksin dan mengurangkan lemak dan kolesterol di dalam badan, apa faedahnya jika apabila berbuka, kita berlumba untuk menggantikan lemak dan kolesterol yang dinyahkan dengan yang baru. Kalau tersilap langkah, lepas raya mungkin berat badan kita bertambah, bukannya berkurangan.

Lihat video ini daripada Sheikh Bilal Philips




RM100 cukup untuk keluar makan bagi keluarga empat orang dengan selesa dan memuaskan. Malah kalau iftar secara berjemaah di masjid pun lagi bermanfaat. Tak perlu bayar apa-apa (tapi hulurkanlah sumbangan sedikit)

Justeru, walaupun kita berpuasa semata-mata kerana Allah, adalah lebih baik kita mengambil kesempatan daripada segala manfaat berpuasa, iaitu keadaan kewangan dan kesihatan yang lebih kukuh, selain daripada mengumpulkan pahala beribadat.

Di samping itu, jangan tinggalkan sepenuhnya program senaman pada bulan puasa. Pada pendapat saya ia tetap boleh dilakukan pada waktu siang walaupun kita berpuasa, supaya kita boleh fokus pada ibadah pada kebanyakan malam. Cuma kita kurangkan íntensiti sahaja untuk mengambil kira kekurangan makanan dan air dalam badan.

Nota:  Dulu pun saya suka juga menjamu hidangan bufet untuk berbuka puasa, tetapi sekarang saya cuba elakkan melainkan ada jemputan atau keraian keluarga atau rakan-rakan. Bagi saya sekali-sekala tidak mengapa tetapi yang kurang baik ialah jika kita kerap mengamalkannya.

Tiada ulasan: